RABU, 24 JANUARI- Pelbagai lagi bidang kerjasama bakal terjalin antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semalam.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin berkata, bidang kerjasama itu merangkumi penyelidikan, kebudayaan, pendidikan, pelancongan, penjanaan, khidmat masyarakat, latihan serta program-program yang dipersetujui secara bersama.

“Kerjasama ini akan memberi peluang pelaksanaan pelbagai aktiviti dan penganjuran program berimpak tinggi antara UMS dan DBKK,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut yang diadakan di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Katanya, hubungan yang terjalin itu sekali gus memantapkan lagi kerjasama sedia ada dan yang bakal dianjurkan bersama pada masa yang akan datang.

“Untuk pengetahuan semua, kerjasama pintar di antara UMS dan DBKK sudah lama terjalin.

“Sebelum ini pelbagai aktiviti telah dianjurkan bersama seperti Perarakan Berjubah sempena Majlis Konvokesyen UMS, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan para pelajar UMS seperti pembersihan Sungai Likas dan Sungai Inanam serta Program Gap Year,” tambah Prof. Datuk Dr. D Kamarudin.

Sementara itu, Mayor DBKK, Datuk Yeo Boon Hai berharap jalinan persefahaman itu dapat memberi impak positif bukan hanya kepada kedua belah pihak tetapi juga menjurus kepada masyarakat di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

“Antaranya kita hendak berkongsi kepakaran, teknologi pengetahuan dan kemahiran dalam meningkatkan perkhidmatan yang terbaik kepada warga bandar raya Kota Kinabalu,” ujarya.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony; Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Ketua Pengarah DBKK, Joannes Solidau.

 

SELASA, 23 JANUARI - Seramai 75 kakitangan akademik dan pentadbiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari 15 skim perjawatan menerima kenaikan atas sumbangan dan komitmen sepanjang perkhidmatan bersama universiti.

Daripada jumlah tersebut, 29 kakitangan akademik dinaikkan ke jawatan pensyarah kanan dan guru bahasa dengan gred DS52 dan DG44, manakala seramai 46 orang kakitangan bagi kumpulan pengurusan dan professional  gred 44 hingga 54.

Mereka diraikan dalam satu majlis meraikan dan penyerahan surat tawaran kenaikan pangkat kakitangan di Galeri Majlis, kelmarin, yang disampaikan oleh Naib Canselor Profesor Datuk D Kamarudin D Mudin.

Berucap pada majlis tersebut beliau berkata, tawaran kenaikan pangkat yang diberikan kepada penerima merupakan satu kesempatan agar mereka dapat menonjolkan lagi bakat serta komitmen untuk menyumbang kepada UMS.

“Teruskan mengamalkan elemen dinamik, kelestarian, integriti, keadilan kepada diri, rakan sekerja dan keluarga dalam menjalankan tanggung jawab yang diberikan.

“Kita perlu berupaya untuk mencabar diri, memperbaiki diri kita dan berusaha untuk menyampaikan yang terbaik kepada warga universiti,” ujarnya.

Tambah beliau, institusi akademik merupakan satu institusi yang dapat membawa warganya kepada satu perubahan evolusi dan tidak seharusnya terhad dan statik.

Terdahulu, Pendaftar UMS No’man Hj. Ahmad memberitahu proses pemilihan dan kenaikan pangkat yang dijalankan kali ini melalui proses yang ketat.

“Selari dengan aspirasi Naib Canselor kearah transfomasi universiti 4.0, maka pendekatan pemilihan kali ini telah meletakkan asas kemampuan pengetahuan dan kecekapan (calon) serta mampu untuk bersama dalam mentransformasikan sistem pentadbiran universiti kearah 4.0 sebagai landasan asas pemilihan,” jelasnya.

Turut hadir, Pegwai-pegawai Utama dan Kanan Universiti.

ISNIN, 22 JANUARI – Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini melancarkan Model Alumni Inspirasiku (AI 1.0) yang bakal menjadi medium perantara bagi alumni UMS untuk saling berhubung dan mengenali serta membantu dalam menjayakan program yang dirancang sepanjang tahun.

Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang ketika menyampaikan taklimat berkenaan model tersebut menjelaskan, Model AI 1.0 dilihat mampu mencetus satu tindakan dalam memartabatkan Alumni UMS yang kini berjumlah 61,536 melalui keterlihatan dan penglibatan para alumni.

“Melalui model ini juga, para alumni UMS boleh memasarkan kepakaran mereka melalui Web Alumni, serta meluaskan jaringan dan membangunkan jenama sendiri melalui UMS,” katanya.

Tambah beliau, Model AI 1.0 itu dijangka memberi hasil dalam meningkatkan Alumni UMS dari segi keterlihatan, keterlibatan, imej ikon, dan imej sosial serta membantu UMS dalam meningkatkan status tersendiri di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin memuji inisiatif Model AI 1.0 yang dilihat sebagai satu sistem yang membantu perhubungan dengan alumni-alumni UMS.

“Ini satu perkembangan positif dengan alumni UMS dapat dilibatkan untuk memberi idea dan inspirasi untuk memacu kecemerlangan universiti.

“UMS juga akan melaksanakan rombakan terhadap kurikulum universiti agar pengajaran dan pembelajaran lebih relevan dan mempunyai elemen kontemporari, sekali gus memberi pengalaman baik buat para mahasiswa serta mendorong mereka untuk kembali ke universiti apabila bergelar alumni kelak,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Model AI 1.0 dan Temu Mesra Alumni (Kakitangan) UMS.

Beliau turut berharap agar dekan-dekan dan ketua jabatan dapat memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan Model AI 1.0 yang mampu membantu mempergiatkan usaha untuk mengeratkan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan 498 staf UMS tetapi juga mengumpul rakan-rakan alumni yang berada di luar perkarangan universiti.

Turut hadir pada majlis tersebut, Presiden Pertubuhan Alumni UMS, Dato’ Dr. Hj. Janathan Kandok dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.

 

 

 

ISNIN, 22 JANUARI – Mizz Nina atau nama sebenar Shazrina Azman dilantik menjadi Ikon Kemanusiaan dan Keamanan oleh Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Menurut Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim, pelantikan Mizz Nina sebagai ikon kemanusiaan amat bertepatan berdasarkan perjuangan beliau yang berterusan bagi menegakkan hak kemanusiaan di seluruh dunia khsususnya mereka yang dilanda musibah.

“Pelantikan Mizz Nina ini diharap dapat memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk menyertai lebih banyak aktiviti kemanusiaan di luar sana,” katanya ketika ditemui media selepas penyampaian watikah pelantikan tersebut.

Penyampaian watikah telah disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin turut melahirkan rasa bangga dengan pelantikan itu sambil menyatakan ia mampu membangkitkan lagi semangat mahasiswa di UMS untuk lebih cenderung mengadakan aktiviti kemasyarakatan.

Turut hadir, Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad; Bendahari UMS, Zallifah Shadan; dan Ketua Pustakawan UMS, Dg. Rukiah Ag. Amit.

 

 

 

ISNIN, 22 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil menjayakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pembinaan Rumah Komuniti kepada seorang penduduk kurang berkemampuan di Kampung Pantai Mas, Kota Belud.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, rumah berkonsepkan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) itu merupakan yang pertama pada tahun ini sebelum tiga lagi buah rumah komuniti yang akan dirasmi sekali gus diserahkan pada bulan Februari.

“Selain Kota Belud, tiga lagi Rumah Komuniti ini bertempat di daerah Sipitang, Tawau dan Sandakan yang dibina melalui inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS bersama sukarelawan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penyerahan Projek Perumahan Rumah Komuniti kelmarin yang disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Said Keruak.

Datuk Dr. D Kamarudin berkata, Rumah Komuniti pertama itu diserahkan kepada Rodzlee Adkil, 36 yang berkerja sendiri dengan pendapatan kurang RM500 sebulan.

“Penerima ini berdasarkan pemilihan bersama dengan Pejabat Daerah Kota Belud di bawah e-Kasih. Semoga sumbangan ini dapat mengurangkan lagi beban yang ditanggung beliau sekeluarga,” jelasnya.

Dalam pada itu,  Datuk Seri Panglima Mohd Salleh dalam ucapan perasmiannya memuji usaha UMS untuk tampil membantu masyarakat yang tidak bernasib baik.

Katanya, Rumah Komuniti tersebut merupakan projek rumah percuma yang diagihkan kepada keluarga miskin.

“Usaha UMS menggunakan teknologi berkenaan wajar dipuji kerana bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan tetapi juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri selain dapat membantu kerajaan dalam merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan.

Hadir sama pada majlis itu, ADUN Tempasuk yang juga Pembantu Menteri Kepada Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Musbah Haji Jamli; Timbalan Naib Chanselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; serta Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gani Itam.