Program C.U.L.T X Alumni UMS Festival

 

Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Cars, Urban Life Style & Trends (C.U.L.T) akan menganjurkan CULT X Alumni UMS Festival, sebuah acara berimpak tinggi yang menggabungkan budaya automotif dan jaringan alumni.

Penganjuran festival ini adalah sebagai satu usaha strategik untuk mengukuhkan kolaborasi antara alumni UMS dan komuniti tempatan.

Objektif utama program ini adalah:

1. Mewujudkan kerjasama silang antara Alumni UMS dan C.U.L.T untuk menjadikan festival ini sebagai acara tahunan.

2. Meningkatkan kesedaran terhadap peranan Alumni UMS dan budaya automotif di Sabah.

3. Strategi pendanaan kepada Pusat Alumni UMS dan nilai tambah kepada Pengurusan Acara C.U.L.T.

4. Membina persekitaran mampan bagi memahami secara mendalam industri budaya automotif yang semakin mendapat perhatian generasi muda.

5. Mencetuskan suasana perayaan yang bertepatan dengan cuti umum hujung tahun yang akan datang.

C.U.L.T X Alumni UMS Festival bertujuan bukan sahaja untuk mempamerkan kreativiti dan inovasi dalam budaya automotif tetapi juga untuk memperkukuh hubungan antara alumni UMS dan masyarakat umum.

Acara ini turut memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang memfokuskan kepada budaya automatif, pengumpulan dana dan pertukaran idea dalam ekosistem budaya moden.

Sehubungan itu, pihak penganjur menjemput semua alumni UMS, pelajar dan masyarakat umum untuk bersama-sama memeriahkan festival ini. Nantikan pelbagai aktiviti menarik yang akan diumumkan kelak termasuk pameran kenderaan, demonstrasi pemanduan selamat, pameran peralatan perkhemahan dan pelbagai persembahan istimewa.

Majlis sidang media yang berlangsung di UMS pada Khamis (12 Disember 2024) turut dihadiri oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Arif @ Kamisan Pusaran; Pengarah Promosi C.U.L.T John Kong serta Pengarah Program C.U.L.T, Azlin Awang Chee.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Pusat Alumni UMS di www.ums.edu.my/alumni atau hubungi talian Pusat Alumni UMS (088 – 329 360) atau Cik Ain (018 972 2593).