Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan satu inovasi baharu dalam penghasilan kolagen halal berasaskan hasil sampingan ikan tilapia melalui kaedah pantas menggunakan enzim papain dan teknologi membran ultrafiltrasi.

Inovasi yang dinamakan “Rapid Isolation of Halal Collagen from Tilapia By-Products by Papain Enzyme and Ultrafiltration Membrane System” dihasilkan Penyelidik Fakulti Sains dan Pemakanan (FSMP), Dr. Jumardi Roslan berjaya memendekkan tempoh penulenan kolagen daripada enam hari kepada hanya satu hari.

Menurut Jumardi, inovasi tersebut menggunakan pendekatan mampan iaitu enzim papain berasaskan tumbuhan dan sistem membran ultrafiltrasi menggantikan sumber kolagen konvensional daripada haiwan darat seperti lembu dan khinzir.

“Melalui pendekatan ini, ia bukan sahaja mempercepatkan proses pengekstrakan kolagen dengan kecekapan tinggi tetapi juga turut mengekalkan kualiti bahan aktif yang tinggi.

“Dengan pemendekan tempoh penulenan kolagen, ia sekali gus mampu meningkatkan hasil pengeluaran dan ketulenan produk tanpa menjejaskan piawaian halal yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan inovasinya itu pada Persidangan Antarabangsa Pembangunan Halal (ICHaD) 2025 anjuran Pusat Makanan dan Kesihatan, Institut Penyelidikan dan Penglibatan Komuniti, Universitas Negeri Malang (UM), di sini, baru-baru ini.

Menurut Jumardi, penggunaan hasil sampingan ikan tilapia pada masa yang sama bukan sahaja mengurangkan sisa industri perikanan, malah memperkukuh inovasi berasaskan halal yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), serta SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air).

“Potensi kolagen halal yang dihasilkan melalui kaedah ini diyakini mampu memberi impak besar terhadap pembangunan industri makanan berfungsi, nutraseutikal, kosmetik dan bioperubatan, selain memperkukuh kedudukan pasaran global bagi produk halal yang mampan,” tambah beliau yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FSMP UMS.

Persidangan yang diadakan secara hibrid di Bangunan Graha Rektorat UM itu menghimpunkan ahli akademik serta pengamal industri halal dari dalam dan luar negara dengan tema “Pemakanan Halal untuk Kesihatan dan Kesejahteraan: Menghubungkan Keimanan Islam dan Sains” .

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai hab penyelidikan keterjaminan makanan melalui penganjuran International Conference on Food Security 2025 (ICFS 2025), baru-baru ini.

Persidangan yang menghimpunkan seramai 251 pakar tempatan dan antarabangsa tersebut membincangkan perkembangan terkini, cabaran serta inovasi strategik dalam menjamin sistem makanan yang berdaya tahan dan mampan.

Matlamat utamanya adalah untuk menggarap penyelesaian bersama terhadap isu sekuriti makanan yang kian meruncing akibat perubahan iklim dan tekanan ekonomi global.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Sri Arthur Joseph Kurup, keterjaminan makanan merupakan isu penting yang diberi keutamaan dalam negara.

“Malaysia komited memperkukuh pengeluaran domestik, mengurangkan kebergantungan import serta memanfaatkan teknologi AgriFood Tech 4.0 untuk menjamin sistem makanan negara yang lebih bersedia menghadapi masa depan.

“Keterjaminan makanan adalah tanggungjawab bersama, ia perlu melibatkan kerjasama erat antara akademia, industri, pembuat dasar dan komuniti.

“Tanpa sinergi semua pihak, strategi terbaik sekalipun tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Sumber protein alternatif, teknologi makanan baharu, serta penyelidikan sains makanan perlu diperkukuh bagi memastikan kita mampu memberi makan kepada populasi yang semakin meningkat tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar,” kataya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan ICFS 2025 yang berlangsung secara dalam talian melalui platfrom Webex.

Persidangan tersebut merupakan anjuran bersama rakan antarabangsa daripada University of Novi Sad, Serbia dan Universitas Brawijaya, Indonesia.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, komitmen UMS terhadap agenda keterjaminan makanan dipacu melalui Food Security Research Laboratory, yang memainkan peranan strategik dalam penyelidikan dan pembangunan inovasi berkaitan pengeluaran makanan mampan, keselamatan makanan dan pemakanan.

“Makmal ini bukan sahaja melaksanakan penyelidikan, tetapi turut menerjemahkan dapatan kepada amalan sebenar melalui kerjasama rapat dengan agensi kerajaan, industri dan komuniti.

“Inisiatif penyelidikan UMS menyokong sepenuhnya Dasar Agromakanan Negara (2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021–2025, selain memanfaatkan biodiversiti unik Sabah untuk menangani isu sekuriti makanan pada skala global,” katanya.

Tambah Kasim, persidangan ini bukan sekadar platform akademik, ia adalah ruang yang mencetuskan idea transformasi dan kerjasama bermakna untuk mewujudkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan lestari.

Persidangan ICFS 2025 turut memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti, pendidikan, dan pengukuhan jaringan antarabangsa sebagai elemen utama merangka dasar makanan moden.

UMS yakin bahawa ICFS 2025 akan menjadi ruang penting dalam merangka strategi berimpak tinggi untuk masa depan sistem makanan negara dan dunia.

Dengan penglibatan pelbagai pihak, persidangan itu dijangka menghasilkan kerjasama strategik yang dapat menyumbang secara langsung kepada pelaksanaan dasar dan hala tuju sekuriti makanan Malaysia.

 

Aspirasi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam di Sabah terus diperkasakan apabila Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil sebagai penganjur utama Seminar Kualiti dan Inovasi 2025, yang menumpukan kepada usaha mempromosikan budaya kerja berasaskan inovasi dan tadbir urus baik.

Program anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) dan Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN) itu menjadi medan perkongsian idea, pengalaman serta amalan terbaik dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran awam secara holistik, sejajar dengan tema “Kualiti dan Inovasi: Memperkasa Tadbir Urus Baik.”

Dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan negeri dan wakil industri, seminar tersebut berfungsi sebagai jambatan ilmu bagi menyemai kesedaran tentang kepentingan penambahbaikan berterusan dalam sistem governans, termasuk adaptasi teknologi, peningkatan kecekapan kerja serta pemantapan integriti organisasi.

Merasmikan seminar tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor dalam ucapannya menekan peranan semua pihak dalam memajukan pengurusan yang berkualiti.

“Kualiti dan inovasi bukan lagi hak eksklusif mana-mana bidang, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan sistem tadbir urus yang mampu berfungsi dengan cekap, berintegriti serta memberi manfaat kepada masyarakat.

“Setiap organisasi perlu terus mencari cara baharu, memanfaatkan teknologi dan menyusun semula proses agar nilai tambah dapat dinikmati masyarakat serta negara,” jelasnya.

Menurut Kasim, kolaborasi rentas agensi merupakan pendekatan efektif dalam mendorong pembaharuan pentadbiran.

“Kerjasama strategik antara UMS, JPAN dan INSAN membuktikan potensi besar perkongsian kepakaran dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus sektor awam Sabah,” tambahnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar pada seminar yang berlangsung di The Pacific Sutera Hotel, di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti (CQA) UMS, Profesor Ir. Dr. Zainal Zakaria menyeru para peserta menjadikan seminar tersebut sebagai ruang untuk menerokai peluang pembelajaran yang boleh diterapkan dalam organisasi masing-masing.

“Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) yang mantap membantu meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan pentadbiran. Bukan sekadar bekerja keras, kita perlu bekerja secara sistematik dan berkesan.

“Inovasi pula menjadi pemangkin utama untuk kita mencari pendekatan baharu dalam penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, lebih baik dan lebih menjimatkan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa Konvensyen Kumpulan Penggerak Inovasi (KKPI) 2025 akan berlangsung pada 17 dan 18 November ini, merangkumi tiga kategori penyertaan iaitu Horizon Baharu KIK, Lean, dan Poster A3.

“Kita mengalu-alukan rakan kolaborasi seminar untuk turut serta sebagai pemerhati. Semoga lebih banyak idea dan inovasi dapat direalisasikan bersama,” katanya.

Seminar itu turut menampilkan sesi perkongsian pakar industri dan sektor awam, sekali gus memperkukuh rangkaian hubungan profesional dalam kalangan peserta.

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi hospital pertama di Borneo yang menawarkan perkhidmatan Hippotherapy secara klinikal kepada kanak-kanak berkeperluan khas.

Pengarah HUMS, Profesor Madya Dr. Hajah Malehah Datuk Mohd Noh, berkata perkhidmatan itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara HUMS, Happy Farms Hippotherapy Malaysia dan Nautica Stable.

“Hippotherapy bukan sekadar rawatan fizikal, tetapi juga berperanan membantu memulihkan fungsi dan keyakinan diri pesakit melalui aktiviti interaktif yang menyeronokkan.

“HUMS berhasrat menjadi hospital pertama di Borneo yang menyediakan rawatan ini secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Sambutan Hari Terapi Cara Kerja Sedunia (World Occupational Therapy Day) Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Aktiviti, Pusat Minda Lestari (PML), di sini, pada Isnin.

Dr. Hajah Malehah berkata, Hippotherapy ialah kaedah terapi menggunakan pergerakan kuda sebagai intervensi rawatan bagi membantu meningkatkan keseimbangan, kawalan postur, kekuatan otot teras serta kemahiran deria dan komunikasi pesakit.

“Terapi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara rawatan berkesan bagi individu yang mengalami cerebral palsy, autisme, sindrom down, kelewatan perkembangan dan gangguan neurologi lain.

“Langkah HUMS memperkenalkan perkhidmatan Hippotherapy ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh bidang kesihatan dan pemulihan di Sabah, sekali gus memberi harapan baharu kepada kanak-kanak berkeperluan khas di seluruh Borneo,” jelasnya.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr. Mohamed Yazir Adam Mohd Husin mewakili Pengarah JKNS, Dr. William Gotulis.

Dalam ucapannya beliau memaklumkan bidang terapi cara kerja memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Saya amat menghargai usaha kolaboratif antara HUMS, JKNS, PML dan Nautica Stable dalam memperkenalkan Hippotherapy di negeri ini.

“Ia bukan sahaja membuka peluang rawatan baharu, malah memperkukuh bidang terapi cara kerja di Sabah.

“Saya berharap agar lebih banyak integrasi, penyelidikan dan inovasi dapat dijalankan bagi memperkukuh bidang terapi cara kerja di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, seorang Juruterapi Cara Kerja HUMS, Nurirdiyana Idros menjelaskan bahawa pemilihan kuda dalam terapi ini berdasarkan nilai terapeutik yang tinggi kerana pergerakannya hampir menyerupai manusia.

“Pergerakan kuda menggantikan fungsi kaki manusia. Ia membantu pesakit, terutamanya yang mengalami gangguan koordinasi atau cerebral palsy, untuk melatih otot teras dan meningkatkan keseimbangan tubuh,” ujarnyanya.

Beliau yang merupakan juruterapi Hippotherapy turut memaklumkan bahawa terapi pergerakan kuda sudah lama diamalkan di luar negara dan diperakui keberkesanannya.

“Malaysia mungkin masih baharu memperkenalkan terapi ini, namun langkah HUMS akan menjadi titik tolak penting dalam bidang pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas,” ujarnya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan usaha memperkukuh pendidikan berkaitan bidang alam bina menerusi penganjuran seminar bertemakan “The Brain of Borneo: The Future of Built Environment Education in Sabah”.

Seminar yang turut mendapat kerjasama Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Sabah Chapter itu antara lain adalah bagi menyediakan peluang untuk berkongsi pandangan, pertukaran pengetahuan dan memperkukuh rangkaian antara akademia, pelajar dan profesional industri pembinaan serta reka bentuk.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi ketika berucap mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, kerjasama strategik bersama PAM Sabah Chapter itu bukan sekadar penganjuran program bersama, sebaliknya melibatkan penyatuan kepakaran akademik dan industri profesional dalam membangunkan kurikulum serta hala tuju pendidikan alam bina di Sabah.

“Tema ‘The Brain of Borneo’ membawa mesej jelas mengenai aspirasi menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan reka bentuk dan pembangunan lestari di rantau ini.

“Bidang alam bina, kejuruteraan dan ukur bahan menjadi disiplin yang menyatukan kreativiti dan sains untuk membina dunia yang lebih baik dan mampan,” katanya ketika berucap sempena perasmian seminar tersebut di Galeri Azman Hashim, UMS.

Beliau menambah, sektor alam bina kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim, pembangunan pesat bandar, kemunculan teknologi baharu serta permintaan terhadap gaya hidup yang mampan.

“Cabaran ini memerlukan perubahan terhadap pendekatan pendidikan kita.

“Justeru itu, kerjasama rapat antara UMS dan PAM Sabah Chapter ini amat penting bagi memastikan pendidikan yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan industri global,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Rossita bersama Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Haji Aliasgar Haji Basri turut menyaksikan acara menandatangani Surat Niat (LoI) antara UMS dan PAM Sabah Chapter.

Dekan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS, Prof. Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser mewakili UMS menandatangani LoI tersebut, manakala PAM Sabah Chapter diwakili pengerusinya, Ar. Daniel Koh Chung Hou.

Hadir sama pada majlis tersebut Koordinator bagi Program Alam Bina FKJ, Prof. Ar. Nurakmal Goh; wakil dari Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Sr Stannard Chang; dan Timbalan Pengerusi PAM Sabah Chapter, Ar. Sharon Magdalene Amin.