Kira-kira 500 peserta menyertai Joint Conference of the International Society of Environmental Epidemiology Asia and Western Pacific Chapter (ISEE-AWPC) and the International Society for Exposure Science Asia Chapter (ISES-AC) 2024 anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk. Dr. Kasim Mansor berkata penganjuran persidangan tersebut adalah penting dan bertepatan dengan keperluan masa kini untuk membincangkan tentang perubahan iklim yang melanda dunia.

Katanya, walaupun cabaran dalam perubahan iklim adalah sangat besar, namun ia juga memberi ruang kerjasama silang disiplin dalam inovasi untuk menyelesaikannya.

“Tahun ini amat istimewa kerana UMS menyambut ulang tahun penubuhan ke-30. Kami berpegang kepada prinsip “mengakar citra ilmu, melangit tamadun bangsa” yang mencerminkan komitmen UMS yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan, inovasi dan kewarganegaraan global.

“Justeru, saya yakin penganjuran persidangan ini akan memberi hasil yang dapat mempengaruhi penggubalan dasar dan memberi inspirasi kepada tindakan di semua peringkat masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikan ketika merasmikan persidangan tersebut. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FPSK, Datuk Mohd Yusof Ibrahim.

Kasim turut mempelawa semua ahli akademik dan profesional untuk meneroka peluang pengajian dan kerjasama dengan UMS.

“Kami komited untuk mengembangkan asas pengetahuan kami, memupuk penyelesaian inovatif dan bekerjasama dengan institusi di seluruh dunia untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.

“Maka, kami mengalu-alukan pelajar dan penyelidik dari seluruh dunia untuk menyertai kami dalam misi penting ini,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Persidangan ISEE-AWPC dan ISES-AC. Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad; Presiden MySEE, Dr. Norlen Mohamed; Presiden ISEE, Profesor Dr. Nelson Gouveia dan Ketua Pegawai Penyelidik Institute for Development Studies (IDS), Richard T. Koh.

 

Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan aktiviti pengintegrasian Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) dalam Program Pemindahan Ilmu (KTP) dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pusat Reintegrasi Penghuni, Tuaran baru-baru ini.

Menurut Ketua Penyelidik Makmal Hidupan Pengintegrasi Komuniti Tertumpu UMS, Dr. Esther Jawing, program anjuran bersama Jabatan Penjara Malaysia tersebut bertujuan membantu rehabilitasi penghuni penjara yang akan kembali berintegrasi dengan komuniti luar setelah selesai menjalani hukuman.

Katanya program itu juga turut menggabungkan hasil pembelajaran kursus English for Employment oleh pelajar-pelajar UMS melalui khidmat komuniti untuk membantu rehabilitasi penghuni penjara agar dapat berintegrasi kembali dengan komuniti luar.

“Dengan sokongan komuniti, penghuni penjara mempunyai peluang yang lebih baik untuk kembali ke dalam masyarakat dengan cara yang positif dan produktif.

“Pengintegrasian SULAM dalam KTP dan CSR meningkatkan impak komuniti, pendidikan pelajar, dan kerjasama institusi melalui projek kolaboratif yang disokong oleh bimbingan fakulti serta pakar industri.

“Sinergi ini juga menyelaraskan usaha CSR dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), di mana pihak industri menyumbang sumber daya dan kepakaran untuk projek komuniti yang memberi impak positif dan memperkuatkan pendidikan holistik bagi pelajar dan komuniti,” katanya.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Penguasa Penjara Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Oliver Girih Jiniu.

Menurut Oliver, aktiviti komuniti bersama penghuni penjara amat digalakkan kerana ia membantu pemulihan sosial serta mengurangkan stigma terhadap bekas penghuni penjara.

“Melalui interaksi ini, penghuni penjara dapat memupuk sikap positif, mengurangkan kadar jenayah ulangan, dan menjaga kebajikan emosi dan mental mereka.

“Dengan sokongan komuniti, penghuni penjara mempunyai peluang yang lebih baik untuk kembali ke dalam masyarakat dengan cara yang positif dan produktif,” ujarnya

Hadir sama, Penolong Penguasa Penjara di Pusat Reintegrasi Penghuni Tuaran, Onasis Haji Abdul Husin dan Penyelaras Gugusan Bahasa Inggeris sebagai wakil projek SULAM dari PPIB UMS, Profesor Madya Datin Dr. Veronica P. Atin.

 

Pelaksanaan Program SULAM ‘Future Youth, Future Proof’ (FYFP) di Kampung Seri Serbang, Bongawan, Papar baru-baru ini mampu meningkatkan kesedaran penduduk kampung terhadap kepentingan penjagaan ekosistem hutan bakau khususnya di kampung tersebut.

Penyelaras Program FYFP, Dr. Rosmalina Abdul Rashid berkata, program anjuran Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran komuniti terhadap ekosistem hutan bakau yang menjadi nadi produk ekopelancongan yang terdapat di kampung tersebut.

“Adalah amat penting untuk menjaga ekosistem bakau di sepanjang Sungai Bongawan ini bagi memastikan kelestarian sumber alam semula jadinya terpulihara.

“Ini kerana hutan bakau ini menjadi habitat kepada pelbagai serangga dan hidupan liar seperti kelip-kelip, monyet Belanda dan haiwan reptilia seperti buaya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seramai 20 komuniti yang terlibat dalam mengusahakan produk ekopelancongan di kampung itu telah bersama menjayakan program tersebut.

“Antara aktiviti yang diadakan adalah penanaman sebanyak 120 anak pokok bakau hasil sumbangan daripada pihak Jabatan Perhutanan Sabah (JPNS).

“Justeru, diharapkan program ini memberi manfaat kepada komuniti dan para pelajar yang terlibat serta membantu komuniti Kampung Seri Serbang terhadap pengetahuan memulihara sumber alam semula jadi,” katanya.

Ujar Rosmalina, program ini turut diharap mampu memberi impak positif kepada para pelajar untuk memahami dan mendalami keperluan membantu masyarakat setempat dalam hal berkaitan perhutanan dan ekopelancongan.

Program yang dirasmikan oleh Pegawai Perhutanan Wilayah, JPNS, Mohd. Nasir Ag. Suman melibatkan penyertaan 55 pelajar kursus Eko-Pelancongan UMS dan disertai oleh dua pensyarah UMS, iaitu Rosmalina dan Dr. Nur Athirah Abdullah.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada kakitangan JPNS serta dibantu oleh ahli jawatankuasa Kampung Seri Serbang, Bongawan.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) telah menjayakan Konsert Muzikal Kanak-Kanak sebagai usaha memupuk minat kanak-kanak terhadap seni muzik sejak kecil lagi.

Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPP, Prof. Madya Dr. Roslee Talip, program itu merupakan satu inisiatif untuk memperkenalkan kanak-kanak tentang konsert muzik yang akan menjadi inspirasi bagi mencungkil minat dan memberi penghayatan terhadap seni muzik.

“Program ini dapat memperkenalkan seni muzik dan juga member peluang kepada kanak-kanak untuk memahami nilai seni muzik serta dapat membina kemahiran sosial yang lebih baik.

“Peranan pendidik dan ibu bapa serta orang yang berada di sekeliling kanak-kanak amatlah penting untuk memberi tunjuk ajar dan pengalaman sejak mereka kecil terhadap keterlibatan kanak-kanak dalam seni muzik.

“Hal in kerana perkara ini walaupun dilihat kecil, tetapi sebenarnya dapat memberi impak yang besar kepada pencapaian dan prestasi kanak-kanak dalam membentuk individu yang cemerlang dan berwawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program konsert muzikal tersebut di Auditorium Pascasiswazah, UMS.

Beliau turut berharap persembahan tersebut dapat menjadi inspirasi dan membuka mata dan minda dalam memajukan seni muzik negara.

Terdahulu, Pengarah Program Konsert Muzikal, Atirah Faridi memberitahu, penganjuran program Konsert Muzikal Kanak-Kanak itu adalah bertujuan untuk menyediakan pengalaman muzik yang mendidik dan menghiburkan bagi kanak-kanak dari semua peringkat umur.

“Dengan fokus untuk memperkenalkan muzik dan instrumen kepada kanak-kanak, konsert ini diharapkan dapat mencungkil minat dan penghayatan mereka terhadap seni muzik, serta dapat membantu menginspirasi kreativiti pelajar kepada kanak-kanak dengan memberi mereka peluang untuk mengekspresikan diri melalui seni dan muzik.

“Selain itu, konsert ini juga mampu membina apresiasi yang lebih mendalam terhadap seni muzik dan persembahan dengan menyediakan persembahan berkualiti dan bermakna,” katanya.

Ujar beliau, penerokaan terhadap dunia muzik secara langsung dapat membantu kanak-kanak mengembangkan pemahaman yang lebih mendalam tentang nilai seni, sekali gus membantu dalam perkembangan individu serta membentuk hubungan sosial yang sihat.

Lebih 120 ibu bapa dan kanak-kanak hadir bersama bagi memeriahkan pelbagai acara yang berlangsung sempena konsert tersebut.

 

Kolaborasi antara Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Fakultas Pertanian, Universitas Muhammadiyah (Unismuh) Makassar, Indonesia menerusi Projek Komuniti Antarabangsa mampu membantu usahawan tani di Sandakan dalam menerapkan teknologi akuaponik di ladang tersebut.

Menurut kenyataan dari FPL, pelaksanaan Projek Penerapan Teknologi Aquaponik Dalam Penghasilan Sayur Berdaun di Aling Hidroponik Farm Sandakan, Sabah itu melibatkan empat pensyarah dari UMS dan Unismuh.

Mereka adalah dua pensyarah dari Unismuh iaitu Pensyarah Program Pengajian Agroteknologi, Dr. Syamsia dan Pensyarah Program Pengajian Perniagaan Tani, Dr. Asriyanti Syarif; serta dua pensyarah dari UMS iaitu Pensyarah Program Tanaman Makanan FPL, Dr. Siti Suliza Salamat dan Dr. Ilmas Abdurofi.

“Pelaksanaan projek ini dijangka akan memberi manfaat kepada usahawan tani iaitu Rosli Yusof dan Jusneh @ Farah Ain Botong selaku pemilik Aling Hidroponik Farm dalam meningkatkan daya maju perusahaan pertanian.

“Projek ini memfokuskan kepada teknologi akuaponik dan pengurusan perladangan sebagai menyokong peralihan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi penghasilan keterjaminan makanan menggunakan sumber alam semula jadi,” demikian menurut kenyataan dari FPL.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan, projek komuniti itu mempunyai beberapa tahap pelaksanaan.

“Tahap pertama dan kedua kajian dilakukan di Unismuh dan UMS di kawasan rumah teduhan hijau, di mana penghasilan sayuran salad menggunakan air ternakan ikan keli dan siakap merah.

“Tahap ketiga dan keempat pula adalah proses pemindahan ilmu dan penerapan teknologi di lokasi projek membangun komuniti usahawan tani di Sandakan, Sabah, yang antara lain berkaitan pemasangan peralatan akuaponik dan penjelasan mengenai mekanisme kerja sistem akuaponik.

“Tahap kelima pula lebih kepada kegiatan latihan, pencatatan dan pengurusan ladang yang berlangsung selama dua hari,” menurut kenyataan tersebut.

Usahawan tani juga akan diberi pendedahan berkaitan kaedah mencatatkan hasil, menghitung modal, kos tetap, kos berubah, jangkaan hasil, balik modal, untung atau rugi.

Dalam pada itu, Syamsia dalam satu kenyataan menyatakan harapan kolaborasi ini mampu memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

“Dengan menerapkan teknologi akuaponik dan perancangan yang baik, kami berharap petani dapat meningkatkan produksi dan meraih keuntungan yang lebih besar.

“Justeru, ucapan penghargaan diberikan kepada pengurusan Unismuh yang telah menyalurkan sejumlah dana untuk projek ini, serta kepada pihak FPL UMS kerana memilih Unismuh sebagai rakan kolaborasi,” katanya.

Siti Suliza turut menyatakan sokongan terhadap kolaborasi antara kedua-dua institusi yang mampu memangkin pembangunan ekonomi komuniti setempat.

“Kerjasama membangun ekonomi komuniti antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia melalui perpindahan ilmu kepada komuniti perlu diteruskan secara konsisten supaya masyarakat dapat menerima manfaat kajian-kajian yang dilakukan di universiti,” ujar beliau.