‘Anak Didik’ Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) cemerlang dalam Kejohanan Akhir Jambatan Cina ke-4 untuk Pelajar Sekolah Rendah Malaysia apabila berjaya menyapu bersih ketiga-tiga hadiah utama bagi kategori pelajar sekolah rendah.

Janice Tsen Yu Xuan dinobat sebagai juara bagi kategori tersebut, manakala Phoebe Chong Zhi Xuen muncul sebagai naib juara, dan Ammar Yusof Izwan merangkul tempat ketiga.

Ketiga-tiga mereka yang merupakan pelajar dari SJK (C) St. James, Kota Kinabalu telah mengadakan kelas latihan persediaan selama dua minggu bersama CI UMS dengan bantuan guru Jin Jinjin sebagai persiapan menghadapi pertandingan tersebut.

Seorang lagi pelajar dari sekolah sama, Geraldine Amaris Lajawai turut terpilih sebagai penerima Anugerah Pertuturan Terbaik.

Menerusi kejayaan tersebut, Janice Tsen bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan akhir global di China.

Dalam pada itu, Pengarah CI UMS, Prof. Ts. Dr. Chong Khim Phin merakamkan ucapan tahniah atas prestasi cemerlang para pelajar yang mewakili negeri Sabah dalam kejohanan tersebut.

Katanya, CI UMS akan terus menggiatkan usaha memperkenalkan budaya dan bahasa Cina kepada masyarakat tempatan untuk interaksi dan kesejahteraan.

“Usaha institut ini untuk mempromosikan pertandingan Jambatan Cina dalam edisi kali ini serta menyediakan bantuan kepada para peserta telah menarik perhatian dari pelbagai sekolah rendah dan menengah di Sabah.

“Saya percaya hasil bimbingan guru secara teliti serta kerjasama yang erat antara CI UMS dan sekolah tempatan berjaya menjadi pencetus kepada prestasi cemerlang para peserta dari Sabah dalam kejohanan ini,” ujar beliau.

Pertandingan tersebut yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur antara lain merangkumi soal jawab pengetahuan budaya dan bahasa Cina, pengucapan dalam bahasa Cina, persembahan bakat, dan ucapan spontan.

 

Seramai 100 orang peserta telah mengikuti Kursus Sembelihan Halal Perdana 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Bahagian MUIS Halal Hub (Majlis Ugama Islam Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, baru-baru ini.

Dekan FSMP, Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata program itu antara lain bertujuan memberi kesedaran, pendedahan, pengalaman dan latihan berkaitan sembelihan halal kepada peserta yang terlibat.

“Selain itu, kursus penyembelihan biasanya meliputi beberapa aspek penting yang bertujuan untuk memastikan proses penyembelihan dilakukan dengan teknik dan prosedur yang betul, selamat, sejajar dengan tuntutan agama dan undang-undang.

“Alhamdulilah kursus ini berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang. Semoga tahun hadapan akan dapat diteruskan kursus ini. Saya berharap semua peserta yang terlibat dalam kursus ini dapat menambah pengetahuan dan teknik berkaitan penyembelihan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Hasmadi, penceramah jemputan terdiri daripada pegawai-pegawai Bahagian MUIS Halal Hub (Majlis Ugama Islam Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MUIS Halal Hub, QL Agroventures Sdn. Bhd. dan Desa Plus Sdn. Bhd. yang turut menaja lembu dan ayam bagi tujuan sembelihan oleh para peserta selesai kursus.

Majlis penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan bagi program tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Professor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Haji Mohd. Dandan @ Ame Haji Alidin; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Alias Ahmad serta Pegawai-pegawai Kanan Universiti.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menjadi sebuah model Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang terbukti telah mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan KKP yang telah diiktiraf diperingkat antarabangsa.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas buat UMS di atas pencapaian yang cemerlang dalam pengurusan KKP sehingga dinobatkan sebagai  pemenang  anugerah  KKP Negara bagi kategori IPT dan sekaligus merangkul kategori CEO.

“Usaha gigih pihak pengurusan UMS dengan kerjasama semua warga UMS telah meningkatkan kesedaran warga UMS tentang kepentingan KKP dalam aktiviti seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari OSH Sedunia dan Penutupan Minggu OSH peringkat UMS di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut berharap pencapaian itu akan memberi inspirasi dan contoh kepada IPT awam dan swasta yang lain di Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pertubuhan Antarabangsa (ILO) merekodkan sekurang-kurangnya 2.41 bilion pekerja terdedah dengan haba berlebihan di tempat kerja setiap tahun.  

Katanya, setiap  tahun  juga,  terdapat 22.85 juta kecederaan pekerjaan, 18,970 kematian berkaitan kerja yang dikaitkan dengan haba berlebihan.

“Tidak cukup dengan itu, kesan perubahan iklim lain seperti radiasi ultraviolet, peristiwa cuaca ekstrem, pencemaran udara di tempat kerja, penyakit bawaan vektor dan agrokimia juga membawa ancaman kepada kesihatan pekerja.

“Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) menggariskan lima kesan kesihatan utama perubahan iklim, iaitu Penyakit berkaitan haba; Penyakit pernafasan; Kesan kesihatan fizikal dan mental;  Penyakit bawaan serangga dan kesan kesihatandisebabkan racun serangga,” katanya. 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Pendidikan Fleksibel Universiti Malaysia Sabah (UMSFLEC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama CF Learning Services Sdn Bhd (CF Learning), baru-baru ini.

Melalui MoU tersebut, UMS bakal meluaskan kerjasama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan program-program berteraskan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata kolaborasi tersebut mendorong matlamat bagi membuka peluang kerjasama untuk menawarkan program PSH seperti Kursus Jangka Pendek dan Micro-credentials yang mampu menjana masyarakat berilmu.

“Peluang PSH ini terbuka luas untuk setiap masyarakat dalam menambah ilmu. Terdapat pelbagai bidang pengajian yang boleh dipelajari selain kemahiran baharu.

“Permintaan global terhadap kursus jangka pendek sememangnya tinggi malah universiti terkemuka seperti Harvard University juga aktif menawarkannya.

“Justeru, penawaran kursus jangka pendek ini boleh dijalankan bersama antara Universiti Awam dengan Kementerian dan pemain industri lain mengikut bidang nic masing-masing,” ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama silang bidang dan silang kepakaran perlu dilakukan agar mampu menghasilkan kerjasama yang sempurna.

“Saya yakin melalui MoU ini, UMS mampu menyediakan pelbagai program kursus jangka pendek yang memenuhi pasaran kerja.

“Dengan penawaran kursus-kursus ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya golongan belia supaya mereka mudah untuk merebut peluang pekerjaan ataupun menjadi usahawan yang mampu menyediakan peluang kerja,” katanya.

MoU tersebut ditandatangani oleh Kasim bersama Ketua Pegawai Eksekutif CF Learning, Grace Chin dan disaksikan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

 

Pelaksanaan program Nutrition Month Malaysia (NMM) anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu meningkatkan kesedaran kepada orang awam terhadap penjagaan kesihatan melalui makanan bagi mencegah penyakit khususnya yang berkaitan pemakanan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, Program Bulan Pemakanan Malaysia tersebut adalah satu inisiatif tahunan yang diterajui oleh tiga badan profesional terkemuka, iaitu Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Komposisi Badan Malaysia sejak 22 tahun lalu.

“Justeru, sebagai inisiatif pendidikan dan promosi pemakanan peringkat kebangsaan, program NMM ini turut mendapat sokongan daripada Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bertemakan 'Ubah Minda, Cegah Penyakit Berkaitan Pemakanan', objektif NMM adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya mengubah cara pemikiran kita dari konsep ’jagaan sakit’ (sick care) kepada ’pencegahan penyakit’ (disease prevention)

“Kita perlu mengutamakan kepentingan menjaga kesihatan dan mencegah penyakit berbanding hanya mengharapkan rawatan ketika penyakit sudahpun berlaku, terutamanya penyakit-penyakit yang berkaitan pemakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Nutritional Month Malaysia peringkat IPT Negeri Sabah dan Pelancaran Makmal Hidup Nutrition in Community Engagement (NICE) di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS.

Perasmian penutupan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Mengulas mengenai Makmal Hidup NICE yang dilancarkan, Kasim berkata makmal hidup tersebut diharap dapat memantapkan lagi daya usaha untuk menangani penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan pemakanan, sekali gus memperkukuhkan sektor sekuriti makanan dan pemakanan.

“Penubuhan makmal hidup NICE ini dijangka mampu meningkatkan status pemakanan, menyokong dan meningkatkan sistem makanan yang lestari bagi pemakanan yang sihat untuk masyarakat sebagai tambahan kepada perkhidmatan runding cara pemakanan yang disediakan melalui klinik-klinik kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

“Makmal hidup ini juga akan melibatkan pelbagai pemegang taruh dari segenap sektor bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan program-program makanan dan pemakanan adalah menyeluruh dan berkesan demi kemakmuran bersama,” katanya.

Sementara itu, Mustapha menyambut baik usaha murni UMS serta agensi-agensi yang terlibat dalam penganjuran program NMM 2024.

“Adalah menjadi hasrat negara untuk melahirkan generasi yang sihat melalui kesejahteraan pemakanan bermula daripada usia muda.

“Usaha bagi memerangi dan menamatkan semua bentuk masalah malpemakanan memerlukan satu strategi dan pendekatan yang mampan melibatkan dan merentasi semua sektor kerajaan, swasta, industri dan penduduk Malaysia sendiri.

“Dalam hal ini, perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan pemakanan yang komprehensif memerlukan sokongan padu dan komitmen daripada semua pihak termasuklah kita semua,” ujar beliau.

Pelbagai aktiviti pendidikan dan promosi pemakanan telah diadakan bersempena NMM bermula sejak 22 April lalu.

Antaranya termasuklah tip harian pemakanan sihat yang telah dikongsikan di platform-platform rasmi dan media sosial UMS, FSMP dan Kelab Pemakanan UMS, selain aktiviti-aktiviti yang menyasarkan golongan pelajar IPT seperti pertandingan tik tok, bengkel penyediaan model makanan, senam santai mingguan dan Nutrition International Colloquium for Excellence in Undergraduate Research (NICER).