KHAMIS, 20 JULAI – Pemahaman terhadap pendidikan dan sosiobudaya merupakan tonggak penting dalam memacu pencapaian jangka masa panjang Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berkata, sudah tiba masanya untuk membina kekuatan dalam kalangan negara anggota dengan menggunakan pendidikan sebagai panduan untuk kesejahteraan penduduk di rantau ini.
“Negara-negara BIMP-EAGA akan menikmati pelbagai manfaat sekiranya semua pihak bekerjasama secara rapat dalam mendidik generasi muda, golongan terpelajar dan setiap individu yang ada,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Inaugural BIMP-EAGA Higher Education Summit 2017 di Pacific Sutera Hotel Kota Kinabalu, kelmarin.
Dalam ucapannya, Datuk Mary Yap menegaskan bahawa polisi pendidikan seharusnya mencakupi semua lapisan masyarakat dan sesiapa sahaja yang sanggup untuk belajar mendapat akses kepada pendidikan tanpa mengira jantina, usia serta status mereka termasuklah orang kelainan upaya.
Beliau turut menyentuh tentang perbezaan kaedah pembelajaran yang wujud sekarang ekoran daripada perubahan teknik pengajaran.
“Dunia digital yang kita diami pada hari ini membolehkan setiap daripada kita mendapat capaian pendidikan melalui internet,” tambah beliau lagi.
Sidang kemuncak pendidikan yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk memperkasa jaringan kerjasama antara institusi-institusi pendidikan tinggi yang ada di rantau ini.
Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin dan Pengarah Kluster Sosiobudaya dan Pendidikan BIMP-EAGA, Dr. Gaspar Gayona.
Oleh Elfiah Jekius (Pelajar Latihan Industri BPK)




ISNIN, 17 JULAI – Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-20 di Galeri Bangunan Canselori, Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.
KHAMIS, 13 JULAI – Sambutan Aidilfitiri Raya@UMS yang berlangsung di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pagi tadi meriah dengan pelbagai juadah yang dihidangkan di 31 buah gerai makanan.
SELASA, 11 JULAI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) mahu memastikan muzik tempatan di Sabah khususnya dapat diperkenalkan di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan pelbagai pakar dari luar negara dalam bidang tersebut.