Pelajar tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah National Accounting Student Excellence Award (NASEA) 2023.

Mohammad Immtiaz Laimon yang berasal dari daerah Putatan kini sedang menjalani latihan industri di firma audit antarabangsa KPMG di Kota Kinabalu.

Menurut Immtiaz, kejayaan merangkul anugerah tersebut merupakan detik berharga yang dihadiahkan untuk keluarga, rakan seperjuangan dan para pensyarah yang menjadi tonggak utama kejayaan beliau.

“Saya percaya anugerah ini akan dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk saya di alam pekerjaan kelak.

“Saya juga bangga kerana dapat membawa nama UMS ke dalam dunia perakaunan di peringkat kebangsaan dan saya percaya selepas ini lebih banyak kejayaan yang akan mengangkat nama UMS di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya teruja dan bersyukur atas kejayaan tersebut.

Immtiaz menerima anugerah tersebut pada Malaysian Institute of Accountants International Conference (MIAC) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya berharap lebih ramai pelajar akan cuba mempraktikkan keseimbangan dalam

bidang akademik serta penglibatan kokurikulum serta mengambil masa cuti semester untuk menjalani latihan industri secara sukarela (voluntary internship) untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran insaniah,” tambahnya.

Sementara itu, UMS dalam satu kenyataan menjelaskan anugerah tersebut diberikan kepada pelajar terbaik bagi universiti tempatan yang diiktiraf di bawah Akta Akauntan 1967, sekali gus mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan.

“Anugerah tersebut menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar sepanjang pengajian di universiti tempatan.

“Selain pengiktirafan di bawah Akta Akauntan 1967, program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian UMS juga diiktiraf oleh beberapa badan perakaunan profesional termasuk Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA),” ujar kenyataan itu.

 

Penganjuran Program Pelancongan Berasaskan Komuniti di Kg. Malubang, Pitas oleh kumpulan pelajar dan ahli akademik dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu membantu dalam usaha meningkatkan ekonomi penduduk kampung melalui bidang pelancongan.

Pensyarah Kanan FPEP, Dr. Mohamad Isa Abd Jalil berkata, ini kerana Kg. Malubang, Pitas dikenal pasti mempunyai potensi besar dalam bidang pelancongan dan pemuliharaan sumber marin.

“Program ini bertujuan untuk memperkasakan komuniti Kg. Malubang dan Kampung Berungus yang terletak dalam zon kuning di Taman Laut Tun Mustapha atau dikenali sebagai Zon Penggunaan Komuniti (CUZ).

“Pemilihan kedua-dua kampung ini sebagai projek perintis adalah bertepatan kerana lokasinya dalam zon yang diwartakan ini memberikan peluang untuk membangunkan aktiviti pelancongan yang mampan selain memberi tumpuan utama terhadap pemuliharaan marin.

“Matlamat utamanya adalah untuk mencipta model yang boleh diguna pakai oleh kawasan perlindungan marin lain khususnya di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan program tersebut.

Menurut beliau, penglibatan FPEP amat penting dalam menjayakan program tersebut.

“Melalui kepakaran berkaitan pelancongan luar bandar yang terdapat di FPEP ini, sekali gus membolehkan sumbangan ilmu dan pengalaman untuk membangun dan memperkukuhkan ekonomi tempatan melalui penglibatan aktiviti penduduk.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti tetapi juga memperlihatkan peranan penting institusi pendidikan dalam menyumbang pembangunan masyarakat,” katanya.

Isa turut memaklumkan program tersebut direka untuk mencapai beberapa objektif utama antaranya untuk menyumbang kepakaran FPEP dalam usaha mempertingkatkan ekonomi kawasan luar bandar, selain memperkasakan keupayaan komuniti dalam menjalankan aktiviti pelancongan.

“Program ini juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan penjagaan alam sekitar, terutamanya kepada generasi muda serta sebagai satu usaha untuk membentuk jaringan kerjasama berterusan dengan pihak berkepentingan dalam pembangunan pelancongan di kawasan perlindungan.

“Projek ini dijangka dapat mempromosikan pelancongan yang bertanggungjawab dan lestari di samping memperkasakan komuniti tempatan untuk menjadi pemimpin dalam pemuliharaan dan pembangunan ekonomi yang mampan.

“Ini menunjukkan komitmen UMS, khususnya FPEP dalam membantu komuniti marginal melalui program pembinaan kapasiti,” katanya.

Program yang mendapat kerjasama daripada Taman-Taman Sabah itu juga katanya diharap dapat menjadi model bagi pelaksanaan program seumpama di komuniti lain di Taman Laut Tun Mustapha dan kawasan perlindungan marin.

“Ini dilihat dapat memperkukuhkan lagi usaha pemuliharaan dan pembangunan komuniti luar bandar di kawasan pesisir pantai selari dengan konsep pembangunan lestari,” ujar beliau.

Program yang berlangsung selama empat hari itu mendapat penglibatan penyertaan komuniti tempatan yang terdiri daripada belia, wanita dan pelajar sekolah rendah.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) membawa seramai 37 delegasi antarabangsa melawat kawasan terkesan bencana di sekitar Kundasang, Ranau dalam Program Lawatan Akademik Bencana, baru-baru ini.

Delegasi antarabangsa dari tujuh negara iaitu Jepun, Korea, China, India, Singapura, Filipina dan Indonesia berkesempatan melawat kawasan yang terkesan dengan tanah runtuh dan gempa bumi.

Menurut Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus, lawatan tersebut penting sebagai pendedahan yang jelas mengenai bencana yang pernah berlaku di Malaysia khususnya di Sabah.

“Pada lawatan ini, delegasi diberikan penjelasan yang lebih bersifat akademik terhadap analisis punca atau sebab kejadian bencana yang telah berlaku serta impak bencana di kawasan tersebut.

“Dalam lawatan ini juga, delegasi turut mengunjungi Sungai Mesilou dan Mesilou Nature Resort (MNR) Sub-Station Taman Kinabalu yang terkesan akibat banjir lumpur susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 6.0 yang berpusat di Gunung Kinabalu pada tahun 2015,” katanya.

Program lawatan tersebut diadakan sebagai salah satu aktiviti dalam persidangan antarabangsa ISEE-AWPC & ISES-AC Joint Conference 2024 yang dianjurkan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS.

Pada seminar antarabangsa yang sama, NDRC telah menganjurkan Pre-Conference Workshop yang bertemakan ‘Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana’ dengan pengisian sesi bengkel mengenai Analisis Data Perubahan Iklim serta Kualiti Udara, Analisis Peta Bahaya Seismik serta Kerosakan Struktur Bangunan dan Analisis Permodelan Atmosfera.

Tambah Carolyn, NDRC UMS menyediakan lawatan tersebut yang bersifat berkala dan boleh disertai oleh ahli akademik, agensi kerajaan dan swasta serta orang awam yang berminat.

“Lawatan akademik bencana kali ini diketuai oleh Ketua Kluster Bencana Gempa Bumi NDRC, Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith dan dibantu oleh Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran, serta dikendalikan bersama dengan pelajar Latihan Industri daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Mohd Khairi Anuar dan Mayzatul Sofiyah Mad Yusof,” katanya.

 

Festival Teater Universiti Malaysia Sabah (UMS) Opera X yang dianjurkan pelajar Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) baru-baru ini mampu menjadi platform kepada pelajar untuk menonjolkan bakat dalam seni pementasan teater.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, program yang dikendalikan oleh pelajar tahun tiga ASTiF itu juga merupakan wadah kepada satu proses pembelajaran bernilai kepada pelajar dalam menyampaikan mesej melalui persembahan.

“Menerusi acara ini juga pelajar berupaya memupuk semangat kerjasama, ketekunan dan kecekapan organisasi yang penting dalam pembangunan akademik dan sahsiah mereka.

“Justeru, penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat khususnya kepada tenaga pengajar dan panel penilai yang telah memberi sokongan kepada pelajar dalam menjayakan festival ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin sempena Majlis Anugerah Festival Teater UMS Opera X yang berlangsung di Dewan Resital.

Tambah beliau, pengalaman yang diperoleh menerusi program tahunan ASTiF itu yang telah memasuki tahun ke-10 penganjurannya itu akan memberi impak positif dalam perjalanan kehidupan dan kerjaya para pelajar.

Terdahulu, Pengarah Festival Teater UMS Opera X, Nurul Intan Farain Sattar memaklumkan, pementasan teater tersebut merupakan penilaian bagi projek akhir pelajar tahun tiga Program Seni Kreatif Major Teater ASTiF.

Katanya, sejumlah enam pementasan teater dipersembahkan sepanjang enam hari berlangsungnya festival tersebut.

Pada malam anugerah festival itu, teater bertajuk Asrama-Ra yang dipentaskan oleh produksi Projek Pentas dinobatkan sebagai Johan Festival Teater UMS Opera X, manakala teater Sesudah Subuh oleh produksi Art in Motion dan teater Mencari Ricka oleh produksi Scaena Production masing-masing muncul sebagai Naib Johan dan pemenang tempat ketiga.

Hadir sama pada majlis anugerah tersebut Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam; Timbalan Dekan ASTiF, Dr. Rosli Sareya; Pengarah Galeri Azman Hashim UMS, Prof. Madya Dr. Mohammad Puad Bebit; dan Pengarah Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf, Dr. Borhan Abdullah.

 

Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) sesi 2023/2024 telah mengadakan Program Kunjung Kasih 2.0 KKTF di Kampung Gudon, Manggatal baru-baru ini.

Program itu antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan sosial mengenai aktiviti kemasyarakatan sepanjang program dijalankan di kampung tersebut selain menerapkan dalam diri pelajar universiti mengenai konsep kesukarelawan melalui aktiviti kemasyarakatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan yang merupakan mantan pensyarah kanan UMS telah menyempurnakan perasmian program tersebut.

Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, inisiatif oleh siswa-siswi UMS itu tidak hanya membantu meningkatkan infrastruktur dan kerjasama antara komuniti, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan antara pelajar universiti dan komuniti setempat.

“Saya dimaklumkan bahawa pada hari pertama, peserta program Kunjung Kasih telah bersama-sama membersihkan kawasan sekolah yang terkena musibah akibat kejadian banjir.

“Manakala pada hari kedua peserta menjalankan aktiviti mengecat masjid dan mengadakan sukaneka bersama-sama pelajar sekolah dan penduduk Kampung Gudon.

“Saya turut difahamkan ini merupakan kali kedua penganjuran program seumpama dan JAKMAS KKTF melalui Exco Hal Ehwal Wanita dan Kemasyarakatan (HELWA) masih bergiat aktif dalam misi menyantuni masyarakat setempat, justeru syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta dan penduduk kampung dalam menjayakan program ini,” katanya.

Ujar beliau, diharapkan melalui program kemasyarakatan ini mampu mengeratkan lagi hubungan antara pelajar universiti dengan komuniti setempat selaras dengan slogan program, “Jalinan Kasih, Tautan Budi”.

Hadir sama pada program tersebut Ketua Kampung Gudon, Md. Aruf Rajit; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Gudon, Mohadis KK Sabtu; Timbalan Pengetua KKTF, Muhammad Jumrat Minsun; dan Pengarah Program Kunjung Kasih 2.0 KKTF, Noryah Marjip.