JUMAAT, 27 OKTOBER – Sambutan hari kanak-kanak Sedunia peringkat Pusat Minda Lestari (PML), Universiti Malaysia Sabah (UMS) meriah dengan pelbagai aktiviti berbentuk hiburan dan sukaneka disertai seramai 180 kanak-kanak dari program Taska dan Tadika, PML.

Pengerusi program sambutan, Faddili Kasin berkata, penganjuran program buat julung kalinya itu adalah bagi memberi peluang kepada kanak-kanak meraikan sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia yang disambut setiap bulan Oktober di seluruh dunia.

“Matlamat penganjuran sambutan ini adalah bagi menghargai sumbangan dan peranan kanak-kanak khususnya di PML serta mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang isu memelihara hak dan masa depan kanak-kanak.

“Melalui pengisian program yang dijalankan  pula,  ia secara tidak langsung dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak secara holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio emosi, sahsiah dan rohani ke arah melahirkan generasi yang dinamik, progresif, aktif, berdisplin dan berinovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena sambutan program tersebut di Dewan Badminton, UMS.

Menurut beliau, penglibatan daripada agensi luar seperti Kidzooona and Molly Fantasy yang merupakan jenama bagi taman hiburan yang tidak asing lagi bagi kanak-kanak, selain penglibatan daripada agensi Maestro Swiss Trading Sdn. Bhd dan Regal Marketing and Trading Sdn. Bhd yang membekalkan minuman secara percuma kepada kanak-kanak merupakan satu sokongan yang amat bermakna terhadap penganjuran sambutan tersebut.

“Kehadiran ibu bapa juga sangat bererti dalam memberikan kegembiraan buat kanak-kanak tersebut yang begitu riang menyertai aktiviti bersama guru-guru mereka,” ujar beliau.

Antara aktiviti yang berlangsung pada sambutan hari kanak-kanak itu adalah persembahan  kanak-kanak tadika, persembahan guru, aktiviti bola masuk terowong, selain aktiviti kendalian Kidzoona iaitu baby shark dance, gummy bear dance dan music game sebagai kemuncak kepada sambutan program tersebut.

Hadir sama pada acara tersebut Pengarah PML, Aidah Noordin dan Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr. Connie Chin @ Connie Cassy Ompok.

JUMAAT, 27 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani dua kerjasama perjanjian pengkomersialan bersama pihak industri bertujuan untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan para penyelidik UMS, baru-baru ini.

Penjanjian tersebut ditandatangani bersama Denim Care Sdn. Bhd dan Villaco Sdn. Bhd pada majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Penyelidikan dan Rekacipta (PEREKA) 2017 di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 UMS.

UMS memberikan hak eksklusif kepada Denim Care Sdn. Bhd untuk mengeluarkan, memasarkan dan mempromosikan produk Formulation of Fixing Agent for Textile Dyeing Application on Indigo Dye dengan yuran perlesenan sebanyak RM21,200 selama dua tahun.

UMS melalui Profesor Madya Dr. Coswalf Stephen Sipaun daripada Fakulti Kejuruteraan telah membangunkan formulasi bagi Fixing Agent for Textile Dyeing Application on Indigo Dye yang merupakan ejen penetapan berasaskan urethane berkualiti tinggi.

Menurut Dr. Coswald, formulasi tersebut akan meningkatkan penentuan prestasi yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada ejen penetapan pewarna fabrik denim yang sedia ada di pasaran.

“Projek ini juga memberi tumpuan kepada pembangunan kaedah pemprosesan dan penghasilan ejen penetapan pewarna denim yang berprestasi tinggi pada skala yang lebih besar,” ujarnya.

Sementara itu, satu lagi perjanjian pengkomersialan dimeterai bersama Villaco Sdn. Bhd menerusi projek pengering solar dengan yuran perlesenan sebanyak RM42,400 selama 10 tahun.

UMS turut memberi hak eksklusif kepada Villaco Sdn. Bhd untuk mengeluarkan, memasarkan dan mempromosikan UMS Eco-Solar Dryer di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan, Dr. Jidon Adrian Janaun, hasil penyelidikannya itu telah diubah suai dengan menggabungkan sistem pengeringan secara ‘upward’  dan ‘downward’ yang mampu berfungsi lebih efektif dengan kos kapital yang rendah berbanding pengeringan konvensional sedia ada.

“UMS Eco-Solar Dryer  boleh digunakan bagi pengeringan produk marin, pertanian atau apa-apa substrat yang boleh dikeringkan di bawah pengeringan yang rendah,” kata Dr. Jidon.

 

 

 

KHAMIS, 26 OKTOBER - Program Hari EcoCampus yang dianjurkan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilihat mampu memberi kesedaran tentang kepentingan ubat-ubatan tradisional Sabah.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, melalui program itu ia sekali gus mampu mengetengahkan tumbuh-tumbuhan herba yang kurang dikenali untuk ditanam dan diamalkan dalam kalangan warga kampus.

“Hari EcoCampus ini juga sekali gus dapat memberikan pengetahuan kepada warga UMS untuk mengenali kepelbagaian tumbuhan dan ubat-ubatan tradisional yang terdapat dalam UMS.

“Ia seterusnya meningkatkan kesedaran warga kampus untuk memelihara tumbuh-tumbuhan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari EcoCampus FKSW kelmarin. Teks ucapannya dibacakan Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Prof. Madya Dr. How Siew Eng.

Datuk Dr. Kamarudin berkata, aspirasi EcoCampus UMS yang menitikberatkan hubung kait antara alam semula jadi, ekonomi dan sosial perlu dikongsi bersama oleh semua warga UMS.

Turut hadir pada program itu, Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim; Ketua Unit Penyelidikan Warisan Borneo UMS, Prof. Madya Dr. Low Kok On; dan Timbalan Pengarah (Akademik dan Penyelidikan) Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Dr. Sahana Harun.

 

KHAMIS, 26 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan kira-kira RM300,000 setahun untuk pengurusan inovasi dalam usaha mempergiatkan aktiviti pengkomersialan produk-produk inovasi UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D. Kamarudin D. Mudin berkata, peruntukan tersebut meliputi  paten, technology licensing, technology acquiring, IPR, dan aktiviti-aktiviti pengkomersialan.

“Seiring dengan itu, UMS juga memperuntukkan kira-kira RM200,000 setahun untuk Skim Geran Inovasi (SGI) yang  telah membantu beberapa penyelidik menghasilkan prototaip penyelidikan untuk meyakinkan industri bahawa produk yang dihasilkan boleh dikomersialkan.

“Ini bagi memastikan produk-produk hasil penyelidikan dan inovasi bukan sahaja mendapat pengiktirafan melalui anugerah-anugerah, tetapi turut mampu dikomersialkan ke pasaran luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Penyelidikan dan Rekacipta UMS (PEREKA) 2017 di Dewan Kuliah Pusat 2, UMS.

Mengulas mengenai pertandingan PEREKA, katanya penganjuran pertandingan ini yang memasuki tahun ke-10 jelas menunjukkan bahawa pihak universiti amat menekankan budaya kecemerlangan penyelidikan dan inovasi sebagai salah satu bidang keberhasilan utama selaras dengan Pelan Strategik UMS 2013-2017, UMS-KRA ke-2 iaitu Meningkatkan Kecemerlangan dalam Penyelidikan dan Inovasi.

“Seperti mana yang kita ketahui, pemenang dalam pertandingan PEREKA akan mewakili UMS ke pertandingan peringkat kebangsaan seterusnya ke peringkat antarabangsa pada tahun hadapan.

“Justeru pameran dan pertandingan sebegini amat signifikan dalam membantu melaksanakan UMS-KRA ke-2, di samping dapat melonjakkan nama UMS di persada antarabangsa dan sekali gus meningkatkan pencapaian universiti dalam Malaysia Research Assessment (MyRA),” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, sejumlah 23 projek penyelidikan mendapat Anugerah Emas bagi kategori penyelidikan, manakala 32 projek mendapat Anugerah Perak, dan 89 projek mendapat Anugerah Gangsa.

Bagi kategori Inovasi, sejumlah 20 projek mendapat pengiktirafan Anugerah Emas, manakala 14 projek mendapat Anugerah Perak, dan 17 projek mendapat Anugerah Gangsa.

Turut hadir pada majlis tersebut  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Shahril Yusof, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali, Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Profe. Dr. Rasid Mail, Pendaftar UMS No'man Hj. Ahmad, Bendahari UMS Zallifah Shadan, Ketua Pustakawan UMS Dyg. Rukiah Ag. Amit, dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi merangkap Pengerusi Penganjur PEREKA 2017, Prof. Madya Dr. Lee Ping Chin.

 

SELASA, 24 OKTOBER – Simposium Daei Muda 2017 yang dianjurkan di Auditorium Perpustakaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu melahirkan pemimpin berkaliber khususnya dalam kalangan pelajar universiti.

Pengarah Program, Amir Syazwan Shawel berkata, simposium anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dengan kerjasama Kelab Rakan Pustaka UMS itu bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta berkaitan teknik berdakwah terbaik yang boleh diaplikasi dalam sebarang aktiviti keagamaan.

“Di samping itu, simposium ini juga dapat mewujudkan sikap kebersamaan sesama Muslim tanpa mengira lapisan usia, taraf pendidikan dan kerjaya,” jelas beliau.

Beliau turut berharap penganjuran simposium tersebut mampu memberi manfaat kepada para peserta dan menjadi pencetus kepada anak muda untuk terus berjaya menjadi pemimpin yang celik agama dan cemerlang dalam akademik.

Sementara itu, Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Prof. Dr. Mohd. Dahlan Hj. A. Malek ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, penganjuran simposium ini mampu mencorak daya pemikiran berteraskan Islam, sekali gus membentuk keperibadian baik ke atas para peserta. 

“Melalui latihan yang betul, peserta-peserta ini mampu dibentuk untuk menjadi seorang pemimpin yang mampu menghadapi cabaran dan dapat menjadi agen kepada perubahan positif dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Lebih 250 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar institusi pendidikan tinggi serta orang awam menyertai simposium sehari tersebut.