KOTA KINABALU, 18 November – Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-19 akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin (20 November).

Majlis kali ini akan melibatkan penganugerahan ijazah kepada 5,313 graduan iaitu 59 ijazah Doktor Falsafah, 578 ijazah Sarjana, 4,632 ijazah Sarjana Muda dan 46 Diploma.

Daripada jumlah 5,313, seramai 128 daripadanya adalah graduan antarabangsa dari 16 buah negara, manakala selebihnya iaitu 5,185 ialah graduan tempatan termasuk  2,760 (51.9 %) graduan dari Sabah.

Bertempat di Dewan Canselor UMS, sidang pertama menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Hj. Juhar Datuk Hj. Mahiruddin menyampaikan ijazah kepada 732 graduan.

Beliau yang juga Canselor UMS turut menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi Perancangan dan Pembangunan kepada tokoh dan negarawan yang disegani, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghani Gilong.

Sidang kedua yang berlangsung pada sebelah petang pula menyaksikan seramai 715 graduan menerima ijazah masing-masing daripada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Majlis konvokesyen akan bersambung esok dengan melibatkan seramai  933 graduan pada sidang ketiga (pagi) dan 943 lagi pada sidang keempat (petang) menerima skrol ijazah daripada Datuk Naib Canselor.

Kemuncak majlis konvokesyen berlangsung pada hari Isnin dengan penganugerahan ijazah kepada 849 graduan pada sidang kelima, manakala seramai 1141 penerima pada sidang keenam.

Penyampaian ijazah pada kedua-dua sidang itu juga akan disempurnakan Datuk Dr. D Kamarudin.

Untuk rekod, UMS kini mempunyai 10 fakulti dan majlis konvokesyen pertama telah diadakan pada tahun 1999.

 

 



 

 

 

 

JUMAAT, 17 NOVEMBER – Seramai 70 orang pelajar Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sesi 2017 diraikan dalam satu Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar KAFA Masjid UMS 2017 anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS)

Menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam merangkap Penyelaras Program, Ustazah Kartini Mail, tujuan majlis ini diadakan adalah bagi memberi motivasi kepada para pelajar KAFA menanam azam untuk lebih maju dan berlumba-lumba menuju kejayaan.

“Selain dari memperkukuhkan asas pendidikan agama Islam untuk kanak-kanak Islam dalam pendidikan Al-Quran dan Fardhu Ain, program ini juga merupakan wadah ilmu serta jambatan dalam mengeratkan silaturahim antara ibu bapa, pelajar dan kakitangan.

“Ini sekali gus meningkatkan syiar dan dakwah Islamiah melalui kerjasama di antara para guru dan ibu bapa pelajar serta pihak pengurusan KAFA Masjid UMS,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat melahirkan rasa berterima kasih kepada pihak pengurusan KAFA, para guru dan ibu bapa yang turut hadir meluangkan masa bersama meraikan pelajar hari ini.

“Kehadiran ibu bapa bersama guru-guru amat penting untuk menaikkan lagi semangat para pelajar di samping dapat kenal mengenali antara ibu bapa dan guru-guru KAFA,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Selain penyampaian hadiah kepada pelajar cemerlang, majlis turut diserikan dengan majlis khatam Al-Quran oleh 12 pelajar KAFA yang dipimpin oleh Pembantu Hal Ehwal Islam PIUMS, Ustaz Md. Nazrie Petir dan persembahan nasyid para pelajar KAFA.

Majlis berakhir dengan penyampaian anugerah terbaik percubaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) kepada Muhammad Arif Mohd Rosni yang mendapat 7A, 1B, serta dan penyampaian anugerah cemerlang kepada 26 orang pelajar KAFA.

Kesemua pelajar menerima hadiah berupa Piala dan Sijil yang disampaikan oleh Pengarah PIUMS.

Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Md. Razali Saibin, guru-guru KAFA serta ibu bapa pelajar yang terdiri daripada kakitangan UMS dan orang awam serta guru-guru KAFA.

 

 

 

 

KHAMIS, 16 NOVEMBER - American Corner Sabah yang diwujudkan hasil kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Seksyen Hal Ehwal Awam, Kedutaan Amerika Syarikat dilancar dalam satu majlis di Perpustakaan UMS, pagi tadi.

Ruangan tersebut menempatkan pelbagai koleksi seperti buku bergambar, ensiklopedia, majalah dan jurnal terkini berkaitan Amerika Syarikat sebagai rujukan pelajar dan orang awam, selain kemudahan peralatan berteknologi seperti iPad, iMac, Mesin Pencetak 3D dan sebagainya.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, selain mewujudkan ruangan American Corner (AC) tersebut, AC juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti yang bakal memberi manfaat terutama kepada pelajar UMS dan komuniti setempat.

"Diharapkan melalui wujudnya AC ini warga UMS khususnya dapat memanfaatkan kemudahan ini untuk menambah lebih pengetahuan berkaitan budaya, nilai dan masyarakat di Amerika Syarikat.

“Saya juga menyeru agar para pelajar, kakitangan dan pensyarah UMS untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh AC yang saya pasti mampu membantu dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan aktiviti penerbitan,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian American Corner Sabah.

Beliau turut berharap agar kerjasama bersama Kedutaan Amerika Syarikat dalam penganjuran aktiviti-aktiviti tersebut akan memberi penekanan terhadap program berbentuk informatif dan menarik seperti perkongsian pengetahuan daripada individu tertentu berkaitan teknologi terkini, pemuliharaan alam sekitar, keusahawanan, pendidikan tinggi dan kemasyarakatan.

Turut hadir pada majlis tersebut Kaunselor Hal Ehwal Awam, Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Bradley Hurst; Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Dr. Yusof Yacob dan Datuk Pengiran Mohd. Hussein Datuk Pengiran Hj. Mohd. Tahir Nasruddin; Pendaftar UMS No’man Ahmad, Bendahari UMS Zallifah Shadan dan Ketua Pustakawan UMS Dayang Rukiah Ag. Amit.

 

 

 

KHAMIS, 16 NOVEMBER – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Johnson Tee merasmikan Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-19 yang berlangsung pada Sabtu hingga Isnin depan.

Beliau menyempurnakan lafaz perasmian semalam di  Padang Kawad yang menjadi lokasi Tamu Gadang sehingga 21 November 2017.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Hajah Nurlaila Said, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),  Prof. Dr. Ismail Ali dan Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

Terdahulu,  Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapannya berkata, Tamu Gadang yang dianjurkan setiap tahun sempena Majlis Konvokesyen UMS merupakan platform untuk melatih kepimpinan dalam kalangan mahasiswa khususnya dalam melaksanakan program di dalam kampus.

Katanya, penganjurannya yang menjadikan pelajar sebagai pengendali utama itu juga amat bertepatan dalam memastikan peningkatan kemahiran insaniah sekali gus  melahirkan graduan yang berdaya saing dan berminda kelas pertama.

Ujar beliau, Tamu Gadang pada kali ini akan diserikan dengan pelbagai acara pentas dan malam konsert artis terkemuka tanah air seperti Haqiem Rusli, Ernie dan Wany Hasrita yang merupakan finalis Anugerah Juara Lagu selain ramai lagi artis tempatan Sabah.

Hampir 200 gerai pameran juga dibuka pada kali ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, jualan dan produk makanan.  

 

KHAMIS, 16 NOVEMBER – Seramai 57 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditauliah pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam dalam satu majlis di UMS Peak kelmarin.

Pentauliahan pangkat tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Roslan Wahab.

Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau menyeru agar para mahasiswa yang telah ditauliahkan untuk sentiasa bersedia memikul tanggungjawab bagi membantu APM dalam melaksana sebarang aktiviti kesedaran keselamatan awam menghadapi kecemasan dan bencana kepada rakyat Malaysia khasnya.

“Diharapkan agar siswa-siswi sekalian dapat mengaplikasikan segala pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang lima semester ini dengan membantu diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

“APM amat memerlukan sumbangan dari setiap warganya termasuk dalam kalangan Pegawai-pegawai Kehormat dan Bersekutu IPT serta pegawai muda dari Pasukan Siswa APM bagi mendepani pelbagai krisis, kecemasan dan bencana yang sering melanda negara dan dunia sejak kebelakangan ini,” katanya.

Tambah beliau, para Pegawai Pasukan Siswa APM perlu merebut peluang yang ada dalam menambah ilmu kemahiran Pertahanan Awam sebagai nilai tambah kepada pembentukan sahsiah dan keperibadian tinggi dalam kalangan mahasiswa universiti.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof yang juga merupakan Komandan Pasukan Siswa APM UMS dalam ucapannya berkata, majlis pentauliahan buat kali keempat itu amat bermakna kerana buat julung kalinya diadakan secara medan dan dianjurkan di UMS Peak.

“Tujuan penganjuran majlis pentauliahan secara medan ini adalah untuk memaparkan segala kemahiran yang dipelajari Pegawai Kadet selama tiga tahun berada dalam Pasukan Siswa APM UMS,” ujar beliau.

Pada majlis pentauliahan tersebut, tiga pegawai kadet terpilih sebagai pegawai kadet terbaik, iaitu Nur Syakirah Zulkefli bagi Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan, Abdul Rahim Nasi bagi Pegawai Kadet Terbaik Kampus Antarabangsa Labuan, dan Risnaeni Samsari bagi Pegawai Kadet Terbaik Kampus Induk Kota Kinabalu.