ISNIN, 29 JANUARI – Seramai 25 pelajar Kursus Perlesenan Pemandu Pelancong, Borneo Tourism Institute (BTI) mengadakan Lawatan Sambil Belajar dan Interaksi Universiti-Industri di Pusat Informasi Pelawat EcoCampus UMS (EVIC), baru-baru ini.

Rombongan itu telah disambut Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Kueh Boon Hee yang kemudiannya memberikan taklimat berkaitan latar belakang UMS, konsep penjenamaan UMS sebagai EcoCampus serta pengenalan Pelancongan EcoCampus UMS.

“UMS menggunakan aplikasi pintar media sosial untuk tujuan promosi dan inisiatif kelestarian kampus selain menyediakan kemudahan sewaan basikal elektrik (Electric Pedal Assisted Bicycles) sebagai pengangkutan hijau dalam kampus,” kata Kueh Boon Hee.

Bercakap kepada media selepas itu beliau berkata, program lawatan BTI ke EVIC juga amat menepati aspirasi Transformasi Universiti-Industri 4.0 UMS ke arah memperhebatkan penglibatan langsung universiti dalam industri.

“Suntikan ilmu hijau dalam industri pelancongan oleh UMS selari dengan hasrat terkini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyeru sinergi ilmu-industri-insan sekali gus memantapkan kerelevanan UMS sebagai institusi pengajian tinggi komprehensif yang memberikan impak signifikan kepada pembangunan sosial, ekonomi malahan pemuliharaan alam semula jadi di Sabah dan negara secara amnya,” jelas Kueh Boon Hee.

Sementara itu, Pengurus BTI, Yvonne Chew memaklumkan kesemua pelajarnya amat berpuas hati dengan program lawatan tersebut yang disifatkannya mampu memperkasakan ilmu pengetahuan dan pemahaman mereka untuk persediaan sebagai pemandu pelancong yang lebih berketrampilan kelak.

“Saya bagi pihak ahli rombongan lawatan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas penerimaan rombongan kami dan kesudian untuk mengadakan perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat ini,” ujarnya.

Pada program itu, rombongan pelajar BTI turut dibawa melawat sekitar Taman EcoCampus UMS.

Untuk rekod, EVIC merupakan sebuah pusat informasi yang merupakan destinasi persinggahan pertama setiap pelawat yang berkunjung ke UMS.

EVIC juga antara lain untuk membantu menjana pendapatan universiti melalui Pelancongan EcoCampus UMS.

 

Sumber: Kueh Boon Hee, Pusat Pengurusan EcoCampus

 

ISNIN, 29 JANUARI – Roadshow dan Program Hari Bertemu Pelanggan Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) mendapat sambutan menggalakkan baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Kuliah, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), program itu menerima kehadiran 300 pengunjung yang terdiri daripada pelajar Asasi Sains serta kakitangan PPST.

Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhammad Suhaimi Taat berkata, antara aktiviti yang diadakan termasuklah bicara ilmu, penerangan perkhidmatan PIUMS, klinik Tahsin al-Fatihah, klinik zakat, jualan Yassin/wakaf dan kaunter khidmat pelanggan.

“Penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran tentang fungsi perkhidmatan PIUMS serta memberi penerangan terhadap sebarang soalan yang diajukan,” katanya yang turut menyampaikan ceramah bertajuk Jihad in Education.

Terdahulu, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan PIUMS, Md. Razali Saibin telah membimbing peserta dalam Tahsin al-Fatihah, manakala satu taklimat mengenai perkhidmatan Pusat Islam telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam PIUMS, Mohammad Fazri Hamid.

Hadir sama pada program tersebut, Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad.

 

 

 

 

 

 

JUMAAT, 26 JANUARI - Revolusi Industri (IR) 4.0 bukan hanya untuk diri sendiri dan organisasi tetapi ia perlu menyeluruh termasuk dalam aspek kemanusiaan dan kesatuan ummah.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, perkembangan teknologi perlu seiring dengan perkembangan nilai etika masyarakat sekali gus merapatkan lagi hubungan yang sedia ada di antara satu sama lain.

“Perkembangan teknologi ini mempunyai pelbagai impak positif namun dalam masa yang sama juga terdapat kesan yang boleh memberi impak sampingan kepada kehidupan.

“Sebagai contoh, revolusi industri pasti akan memudahkan banyak urusan harian dari segi masa dan tenaga, namun ketagihan kepada teknologi seperti telefon pintar dan internet akan menyebabkan kita sentiasa hanya berada dalam lingkungan diri sendiri yang akhirnya mengikis nilai-nilai murni dalam hidup bermasyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Program Kepimpinan Bersama Pegawai Pentadbiran Universiti Malaysia Sabah: Tenaga Kerja di Era Revolusi Industri 4.0 di Galeri Majlis UMS, pagi tadi.

Justeru, Prof. Tan Sri Dzulkifli menyatakan bahawa  kesempurnaan dalam IR 4.0 hanya boleh dicapai sekiranya teknologi yang ada diseimbangkan dengan nilai-nilai etika kemanusiaan.

“Saya suka mengambil contoh dengan amalan di Britain yang menekankan aspek nilai keselamatan dan nilai etika sebagai dua perkara penting yang perlu sentiasa ada sejajar dalam revolusi teknologi mereka.

“Jika dilihat semasa belum ada teknologi, kita  sememangnya agak meriah, tetapi sekarang kita lebih suka berseorangan oleh kerana tidak dapat menguruskan diri terhadap ketagihan teknologi,” tambahnya sambil menyifatkan perkara sedemikian yang perlu dibendung dalam IR 4.0.

Terdahulu, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dalam ucapannya berkata, UMS akan sentiasa berusaha untuk sama-sama menyahut saranan kerajaan ke arah menjayakan IR 4.0.

“Justeru, kita harus mengukuhkan jati diri dan mempunyai pemahaman yang jelas ke arah matlamat ini,” katanya sambil memuji inisiatif Persatuan Pegawai Pengurusan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) dan Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar UMS terhadap penganjuran program tersebut.

Program yang dihadiri lebih 150 kakitangan pegawai pentadbiran UMS turut dijayakan bersama dengan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaysia Sabah (KEKAUMAS).

KHAMIS, 25 JANUARI - Pembangunan haruslah membawa kebaikan kepada semua lapisan masyarakat dan bukannya sekadar bermanfaat kepada segelintir pihak, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Menurut beliau, setiap pembangunan yang dilaksanakan perlu menitikberatkan aspek utama dalam kehidupan yang tidak merosakkan rangkaian sosial, identiti budaya atau alam sekitar.

“Faedah daripada sesuatu pembangunan bukan hanya kepada aspek kewangan semata-mata tetapi merangkumi peningkatan sebenar yang berkepentingan kepada rakyat,” katanya.

Datuk Seri Panglima Masidi berucap demikian ketika merasmikan Persidangan ‘International Borneo Quality of Life’ (BQOL) anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri di kementeriannya, Datuk Hj. Kamarlin Hj Ombi.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, persidangan BQOL adalah pertama kali dianjurkan di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Menurutnya, ia menyasarkan kepada penambahbaikan kualiti hidup dengan melibatkan peserta dari pelbagai latar belakang.

“Setiap peserta persidangan jelasnya, akan bekerjasama menghasilkan resolusi bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan di rantau ini,” ujarnya dalam teks yang disampaikan Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr. Lawrance Mah Hon Kheong; Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jefree; dan Pengerusi Persidangan BQOL, Prof. Madya Dr. Helen Benedict Lasimbang.

 

RABU, 24 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bakal berentap dalam lima jenis sukan pada satu kejohanan yang akan berlangsung pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah DBKK, Datuk Joannes Solidau selepas perbincangan ringkas bersama pihak UMS yang melibatkan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin semalam.

Menurut Datuk Joannes, lima jenis sukan itu ialah bola sepak, futsal, badminton, golf dan boling.

Katanya, ia sebagai aktiviti pertama bagi menyemarakkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan DBKK sekali gus merapatkan lagi hubungan silaturahim yang sedia terjalin.

“Tarikh, masa dan tempat kita akan tentukan selepas perbincangan lanjut, namun yang pasti kita akan anjurkan dalam tempoh terdekat,” ujarnya.