Seramai 100 orang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara terpilih untuk menyertai Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan ke Sabah 2024.

Majlis Flag Off program tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

Ia turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Sabah, Datuk Haji Ruslan Muharam; Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa, Tan Sri Dato Haji Alimudin Haji Md Dom; dan Penolong Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree di Dewan Bankuasi, UMS.

Menurut Saraswathy, misi sukarelawan ini adalah satu daripada platform yang penting kerana ia menjadi tapak integrasi nasional individu dari latar belakang yang berbeza untuk berbeza untuk bersatu demi matlamat yang lebih besar.

“Misi Sukarelawan Siswa juga menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawan agar semangat sukarelawan dipupuk dan dibudayakan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat.

“Penyertaan dan penglibatan secara langsung dalam aktiviti yang bertunjangkan kesukarelawan di pelbagai peringkat juga mampu melahirkan belia yang bersemangat patriotik dan muhibah yang tinggi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, program Ini Warisan Kita adalah satu inisiatif Kementerian Perpaduan Negara yang dilancarkan pada tahun 2023, dan merupakan salah satu pengisian utama program flagship kementerian iaitu Kembara Perpaduan Malaysia MADANI.

“Ini sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan membangun Malaysia MADANI yang menerapkan elemen hormat-menghormati serta menjadikan warisan sebagai salah satu platform pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sehingga tahun 2023, sebanyak tujuh misi sukarelawan siswa ke Sabah telah dijalankan di 36 buah lokasi, dengan penglibatan seramai 608 sukarelawan siswa yang telah melaksanakan sebanyak 1,054 projek sukarelawan,” ujar beliau.

Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah yang berlangsung bermula 1 hingga 18 September ini menyaksikan sukarelawan akan dihantar ke enam daerah berasingan iaitu Penampang, Kudat, Kota Belud, Beaufort, Papar, dan Kota Kinabalu.

Para pelajar akan melaksanakan beberapa projek utama seperti membaik pulih Kompeni A, Batalion 2, infrastruktur sekolah dan masjid di lokasi yang terlibat.

Para peserta juga akan mengadakan projek sukarelawan berdasarkan enam teras kesukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) mengikut keperluan lokasi.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan delegasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terdiri daripada peserta aktiviti Asean Emergency Operations Centre (EOC) Network, National Emergency Operations Centre Exercise (NEOCX) dan Sepanggar Simulation Exercise (SSE) 2024, baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, lawatan yang diadakan ke NDRC UMS itu bertujuan mengenal pasti fungsi dan kajian yang dijalankan oleh NDRC secara mendalam serta meneroka peluang kolaborasi dalam pengurusan bencana.

“NDRC UMS mengalu-alukan kunjungan daripada KKM serta hasrat untuk meneroka peluang kolaborasi dalam bidang yang berkaitan dengan pengurusan bencana negara terutamanya di Sabah.

“Kunjungan seumpama ini dilihat dapat menggalakkan kolaborasi pihak akademia serta menerokai persefahaman pintar antara pihak NDRC UMS dengan agensi kerajaan seperti KKM ke arah memperkasa agenda pengurangan risiko bencana negara.

“NDRC UMS merupakan focal point untuk semua penyelidikan di UMS berkaitan dengan bencana alam di Sabah dan merupakan pusat yang aktif dalam aktiviti-aktiviti melibatkan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui penyelidikan dan program kesedaran awam termasuklah program kesedaran pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti di Sabah,” katanya.

Lawatan tersebut diketuai oleh Ketua Sektor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr. Hazlina Yahya dan disertai oleh kira-kira 50 orang pakar daripada pelbagai bidang.

“Delegasi berkesempatan melawat Stesen Tolok Pasang Surut (Tsunami), MET Malaysia di jeti UMS dan Sistem Pemantauan Gempa Bumi, SEISCOMP3 di Makmal NDRC. Penerangan mengenai fungsi teknikal Tolok Pasang Surut (Tsunami) dan SEISCOMP3 ini telah disampaikan oleh Dr. Chai Mui Fatt,” tambah Carolyn.

Hadir sama dalam lawatan tersebut Ketua Kluster Gempa Bumi NDRC UMS Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith; Ketua Kluster Hakisan Pantai dan Sungai NDRC UMS Prof. Madya Ts. Dr. Ejria Saleh; Timbalan Pengarah I, Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah MET, Dr. Chai Mui Fatt serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Maria Suleiman.

 

Universiti Malaysia Sabah has signed a Letter of Intent (LoI) through a collaboration involving three faculties, namely the Faculty of Computing and Informatics (FKI), the Faculty of Science and Natural Resources (FSSA), and the Faculty of Social Sciences and Humanities (FSSK), with GAC Shipping (Malaysia) Sdn. Bhd recently.

According to a statement by FKI UMS, among the areas of collaboration planned and to be implemented are involving industrial training for students from the faculties at GAC worldwide

“This collaboration also aimed at providing students with opportunities to gain international-level experience in the fields of IT, Science, Marine and International Relations.

“GAC Malaysia also agreed to explore research opportunities and agreed to carry out Corporate Social Responsibility activities with UMS this year in conjunction with celebrating 30 years of GAC's establishment in Malaysia and the 30th anniversary of UMS.

“Through this collaboration, UMS sees it as a positive step for the three faculties in raising UMS's name on the global industrial stage,” according to the statement.

Among the UMS attendees during the ceremony FKI Dean, Assoc. Prof. Ts. Dr. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi; Dean of FSSA, Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau; Dean of FSSK, Prof. Dr. Asmady Idris; Deputy Deans, Head of Programmes and Senior Officers of UMS.

While GAC Malaysia was represented by Managing Director of GAC Cargo System (Malaysia) Sdn Bhd and GAC Shipping (Malaysia) Sdn Bhd, Herman Jorgensen.

 

Pasukan petugas dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA) telah mengadakan program perkhidmatan kesihatan sebagai menyantuni komuniti di Pulau Mantanani, Kota Belud.

Menerusi penganjuran Program Komuniti Sihat Melihat Mendengar (KoSiMM), staf UMS yang terlibat telah memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan rehabilitasi kanak-kanak dan pemberian ubat-ubatan selain daripada pemeriksaan mata dan telinga.

Menurut Pengarah HUMS, Prof. Madya. Dr. Malehah Datuk Mohd. Noh, program itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam komuniti mengenai pentingnya pemeriksaan kesihatan terutamanya mata dan telinga secara berkala untuk mencegah masalah yang lebih teruk.

“Selain pemeriksaan kesihatan mata dan telinga, bantuan cermin mata dan alat bantuan pendengaran turut diberikan secara percuma kepada pelajar sekolah dan orang kampung yang memerlukan.

“Inisiatif ini sekali gus memberi manfaat dan meningkatkan kebolehcapaian rawatan mata dan telinga kepada lebih ramai keluarga B40 di sekitar Sabah,” katanya.

Malehah turut memaklumkan, program KoSIMM tersebut merupakan satu program komuniti di bawah Program KPT Prihatin MADANI yang memberi akses lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan terutamanya pemeriksaan mata dan telinga di Sabah.

“Justeru itu, penghargaan diberikan kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas inisiatif dalam memberikan perkhidmatan dan menyelesaikan isu-isu kebajikan khusus kepada aspek kesihatan masyarakat luar bandar melalui perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma,” tambah beliau.

Program KoSIMM mendapat sambutan baik menerusi penyertaan seramai 205 orang penduduk Pulau Mantanani telah hadir dan menerima perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan.

Selain pemeriksaan kesihatan, HUMS dan KESUMBA turut mengadakan aktiviti Cabaran Geometri untuk pelajar sekolah, selain sesi gubahan bunga dan pembuatan sabun daripada minyak untuk penduduk Pulau Mantanani, yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran penduduk setempat, serta membantu mereka yang terlibat dalam industri pelancongan di kampung tersebut.

Turut diadakan sesi penyerahan sumbangan cermin mata dan sumbangan kepada pihak sekolah yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi HUMS, Prof. Madya Dr Nicholas Pang Tze Ping.

Hadir sama pada program tersebut Pengarah Pusat Uberisasi Kesihatan Komuniti HUMS, Dr. Muhammad Syafiq Abdullah; Ketua Jabatan Oftalmologi HUMS, Dr. Chua Shee Wen; Guru Besar SK Pulau Mantanani, Zukri Hamzah; dan Pengurus JSK Mantanani Island Resort, Kenny Liong selaku rakan kolaborasi.

 

Modul Tagalit hasil inovasi penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi medium dalam menyampaikan ilmu pengetahuan berkaitan sistem Tagal kepada masyarakat secara interaktif dan berkesan.

Menurut Ketua Penyelidik inovasi tersebut, Prof. Madya Dr. Jurry Foo, kaedah interaktif adalah pendekatan terbaik menyampaikan maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran melibatkan generasi muda, khususnya berkaitan sistem Tagal.

“Sistem Tagal adalah kaedah pengurusan sistem biosfera atau ruang hidupan dalam sistem bumi, khususnya bagi ekosistem sungai.

“Justeru, amat penting untuk generasi muda memahami sistem Tagal kerana sistem pengurusan ekosistem berasaskan komuniti ini telah dilaksanakan di sungai-sungai di Sabah dan diiktiraf sebagai sistem pemuliharaan yang mapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena penyertaan FSSK UMS dalam Kembara Sains Borneo 2024, di Ranau dan Tuaran baru-baru ini sebagai penceramah dan pempamer.

Mengulas lanjut, Jurry berkata TagaLit sebagai modul literasi sistem Tagal telah dimanfaatkan sebagai satu daripada topik borak Sains dan pameran Kembara Sains Borneo 2024.

“Kaedah penyampaian borak Sains TagaLit bertajuk Syok Bah Tagal dijalankan secara interaktif menggunakan lagu daripada buku modul bertajuk ‘Mari Nyanyi Syok Bah Tagal’ sebagai kaedah interaktif menyampaikan maklumat kepada peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah.

“Manakala papan permainan (Game board) dan tikar permainan (Game mat) berasaskan sistem Tagal dipamerkan sebagai aktiviti interaktif pengajaran dan pembelajaran di reruai TagaLit.

“Modul ini yang dihasilkan oleh penyelidik UMS melalui penyelidikan sistem Tagal selama lebih sedekad, turut mendapat pengiktirafan dalam pertandingan inovasi berprestij di Jerman,” katanya.

Ujar beliau, penyelidik UMS komited untuk menghasilkan lebih banyak modul berasaskan Tagal sebagai usaha untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan sistem Tagal dan kepentingannya.