KHAMIS, 9 NOVEMBER - Sabah memiliki kepelbagaian flora dan fauna yang perlu dipelihara dan dilindungi bagi memastikan ianya tidak pupus dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang

Saintis kanan merangkap Penasihat Budaya Pemeliharaan Alam Semula jadi Hawaii, Dr. Sam ‘Ohu Gon berkata, usaha konservasi perlu diterapkan dalam komuniti masyarakat termasuk keperluan untuk menggubal undang-undang berkaitan agar lebih bermanfaat kepada kepelbagaian biologi di Sabah.

“Sabah merupakan salah satu lokasi dengan kepelbagaian biologi dunia yang sangat berbeza dan lebih cantik daripada apa yang boleh dilihat di media sosial seperti YouTube.

“Justeru, penting untuk masyarakat di sini diberi pengetahuan tentang sumber kekayaan alam semula jadi yang mereka miliki agar mereka turut bersama dalam usaha konservasi yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas menyampaikan ceramah bertajuk Pemeliharaan Alam Sekitar, Mengimbangi Pembangunan Ekonomi dan Pemuliharaan Alam Sekitar Melalui Pendekatan Berdasarkan Komuniti di Auditorium Perpustakaan, Universiti Malaysia Sabah.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UMS, Dg Rukiah Ag Amit menyifatkan program tersebut bertepatan untuk memberi kesedaran dalam pelbagai usaha konservasi di Sabah.

“Ini adalah supaya kita sentiasa bersedia dan terdedah kepada cara-cara melindungi alam sekitar,” katanya.

Siri ceramah tersebut merupakan salah satu program bulanan di bawah kerjasama Perpustakaan UMS dan American Corner melalui perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara UMS dan Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat pada 23 September tahun lalu.

 

 

 

 

RABU, 8 NOVEMBER – Seramai 32 mahasiswa Tahun 3 Program Hubungan Antarabangsa dan Geografi, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Goin’ Green Day 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, Kota Kinabalu baru-baru ini.  

Pengarah program, Mohamad Sharizal Murad berkata, program yang melibatkan pelajar Tingkatan Empat Pertanian Kelas 4 Tekvo 2, SMK Bandaraya itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada para peserta terhadap cabaran-cabaran yang bakal dihadapi di menara gading kelak.

“Justeru adalah diharapkan, program seumpama ini dapat memberi motivasi kepada pelajar pertanian SMK Bandaraya agar terus bersemangat mencari dan menuntut ilmu sehingga mampu melanjutkan pengajian ke universiti,“ katanya.

Program yang berlangsung selama sehari itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong menceriakan keindahan Taman Mini sekolah dan sesi memperkenalkan diri.

Turut diadakan satu sesi ceramah dan khidmat nasihat berkenaan ‘Tanaman Fertigasi dan Tanaman Hidroponik’ yang disampaikan Penolong Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Labuan, Rody Sibawon.

Hadir sama pada majlis itu, Pensyarah Kanan FKSW UMS merangkap Penasihat Program, Marja Azlima Omar; Guru SMK Bandaraya, Victor Atin dan Jacqueline George Mool; serta penyumbang pokok bunga, Chong Li Fah dan Chong Yun Chin daripada wakil ibubapa pelajar sekolah berkenaan.

RABU, 8 NOVEMBER - Tiga pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan antara 15 pelajar dari Institut Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia yang terpilih dan berjaya mengikuti program Huawei Seeds For The Future di Shenzhen, China baru-baru ini.

Mereka ialah Viliana Jainih, Lai Yik Chen dan Razmin Mohd Kamshah.

Ketiga-tiga mereka bersama 12 lagi wakil dari IPT lain diraikan dalam satu Majlis Penutupan Program Huawei Seeds For The Future di ibu pejabat Huawei, Shenzhen, China.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching yang turut bersama-sama Naib Presiden Global Public Affairs of Huawei Technologies, David Harmon menyampaikan sijil tamat program kepada pelajar-pelajar dari Malaysia.

Turut hadir pada majlis tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr D Kamarudin D Mudin, dan wakil dari Huawei Technologies (M) Sdn. Bhd., Vicky Zhang Yuan dan Simon Ng.

RABU, 7 NOVEMBER - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) menjadi satu lagi jabatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang melaksanakan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen terhadap membudayakan amalan integriti dan mencegah rasuah dalam tugasan seharian.  

Bertempat di Auditorium Kuliah, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), seramai 191 kakitangan terlibat dalam sesi melafazkan dan menandatangani IBR yang turut disaksikan oleh Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta dan Penguasa Unit Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah, Mohd Zaini Hassan.

Antara ikrar yang dilafazkan termasuklah melaporkan kepada SPRM terhadap sebarang perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan diri sendiri dan kakitangan di bawah seliaan masing-masing.

Pada majlis tersebut, Wakil SPRM turut memberi taklimat mengenai peranan SPRM dan individu dalam menangani gejala rasuah dan turut berkongsi pengalaman menangani kes-kes rasuah berprofil tinggi di Malaysia.

Sumber : Kenny Uwai

Gambar : Razuan Mathew

SELASA, 7 NOVEMBER – Program Charity For Unity anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Kolej Kediaman Usia 1Borneo (KKU1B) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menggalakkan siswa-siswi UMS mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat luar.

Pengarah Program, Nurul Hazirah Abdul Wahap berkata, program itu melibatkan seramai 78 peserta yang terdiri dari pelajar tahun 6, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebagu Menggatal, Kota Kinabalu

“Program ini sekali gus memberi pendedahan kepada para pelajar UMS tentang program kesukarelawan terutama ke dalam dunia kemasyarakatan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua KKU1B, Dr. Fredie Robinson ketika berucap sempena majlis perasmian penutupan program tersebut berkata, program seumpama itu dapat memberi impak yang positif kepada pelajar UMS dan pelajar sekolah khususnya pelajar SK Kebagu.

“Program ini juga dapat melahirkan kesedaran tentang pentingnya mempunyai minda yang sihat dan dapat memberi bantuan kepada  masyarakat yang memerlukan,” ujar beliau.

Antara pengisian program yang paling menarik bagi para pelajar SK Kebagu adalah slot ceramah motivasi bertajuk “Mengenali Diri dan Pergaulan Yang Selamat” yang disampaikan Pegawai Psikologi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS, Puan Nurul Fatiha Firdaus Roslan.

Turut hadir pada majlis itu, Guru Besar SK. Kebagu, Binukat @ Hamidah Rumpi dan Timbalan Pengetua KKU1B, Norhanieyati Norhaizat.