RABU, 25 APRIL - Pendidikan berkaitan keamanan dan hak asasi kemanusiaan diharapkan menjadi ciri-ciri utama dalam institusi pengajian tinggi pada masa hadapan, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.
Menurut beliau, UMS juga ingin melahirkan dan menyediakan graduan yang boleh berhadapan pelbagai cabaran yang tidak menentu pada masa akan datang.
“Oleh itu, seminar ini memainkan peranan penting bagi menyediakan gambaran mengenai cabaran masa depan pada graduan,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Seminar ‘Strengthening Human Right and Peace Research and Education in ASEAN/Southeast Asia’ (Shape Sea) dan UMS National ‘Addressing Inequalities For Peace and Justice, di Galeri Bangunan Canselori, kelmarin.
Datuk Kamarudin berkata, tahun ini UMS menerusi Program Hubungan Antarabangsa akan mengadakan kerjasama dengan The International Committee of The Red Crescent (ICRC).
Katanya, kerjasama seumpamanya akan membolehkan lebih banyak aktiviti diadakan bersama dari segi pengajaran berkaitan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan sebagainya.
“Dengan adanya latihan akademik dan industri seumpamanya, saya yakin pelajar UMS akan lebih bersedia dalam pembangunan negara selain menjadi warga dunia yang bertanggungjawab.
Beliau turut memaklumkan penglibatan UMS dalam rangkaian Shape Sea akan menyediakan platform kepada institusi itu menyumbang kepada sasaran keseluruhan wilayah berkenaan.
Turut hadir pada program itu Wakil Malaysia ke ASEAN Intergovernmental Commission On Human Right, Edmund Bon Tai Soon.



SELASA, 24 APRIL – Sambutan Earth Day 2018 Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menyemai kesedaran tentang kepentingan terhadap usaha melestarikan alam sekitar dalam kalangan warga universiti khususnya, dan juga masyarakat setempat secara amnya.
SELASA, 24 APRIL - Duta Universiti (Fokus Luar Bandar) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Program Motivasi “Get To Know” Siri Kedua bersama pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sindumin, Sipitang baru-baru ini.
ISNIN, 23 APRIL – Seramai 32 staf Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dilantik sebagai ahli Akrab Care, satu kumpulan yang dibentuk dalam kalangan kakitangan UMS yang bertujuan untuk memberi bantuan dan bimbingan kepada kakitangan berprestasi rendah atau terlibat dalam ‘Exit Policy’ serta mempunyai permasalahan dalam kehidupan seharian.
JUMAAT, 20 APRIL – Pelaksanaan projek Smart Infra ICT Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menerima bantuan pembiayaan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kos sebanyak RM5 juta sebagai permulaan.