RABU, 7 MAC - Dua alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan perkongsian pengalaman kepada pelajar Fakulti Psikologi Pendidikan (FPP) UMS dalam Program Mentor Akademik (Academic Mentoring) di kampus itu baru-baru ini.

Menurut kenyataan Pusat Alumni UMS, dua alumni berkenaan ialah Penolong Ketua Pengarah (Kaunseling) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Hairuni Kasuagi (alumni FPP sesi 1999-2002); dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Sabran Abd Bahar (alumni FPP 1998-2001).

Program yang dianjurkan FPP itu bertujuan meningkatkan pencapaian motivasi dan akademik dalam kalangan pelajar fakulti berkenaan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan sasaran iaitu pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) di bawah 2.50, PNGK 3.67 ke atas dan pelajar dari kategori pendapatan isi rumah 40% terendah (B40).

Pada program itu Hairuni dan Sabran masing-masing berkongsi ilmu dan pengalaman semasa bergelar mahasiswa UMS termasuk pencapaian dan cabaran yang dilalui sepanjang mengikuti pengajian sekali gus di samping menerapkan kesedaran akan kepentingan akademik serta kemahiran insaniah sebagai bekalan untuk kejayaan pada masa hadapan.

Turut mengadakan perkongsian ilmu ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPP merangkap Penyelaras Program, Dr. Getrude Cosmas dan Pensyarah Kanan FPP, Dr. Lailawati Md Edalan menerusi slot refleksi diri dan pembinaan sahsiah diri menerusi kecerdasan emosi.

 

 

Sumber: Pusat Alumni

 

SELASA, 6 MAC - Seramai 42 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil bahagian dalam Program Pengindahan dan Pelestarian bersama masyarakat Kampung Kobuni baru-baru ini.

Acara itu yang dianjurkan Program Pengurusan Pelancongan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dan Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo, UMS dilangsungkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Kamisan Pusiran berkata kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembinaan kolam mata air semula jadi, melukis mural di kawasan awam dan membersihkan Sungai Inanam dan Sungai Kobuni.

“Kerjasama ini juga merupakan satu usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Pelancongan Berasaskan Komuniti Kota Kinabalu antara UMS – DBKK sekali gus membantu merealisasikan Kampung Kobuni sebagai sebuah destinasi pelancongan baru di Sabah.

“Dalam masa yang sama, pengalaman para pelajar dalam program ini sudah pasti memberi suntikan semangat dan inspirasi untuk meneruskan bidang pilihan mereka serta mempertingkatkan rasa tanggungjawab sosial dalam diri,” katanya.

Dr. Kamisan berucap demikian ketika merasmikan program tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Kobuni, Aji Rumbuton berkata sokongan UMS amat berharga dalam menyediakan kampung tersebut menceburi industri pelancongan.

“Sebelum ini, UMS dan DBKK telah datang untuk membimbing kami dalam membentuk dan mempakejkan produk pelancongan.

"Justeru, kami telah bercita-cita untuk menjadi salah satu destinasi pelancongan di Sabah khususnya di Kota Kinabalu apatah lagi Kg. Kobuni ini juga mempunyai pengalaman sebagai tuan rumah kepada ramai pelawat dari pelbagai sekolah di seluruh negara selain pernah memenangi ‘Anugerah Desa Sejahtera' peringkat daerah pada tahun 2014," katanya.

Salah seorang pelajar Pengurusan Pelancongan UMS, Mohd. Adzham Fathy Abdul Halim turut memuji usaha yang diadakan universiti dengan DBKK.

“Pengalaman bekerjasama dengan masyarakat setempat dan DBKK adalah sangat istimewa bagi saya dan sekali gus menambah minat untuk mempelajari lebih lanjut tentang perancangan dan pembangunan pelancongan," jelasnya.

Kg. Kobuni terletak di Inanam dan berdekatan dengan air terjun Kionsom serta Kampung Budaya Mari-Mari.

Pada tahun lalu, kampung ini telah memenangi Anugerah Kampung Terbersih dalam pertandingan Kampung Bebas Sampah anjuran DBKK.

Hadir sama Pengerusi Program merangkap Pensyarah Kanan FPEP UMS, Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul; Pengarah Pusat Penyelidikan Borneo UMS, Prof. Dr. Jennifer Chan Kim Lian dan Pengarah Biro Ekonomi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa DBKK, Fauziahton Awang Samad.   

 

 

Sumber: FPEP

ISNIN, 05 MAC - Kelab Event Management @ E, Kolej Kediaman Excellent, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Bengkel Pengurusan dan Pengacaraan Majlis di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 28 dan 29 baru-baru ini.

Pengarah Bengkel tersebut, Muhammad Nadzmi Zamri berkata, penganjurannya antara lain memberi pendedahan berkaitan kepentingan menjaga imej, etika pemakaian dan keberkesanan komunikasi dalam membentuk keyakinan diri.

“Selain itu, bengkel tersebut juga bertujuan untuk menerapkan kemahiran insaniah pelajar dalam pengurusan dan pengacaraan majlis,” katanya ketika ditemui pada bengkel tersebut.

Menurut Muhammad Nadzmi, seramai 89 peserta  menyertai bengkel yang terdiri daripada pemimpin Kolej Kediaman Excellent, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Majlis Ketua- ketua Sekretariat (MKKS), Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB) dan Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK).

Bengkel yang berlangsung selama sehari itu disampaikan Pembantu Tadbir Kanan, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Mohammad Norazmi Haris dan Penerbit Rancangan Kanan, Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, Feria Lee @ Catherine.

 

Sumber: Kolej Kediaman E

 

 

ISNIN, 05 MAC – Seramai 37 pelajar Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan akademik ke Tadika Yue Min, Penampang baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan program berkenaan, lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada  mahasiswa melihat sendiri tatacara pengurusan tadika selain sebagai usaha universiti bagi meningkatkan teknik para pelajar dalam membina  jalinan silaturahim dengan masyarakat luar kampus.

Kenyataan itu memaklumkan, pelbagai aktiviti telah dijalankan di tadika tersebut yang turut disertai dua pensyarah Program Pendidikan Awal Kanak-kanak UMS, Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok serta Dr. Musirin Mosin.

Antara aktviti yang diadakan termasuklah, lawatan para mahasiswa ke setiap kelas yang ada bagi melihat sistem pengajaran dan pembelajaran diadakan selain persembahan sempena sambutan Tahun Baru Cina daripada kanak-kanak di Tadika Yue Min.

Mahasiswa UMS turut menyaksikan sejarah penubuhan tadika tersebut yang dipaparkan melalui tayangan video.

Hadir sama,  Pengerusi Tadika Yue Min, Alvin Lee.

 

Sumber: FPP

 

JUMAAT, 02 MAC - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) sebagai hospital pengajar pintar hari ini.
Perdana menteri berkata, ia bagi melonjak kualiti pendidikan perubatan dan perkhidmatan kesihatan di Sabah.
"Kerajaan akan merealisasikan hasrat menjadikan HUMS sebagai hospital pengajar pintar secara berperingkat sekali gus memastikan hospital berkenaan dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah khususnya pelajar perubatan di universiti berkenaan.
"Kita (kerajaan) boleh menjadikan hospital pengajar pintar ini sebagai projek ikonik yang tidak hanya menguntungkan pelajar tetapi juga rakyat Sabah," katanya berucap melancarkan Projek Pembangunan HUMS di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yan Kain Ching dan Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.
Sementara itu, Datuk Mary Yap ketika berucap berkata hospital pengajar pintar itu bakal merealisasikan harapan UMS untuk memiliki hospital sendiri bagi kemudahan pelajar Fakulti Perubatan universiti itu menjalankan aktiviti pengajaran dan latihan klinikal.
Katanya sejumlah RM652 juta diperuntukkan bagi membina hospital itu dengan keluasan lantai 110,853 meter persegi yang mampu memuatkan 400 katil, dan pembinaan hospital itu juga adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.
"UMS merupakan antara 12 daripada 20 universiti awam di Malaysia yang mempunyai Fakulti Perubatan. Setiap program pengajian (perubatan) di universiti memerlukan hospital pengajar sendiri bagi membolehkan pengalaman secara langsung diterapkan kepada pelajar.
"Selain sebagai hospital bagi proses pengajaran dan latihan klinikal pelajar perubatan UMS, hospital ini juga bakal memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Sabah sekali gus melonjakkan lagi tahap aksesibiliti kemudahan kesihatan berkualiti untuk rakyat di negeri ini,” katanya.
Datuk Mary Yap berkata pembangunan hospital pengajar pintar itu juga akan membawa pencetus perubahan selain menjadi pemangkin kepada pembangunan Sabah di era Revolusi Industri 4.0.
HUMS akan dibangunkan sebagai sebuah hospital pintar dilengkapi pelbagai kemudahan dan teknologi digital terkini termasuk rekod perubatan digital, integrasi antara peralatan perubatan dan bukan peralatan perubatan, bangunan, kelas dan dewan peperiksaan pintar.
Antara perkhidmatan yang bakal disediakan termasuk doktor pakar, pusat pembelajaran pelajar perubatan dan jururawat, perkhidmatan pakar ortodontik, perkhidmatan kecemasan dan trauma 24 jam, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pelajar, pusat farmasi, pusat diagnostik makmal dan pusat radiologi.
Perkhidmatan lain ialah penambahan mesin pusat fisioterapi, promosi kesihatan dan gaya hidup sihat, perkhidmatan fisioterapi dan kecederaan sukan, perkhidmatan penguatkuasaan kesihatan, pemeriksaan pengendali makanan dan klinik berhenti merokok.

Sumber: BERNAMA