Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencatat sejarah membanggakan apabila seramai 15 orang saintisnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 2% Saintis Terbaik Dunia 2025, satu pengiktirafan berprestij antarabangsa yang diterbitkan oleh Stanford University dengan kerjasama Elsevier.

Pencapaian tersebut merangkumi 14 saintis yang diiktiraf dalam kategori Single Year Citation Impact bagi tahun 2024, manakala 6 orang lagi tersenarai dalam kategori Career-Long Citation Impact.

Menariknya, beberapa nama cemerlang muncul dalam kedua-dua kategori sekali gus menjadikan keseluruhan yang menerima pengiktirafan ini seramai 15 orang.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti keupayaan universiti dari Borneo untuk berdiri sebaris dengan institusi penyelidikan terbaik dunia.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan saintis UMS mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia, sekali gus menunjukkan ilmu dan inovasi dari Borneo dapat menyumbang kepada penyelesaian cabaran global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa tetapi juga pemangkin kepada pengukuhan kerjasama pada pelbagai peringkat.

Jelasnya, di peringkat tempatan, universiti akan terus bekerjasama dengan komuniti, agensi kerajaan dan industri di Sabah serta Malaysia.

“Di peringkat serantau Borneo, UMS berhasrat memperkukuh jaringan dengan rakan akademik di Sarawak, Brunei dan Kalimantan.

“Manakala di pentas global, fokus utama adalah membina kolaborasi dengan universiti dan organisasi antarabangsa dalam bidang penyelidikan, mobiliti akademik dan inovasi.

“Kejayaan ini hanyalah permulaan. Dengan kepakaran pelbagai bidang, UMS akan terus menjadi jambatan ilmu antara Sabah, Borneo dan dunia,” tambah Datuk Dr. Kasim.

Beliau turut mengumumkan nama-nama saintis yang telah mengharumkan universiti itu di peringkat antarabangsa.

“Antara nama yang tersenarai dalam kategori Single Year Citation Impact ialah Prof. Dr. Hanudin Amin, Dr. Teo Siow Hwa, Prof. Dr. Jason Teo Tze Wi, Prof. Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria, dan Prof. Madya Dr. Christophe Patrice Andie Wiart.

“Turut diiktiraf ialah Prof. Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee, Dr. Noora Barzkar, Prof. Madya Ts. Dr. Rovina Kobun, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, Prof. Dr. Md Lutfor Rahman, Prof. Madya Dr. Shigeharu Sato, Prof. Ts. Dr. Uda Hashim, Prof. Dr. Rayner Alfred, serta Dr. Nurul Elyani Mohamad.

“Sementara itu, dalam kategori Career-Long Citation Impact, antara yang tersenarai termasuk Prof. Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria, Prof. Madya Dr. Christophe Patrice Andie Wiart, Prof. Dr. Jason Teo Tze Wi, Prof. Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, dan Prof. Dr. Md Lutfor Rahman.

“Pengiktirafan 15 saintis UMS itu ini sekali gus memperkukuh reputasi universiti sebagai pusat ilmu yang digelar “Brain of Borneo”, selaras dengan misi untuk mengangkat penyelidikan dan inovasi dari rantau ini ke persada dunia,” kata Dr Kasim lagi.

 

Masyarakat wajar mencontohi sunnah Nabi Muhammad SAW dalam membina masyarakat sejahtera, bersatu padu dan berdaya saing dalam usaha membangunkan ummah Madani.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, Rasulullah SAW menzahirkan contoh terbaik ummah Madani dengan membina masyarakat yang berpaksikan keadilan, kasih sayang dan toleransi.

“Umat Islam hari ini memerlukan kekuatan bukan sahaja dalam aspek kerohanian, tetapi juga dalam ilmu pengetahuan, teknologi, ekonomi, serta disiplin hidup.

“Inilah makna sebenar membangunkan Ummah Madani, iaitu umat yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia, serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan sejagat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMS di Pusat Islam UMS.

Tambah Kasim, Sambutan Maulidur Rasul pada setiap tahun juga memberi ruang untuk umat Islam memperbaharui tekad mencontohi akhlak Rasulullah SAW sebagai insan yang penuh kasih sayang, berlaku adil dan menjadi rahmat kepada sekalian alam.

“Baginda adalah model kepimpinan unggul yang patut kita teladani dalam kehidupan seharian, sama ada sebagai individu, ahli keluarga, masyarakat mahupun pemimpin.

“Semoga sambutan seperti ini akan melahirkan warga UMS yang berkasih sayang dan bekerjasama walaupun kita berbeza fikrah, budaya, bangsa dan agama,” ujar beliau.

Bersempena dengan sambutan tersebut, turut diadakan pertandingan perarakan kontinjen terbaik yang disertai 22 kontinjen melibatkan 850 peserta dari pelbagai fakulti dan jabatan di UMS yang berkumpul di Perkarangan Dewan Canselor UMS sebelum berarak menuju ke Pusat Islam UMS.

Kontinjen Jabatan Pendaftar dinobat sebagai johan, sekali gus membawa hadiah kemenangan berjumlah RM 1,000, manakala kontinjen yang terdiri daripada gabungan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Pusat Pendidikan Fleksibel UMS, Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri, dan Pusat Kelestarian dan Libatsama Masyarakat mendapat tempat kedua dan menerima hadiah kemenangan berjumlah RM700.

Tempat ketiga dimenangi kontinjen dari gabungan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Hospital UMS, sekali gus menerima hadiah kemenangan sebanyak RM500 yang disampaikan Kasim.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisyam Ismail; Ketua Perpustakaan UMS, Zawawi Tiyunin; Penasihat Undang-Undang UMS, Awang Suhaizam Bungso; Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; dan Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Sarip Adul.

 

Usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan ilmu sains dalam kalangan masyarakat luar bandar perlu diberi perhatian lebih mendalam, kata Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Perubatan Keluarga di FPSK UMS memaklumkan, pendedahan awal terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sahaja mampu membina keyakinan pelajar, malah berpotensi melahirkan lebih ramai pakar tempatan bagi membangunkan negeri Sabah pada masa hadapan.

“Komitmen itu dizahirkan menerusi kejayaan pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad II Keningau yang merangkul Anugerah Emas dalam pertandingan STEMQuest Ignite Zon Keningau anjuran UMS baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, sekolah tersebut meraih anugerah menerusi dua pelajar Tingkatan 4, Tiara Valendra Rustum dan Arissa Delisha Alfian, yang menghasilkan inovasi Smart Solar Fan, dengan bimbingan guru STEM sekolah Ronald Deck Yami dan Jude James.

Sokongan turut diperkukuh oleh mentor daripada Persatuan Alumni SMK Gunsanad II Keningau (Alumni G2), Salbiah Jeffary @ Jeffry, yang membantu dalam aspek idea serta teknikal.

Dalam pada itu, Pensyarah Perubatan Pelatih Jabatan Perubatan Keluarga UMS merangkap Pengerusi Alumni G2, Dr. Muhd Shafeiq Muhammad Asri berkata, kejayaan itu membuktikan penglibatan akademik universiti bersama sekolah dan masyarakat mampu mencetuskan impak besar dalam memperkasa STEM di luar bandar.

“Kemenangan ini bukan sahaja menjadi pencapaian membanggakan, tetapi juga pembakar semangat kepada murid-murid luar bandar agar berani mencabar diri dan bergiat aktif dalam bidang STEM.

“Usaha ini juga selaras dengan Pelan Strategik UMS (2023-2027) yang menekankan penganjuran projek berimpak tinggi kepada sosioekonomi masyarakat,” ujarnya yang juga penyelia kepada peserta pasukan SMK Gunsanad II.

 

 

Perenang lasak negara, Mohd Ikhmil Fawedz Mohd Hanif, 51, mencatat sejarah apabila berjaya menamatkan renangan sejauh empat kilometer di laut terbuka dengan tangan serta kaki bergari, sempena Program Road to World Record di sini, pada Sabtu.

Beliau memulakan cabaran dari jeti Universiti Malaysia Sabah (UMS) menuju ke Pulau Sepanggar sebelum menamatkan renangan di Pantai Odec UMS.

Menurut Mohd Ikhmil, perjalanan renangan itu berlangsung lancar dengan pemantauan rapi pasukan pengiring yang mengiringinya sepanjang laluan.

“Saya rasa selamat sepanjang renangan ini, dan itu amat penting bagi seorang perenang profesional, lebih-lebih lagi untuk jarak sejauh ini,” katanya ketika ditemui selepas acara.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, cabaran berkenaan menjadi simbol kekuatan, perpaduan dan keberanian, selain sebagai dorongan kepada generasi muda agar berani menghadapi halangan hidup.

“Renangan dengan tangan dan kaki bergari ini adalah simbolik bahawa walaupun berdepan gelora kehidupan, kita mesti terus melangkah ke hadapan dan jangan biarkan sesaat kegagalan menjadi penyesalan seumur hidup,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pencapaian yang diraih tidak datang secara mudah, sebaliknya menuntut tempoh latihan konsisten selama lebih sedekad, selain berdepan pelbagai kekalahan dan kesukaran.

"Namun yang lebih utama adalah kesanggupan kita memperuntukkan masa dan usaha. Dengan ketekunan, perkara luar biasa boleh dicapai,” katanya.

Bagaimanapun, cabaran tetap hadir apabila beliau mengalami kekejangan otot serta keletihan akibat arus kuat dan rasa lapar ketika berada di kawasan laut dalam, namun tetap meneruskan renangan hingga ke garisan penamat.

Beliau berjaya menamatkan renangan pada jam 1.54 tengah hari dan disambut dengan tepukan gemuruh daripada masyarakat setempat yang hadir.

Program Road to World Record itu turut menjadi langkah awal Mohd Ikhmil untuk melakar nama dalam Malaysia Book of Records, sebelum mencuba memecahkan rekod dunia pada Ogos 2026 di Johor.

“Kami masih meneliti lokasi penganjuran, kemungkinan besar di Desaru atau Forest City, bergantung kepada perkenan Kebawah Duli Tuanku,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor melalui ucapan yang dibacakan Pendaftar Luqman Ridha Anwar mengucapkan tahniah kepada Mohd Ikhmil dan pasukannya atas kejayaan bersejarah itu.

Beliau berharap pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada generasi muda, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam marin.

Turut hadir menyaksikan acara itu ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim Prof Datuk Dr Ismail Ali, Naib Presiden Borneo Sales Andy Chai Chee Teck, Ketua Pegawai Eksekutif Beau Villas IBS Sdn Bhd Michael He Long, selain pegawai dan ketua jabatan UMS.

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyatakan bahawa budaya megalitik merupakan warisan negara yang tidak ternilai dan perlu dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat tempatan.

Katanya megalit bukan sahaja berfungsi sebagai peningggalan arkeologi tetapi turut menggambarkan struktur sosial, ada dan sistem kepercayaan masyarakat lampau.

“Megalit merujuk kepada batu besar yang didirikan oleh masyarakat terdahulu untuk pelbagai tujuan. Antaranya sebagai penanda sempadan, tanda kubur, simbol perdamaian selepas peperangan, batu sumpah, dan peringatan terhadap peristiwa penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Seminar Budaya Megalitik di Negeri Sabah yang berlangsung di Dewan Bankuasi, UMS. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS, Profesor Dr. Asmady Idris.

Seminar tersebut dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Muzium Negeri Sabah, Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), FSSK serta Institut Borneo untuk Kajian Asli (BorIIS) UMS.

“UMS melalui kerjasama dengan penyelidik dari BorIIs telah menjalankan beberapa projek penyelidikan mengenai megalit di Sabah menggunakan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS).

“Usaha ini adalah untuk mendokumentasikan kepentingan arkeologi dan khazanah budaya serta mengkaji potensi pemetaan laluan warisan untuk pelancongan budaya di daerah tersebut.

“Antara kawasan yang telah direkodkan termasuklah komuniti Kadazandusun di Tambunan, masyarakat Lundayeh di Long Pasia, Kadazan di Penampang serta beberapa komuniti lain di Papar, Beaufort dan Kuala Penyu,” tambahnya.

Kasim turut menyuarakan kebimbangan kerana budaya megalitik kini semakin terancam. Banyak struktur batu besar ini dipecahkan, dipindahkan atau dimusnahkan akibat pembangunan dan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap kepentingannya.

“Jika tidak dipelihara, hanya sebilangan kecil sahaja megalit akan kekal berbanding jumlah asalnya yang dianggarkan ratusan di seluruh Sabah, justeru usaha dokumentasi perlu dilaksanakan agar ia tidak dilupakan.

“Keunikan budaya megalitik yang menarik mampu menawarkan tarikan yang tinggi kepada para pelancong,” tambahnya.

Seminar Budaya Megalitik di Negeri Sabah itu turut mengadakan lawatan ke Muzium Tapak Perkuburan Purba Pogunon, Penampang. Aktiviti tersebut memberi peluang peserta mengenali lebih dekat sejarah dan kepelbagaian bentuk megalitik di Sabah.

Seminar tersebut juga Ia turut menyaksikan pembentangan kertas kerja oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Profesor Dr. Jacqueline Pugh Kitingan dari BorIIS UMS, dan Profesor Madya Dr. Oliver Valentine Eboy dari FSSK UMS.

 

Sumber Foto: Jabatan Penerangan