http://www.ums.edu.my/v5/images/stories/berita_attach/Mac_2016/KKTMBUGAYA.jpg SELASA, 29 MAC – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Majlis Sekretariat KKTM menjayakan Program Jelajah Borneo Siri 1 anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya, Semporna baru-baru ini.

Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin berkata, program itu diadakan sebagai persediaan dan pendedahan  para pelajar Pra-Universiti sekolah itu mengenai realiti kehidupan akademik di universiti sebelum melangkah ke menara gading.

“Pada program ini para peserta juga diberi penerangan mengenai keperluan memahami fakta-fakta diri sebelum memohon kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Ujar beliau, antara aktiviti yang diadakan ialah ‘Ceramah Menuju Puncak’ yang memberi pendedahan kepada peserta tentang hala tuju selepas menamatkan pembelajaran di sekolah menengah.

“Selain itu, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) turut diadakan bertujuan untuk meningkatkan ciri-ciri kepimpinan dalam diri peserta serta mewujudkan kerjasama dalam satu kumpulan,” tambahnya.

Program bercorak kepimpinan itu diadakan selama lima hari di KKTM melibatkan 30 mahasiswa dan 34 pelajar Pra-Universiti SMK Bugaya bersama lapan guru pengiring.

Sumber: KKTM

SELASA, 29 MAC – Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini dengan kerjasama Biro Tatanegara (BTN)  menganjurkan Program Transformasi Mahasiswa (PTM) Pemimpin Cemerlang Pelajar UMS di Kem Bina Negara, Kundasang, Sabah.

Program yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan seramai 101 pelajar UMS daripada kalangan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), kelab serta Fakulti dari UMS Kampus Induk, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan.

Program itu antara lain memberi pendedahan kepada para peserta mengenai kenegaraan dan kaedah dalam memperkasa semangat berpasukan melalui pengisian program, antaranya empat slot wacana minda, kuliah Subuh dan Maghrib, aktiviti riadah dan kembara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali dalam pada itu memuji penganjuran program tersebut yang berjaya mencapai objektif.

“Program seumpama ini mampu menerapkan nilai kebersamaan di antara mereka dan diharap para peserta mampu bersikap optimis dan tidak pesimis pada sesuatu perkara,” ujarnya.

Sumber : Bahagian Pembangunan Pelajar

ISNIN, 28 MAC – Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar menyumbang semula kepada pembangunan universiti dalam pelbagai aspek demi manfaat bersama.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi berkata, alumni yang kini berjumlah 52,120 orang mampu memberi sumbangan semula kepada universiti bukan sahaja dari segi jaringan kerjasama industri tetapi juga melalui sumbangan dalam bentuk wang ringgit.

“Universiti terkemuka seperti Universiti Harvard misalnya, mempunyai sebuah tabung endowmen yang sehingga kini berjaya mengumpulkan dana mencecah AS$32 bilion hasil sumbangan alumni universiti tersebut.

“Justeru, saya berpesan kepada para alumni agar membalas semula budi dan bakti universiti dengan memberi sumbangan atau menderma semula demi kemajuan UMS,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Homecoming Alumni UMS di salah sebuat hotel di Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Tun Zaki turut mencabar Pertubuhan Alumni UMS untuk mengadakan majlis sama pada tahun hadapan di Kuala Lumpur dan mengumpul seramai 1,000 orang alumni yang berada di sana, sekali gus meletakkan sasaran kutipan dana sebanyak RM1 juta.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Alumni UMS, Datuk Dr. Janathan Kandok berkata hasil kutipan tabung dana pertubuhan tersebut telah mencecah RM100 ribu.

“Mesyuarat Khas Jawatankuasa pertubuhan ini pada 22 Mac lalu sebulat suara bersetuju menyumbangkan RM40 ribu kepada UMS, bukan dalam bentuk wang tunai tetapi menyumbang kepada pembangunan infrastruktur bagi kemudahan mahasiswa,” ujarnya.

Pada malam tersebut, persembahan nyanyian lagu bertajuk My Way oleh Tun Zaki turut berjaya meraih penambahan kutipan dana sebanyak RM100 ribu untuk tabung pertubuhan alumni berkenaan. -MA-

Foto: Musaab Umair

ISNIN, 28 MAC – Program Charity Book Run and Ride 2016 yang dianjurkan di sekitar UMS pada Sabtu mendapat sambutan memberangsangkan dengan lebih 150 penyertaan.

Aktiviti anjuran gabungan kerjasama Jabatan Perpustakaan, Jabatan Bendahari, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) serta Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sabah itu menyaksikan para peserta perlu berlari sejauh 7 kilometer dan berbasikal sejauh 12 kilometer.

Pustakawan Jabatan Perpustakaan UMS, Mohd. Adam Sabri Magi selaku wakil penganjur berkata, program itu antara lain bertujuan memupuk semangat kebersamaan  antara warga UMS dengan masyarakat sekitar sambil membudayakan akitiviti sihat melalui riadah dan menyemai keinginan untuk berkongsi ilmu melalui sumbangan buku.

“Program berkonsepkan sukan sambil menderma ini menyaksikan para peserta  menyumbang sekurang-kurangnya dua buah buku bersifat ilmiah atau novel yang ditempatkan di Perpustakaan UMS di samping didermakan ke sekolah-sekolah dan institusi sekitar Kota Kinabalu,”  katanya ketika ditemui wakil Media UMS.

Adam menambah, 20 peserta terawal yang berjaya menamatkan perlumbaan memenangi hadiah berupa medal dan sijil.

Pelepasan peserta disempurnakan Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad di Perkarangan Dewan Canselor.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan merangkap Pengerusi Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sabah, Zawawi Tiyunin; Pengarah JPP, Kamisah Husin; Pemangku Bendahari, Zallifah Shadan dan Pengarah JTMK, Noor Hapipah Samat. -SM-

Foto: Johaidi Ismail

KHAMIS, 24 MAC – Tiga pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD)  akan mewakili UMS dalam Pertandingan Tesis 3 Minit (3MT) peringkat kebangsaan setelah memenangi pertandingan itu di peringkat UMS, kelmarin.

Mereka ialah Ruslan Mapeala, Lai Yun Mei dan Lorita Angeline, yang masing-masing akan mewakili UMS di bawah kategori Sains Sosial, Sains dan Teknologi dan kategori Kejuruteraan.

Kesemua mereka akan bertanding di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 10 Mei depan bagi merebut slot sebagai wakil Malaysia di pertandingan peringkat antarabangsa.

Sementara itu, pertandingan peringkat UMS semalam menyaksikan seramai lapan peserta dari pelajar PhD tahun tiga mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan Pusat Pengajian Pascasiswazah.

Atas kemenangan itu, Ruslan, Lai Yun Mei dan Lorita menerima hadiah RM200, manakala peserta lain menerima sijil penghargaan.

Berlangsung di Auditorium Pascasiswazah UMS, pertandingan itu dihakimi Ketua Perhubungan UMS-Timor Leste, Profesor Madya Dr. Lai Yew Meng; Pensyarah Kanan, Professor Madya Dr. Nurmin Bolong dan Dr. Yasmin Ooi Beng Houi. - FL (ss)