Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memberikan sokongan dan dorongan dalam pelbagai aspek pencapaian pelajar dan alumni yang sentiasa mengharumkan nama universiti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata ianya termasuklah penglibatan dan pencapaian pelajar yang telah mengangkat martabat serta menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

Katanya pengiktirafan tersebut penting sebagai penyuntik semangat kepada para pelajar untuk terus menabur bakti dalam memperkasa visi dan misi universiti dan KPT.

“KPT komited memberikan sokongan dan dorongan dalam pelbagai aspek pencapaian pelajar dan alumni yang sentiasa menjadi kebanggaan kita.

“Justeru, menjadi tanggungjawab universiti untuk menyediakan platform bagi generasi muda meneroka bidang ilmu, menggilap bakat dan potensi serta menerapkan nilai-nilai murni demi menyediakan generasi pemimpin masa hadapan,” katanya.

Mustapha berkata mahasiswa perlu mempunyai daya intelektual yang baik serta cakna dengan keadaan semasa agar keputusan yang diambil tidak menggugat keharmonian persekitaran.

“Ilmu yang ada perlu setara dengan adabnya. Ini akan mencerminkan mahasiswa yang berwibawa, kompeten dan holistik,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar dan Alumni (MAHEPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-25, baru-baru ini.

Tambah beliau, KPT mengangkat agenda pemerkasaan mahasiswa sebagai salah satu agenda utama.

“RUU ini mengandungi lima fasal yang melibatkan enam peruntukan berkaitan kebenaran memungut wang, menerima sumbangan dan menyelenggara kumpulan wang kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Badan Pelajar, penyelarasan tempoh pemilihan MPP berdasarkan pemantapan tadbir urus tatatertib mahasiswa.

“Sistem pendidikan negara akan terus menjadi Game Changer ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata MAHEPA kali ke-25 mempertandingkan 22 anugerah yang terbahagi kepada 13 anugerah individu dan 9 anugerah berkumpulan.

“Anugerah tersebut meliputi enam kluster seperti kepimpinan pelajar; pembangunan sosial; pembangunan akademik dan intelektual; kesukarelawan; kluster khas individu dan berkumpulan.

“Selain anugerah yang dipertandingkan, MAHEPA juga turut memberi penghargaan kepada para alumni serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti hal ehwal pelajar dan alumni,” ujarnya.

MAHEPA kali ke-25 turut menyaksikan graduan orang kurang upaya, Hidayat Abdul Latif (Alumni UMS) menerima Anugerah Pencapaian Terbaik kategori Penghargaan Khas atas pencapaian beliau dalam pelbagai pertandingan sukan di peringkat universiti dan kebangsaan.

Hidayat pernah meraih pingat emas kategori berkumpulan dan pingat perak kategori beregu di Para SUKMA XX MSN pada tahun 2022, serta memenangi pingat perak kategori beregu dan individu di Para SUKMA XIX Perak pada tahun 2018.

 

Penganjuran Food Fest 2024 anjuran Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memangkin penglibatan rakan industri bagi membantu melahirkan pelbagai produk berinovatif berkaitan makanan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, adalah menjadi hasrat UMS untuk memastikan jalinan hubungan erat bersama sektor industri sebagai menyokong agenda meningkatkan keterjaminan makanan.

“Food Fest ini dianjurkan secara bersama dengan pelbagai agensi kerajaan serta rakan industri FSMP seperti Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan atau Ko-Nelayan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Korporasi Pembangunan Desa (KPD), ADABI, BTC dan lain-lain lagi.

“Justeru, saya menyambut baik usaha murni kolaborasi sebegini yang mampu membantu dalam memangkin usaha menghasilkan produk yang lebih mampan melalui Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta inovasi dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di perkarangan Bangunan FSMP.

Beliau turut difahamkan program tersebut turut melibatkan pelajar-pelajar dari semua program prasiswazah bersama berganding bahu sebagai penggerak dan pelaksana utama.

“Penglibatan pelajar secara langsung dapat memberi nilai tambah serta mengukuhkan pengetahuan pelajar, selain sebagai galakan kepada mereka untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti yang dianjurkan oleh universiti.

“Harapan saya program ini menyumbang terhadap kemenjadian pelajar atau graduan FSMP kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau.

Pelbagai acara diadakan sempena Food Fest FSMP antaranya pameran jualan program prasiswazah FSMP, pameran rakan industri, aktiviti sukaneka, demonstrasi memasak, pertandingan pembangunan produk makanan dan produk inovasi, tamu dessert dan pertandingan mewarna.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Urusan Kumpulan BTC Berhad, Datuk Hj. Abdul Kadir M.E Sikkandar; Pengurus Besar ADABI Sabah, Muhammad Zahari Muhd Nasir; Pengurus Besar Ko-Nelayan Sabah, Yusof Hj. Ag. Besar; dan Dekan FSMP, Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) akan berkolaborasi dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi mengadakan program Social Entrepreneurship Pitch Challenge PUNB-UMS 2024 sebagai satu inisiatif untuk memperkasa keusahawanan pelajar dan komuniti usahawan khususnya dalam bidang keusahawanan.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Noor Fzlinda Fabeil, program berbentuk cabaran simulasi perniagaan peringkat negeri Sabah itu antara lain adalah bagi memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan nilai dan kemahiran keusahawanan bersama komuniti usahawan tempatan.

“Selain itu, program ini juga memberi ruang kepada pelajar untuk mempromosikan produk usahawan tempatan yang dihasilkan serta memperkenalkan pihak industri kepada para pelajar seawal mungkin untuk pendedahan kepada dunia keusahawanan sebenar melalui perkongsian ilmu daripada pegawai PUNB dan usahawan jemputan.

“Program ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan, iaitu proses pemadanan pelajar dan usahawan serta perbincangan tajuk projek keusahawanan di peringkat pertama, manakala peringkat kedua melibatkan kerja lapangan dan bengkel penyediaan projek keusahawanan, sebelum pembentangan projek keusahawanan (pitching) pada peringkat terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, FPEP dalam satu kenyataan memaklumkan program kelolaan Program Keusahawanan FPEP bersempena dengan penganjuran Simposium Keusahawanan FPEP 2024 akan ditaja sepenuhnya oleh PUNB dengan jumlah dana sebanyak RM35,000 bagi menampung kos penganjuran program.

Pelaksanaan program tersebut akan melibatkan kerjasama para pensyarah Program Keusahawanan dan diketuai oleh pelajar-pelajar FPEP dari Kelab Keusahawanan (ENTREC) dan Persatuan Mahasiswa FPEP (PMPEP), selain penyertaan langsung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Negeri Sabah (G3PNS) sebagai feeder kepada 10 kumpulan usahawan terpilih untuk program ini.

“10 kumpulan pelajar yang mempunyai solusi dan inovasi yang menarik kepada permasalahan yang dihadapi oleh setiap 10 usahawan terlibat akan dipilih dan mereka akan mengadakan beberapa siri lawatan ke premis usahawan untuk melakukan pemerhatian operasi dan urus niaga bagi suatu tempoh masa secara berjadual.

“Sesi sumbang saran antara pelajar dan usahawan turut berlaku sepanjang lawatan yang diadakan.

“Para pelajar kemudiannya akan memberi cadangan atas nasihat oleh mentor yang merupakan pensyarah program keusahawanan bagi memastikan cadangan yang diusulkan praktikal dan boleh dilaksana,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Program tersebut bermula 27 Jun dan akan berlangsung sehingga 31 Oktober ini.

 

Seramai 469 pelajar Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam Majlis Anugerah Dekan FSSA Semester 1, sesi 2023/2024 yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Dekan FSSA Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah bin Gansau, majlis tersebut diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada para pelajar setelah gigih berusaha mendapatkan keputusan cemerlang.

Jualang berkata pengiktirafan tersebut juga bagi membuktikan bahawa usaha berterusan serta sokongan keluarga menyumbang kepada kecemerlangan para pelajar.

“Majlis pengiktirafan ini membuktikan kecemerlangan para pelajar pada hari ini adalah refleksi kepada semangat dan usaha berterusan pelajar serta sokongan yang padu daripada ibu bapa, keluarga dan para pensyarah.

“Di samping itu, ia juga bagi membuktikan bahawa UMS merupakan sebuah institusi yang mampu untuk melahirkan graduan cemerlang.

“Kejayaan anda pada hari ini bukan suatu yang mudah untuk dicapai. Ini adalah hasil ketekunan, dedikasi dan komitmen yang tinggi,” katanya.

Beliau menambah pencapaian cemerlang adalah titik mula dalam mempersiapkan diri pelajar untuk menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.

“Saya menyeru semua pelajar agar menanam mentaliti sebagai pelajar seumur hidup agar dapat beradaptasi dengan baik mengikut keperluan masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Daripada jumlah yang menerima anugerah, sebanyak 29 pelajar mendapat markah Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

Turut hadir, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FSSA, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSSA, Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien; Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin dan Pengarah Majlis Anugerah Dekan FSSA 2024, Dr. Rubena Yusof.

 

Seramai 19 pelajar dari Kelab Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga (CFC), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama tiga orang pensyarah pengiring telah mengadakan International Relation Program (IRP) ke Indonesia selama lapan hari bermula 25 Mei hingga 1 Jun baru-baru ini.

Objektif utama program tersebut adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai budaya dan cara hidup masyarakat di luar negara di samping memperoleh pendedahan dalam bidang Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga dengan membuat lawatan ke pusat kanak-kanak berkeperluan khas dan universiti yang terpilih.

Menurut Penasihat Kelab CFC, Dr. Suwaibah Zakaria, program IRP merupakan acara tahunan kelab berkenaan yang diadakan sejak tahun 2013 lagi.

“Program tahunan ini dikendalikan hampir seratus peratus oleh ahli majlis tertinggi dan majlis eksekutif CFC. Antara negara-negara yang telah dikunjungi oleh kelab ini adalah Korea Selatan, Brunei, Singapura, Thailand, Taiwan, Australia dan yang terkini Indonesia.

“Setiap tahun, CFC mengambil inisiatif untuk menjelajah ke negara pilihan mereka bagi meneroka ilmu baharu dan menimba pengalaman berharga sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran sepanjang hayat yang tidak boleh diperoleh dalam dewan kuliah,” katanya.

Sementara itu, Dekan FPP UMS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata penganjuran program tersebut dapat memberikan pemahaman dan pengalaman mendalam kepada pelajar mengenai cabaran dalam penganjuran sesuatu program.

“Matlamat utama program ini adalah untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan untuk mengemudi bidang yang kompleks dan mencabar di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu Pengarah Program IRP, Qistina Alya Jamaluddin, menyeru rakan pelajar untuk terus menghayati semangat inovasi dan kebolehsuaian dalam menghadapi perubahan landskap pendidikan sentiasa berubah.

“Pengalaman daripada program ini telah melengkapkan peserta dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan dengan penuh yakin," ujar beliau.

Turut menyertai program tersebut Ketua Program Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga, Dr. Nur Farhana Ardillah Aftar dan Felo Siswazah, Nurul Shafira Adi.