Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat memperkasa kerjasama strategik dengan beberapa buah universiti awam (UA) melalui perjanjian penyelidikan.

Terbaharu, UMS melalui Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) telah memeterai dua memorandum perjanjian (MoA) bagi dua geran penyelidikan berkaitan penyelidikan air di negeri Sabah.

Pemeteraian MoA tersebut berlangsung dalam satu acara yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, sambil disaksikan Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau.

Turut sama menyaksikan acara menandatangani MoA tersebut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FSSA, Prof. Madya PGeol Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee dan Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin.

Dalam pada itu, Jualang dalam satu kenyataan menjelaskan, penyelidik dari FSSA telah berjaya menerima geran bernilai RM500,000.00 di bawah Dana Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan, satu-satunya penerima bagi Fasa Tahun 2021 dari Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang diletakkan di bawah Unit Penyelidikan Air (WRU), UMS.  

“Justeru, satu konsortium ditubuhkan melalui dana penyelidikan tersebut yang dinamakan Integrated Water Research Synergy Consortium (IWARES).

“Konsortium ini merupakan kerjasama strategik yang terdiri daripada 3 buah universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI); Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Stesen Penyelidikan Marin (MARES); dan UMS melalui WRU,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiga penyelidik FSSA yang terlibat dalam penyelidikan tersebut, iaitu Prof. Madya ChM. Dr. Moh Pak Yan yang mempunyai kepakaran dalam bidang kualiti air dan kimia sekitaran; Prof. Dr. Baba Musta dengan bidang kepakaran geokimia; dan Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus dengan bidang kepakaran perubahan iklim dan adaptasi.

“Melalui penubuhan konsortium ini, UMS berharap implikasi yang lebih baik terhadap pembangunan dan penambahbaikan dari segi kualiti serta kuantiti sumber air komuniti setempat di Sabah khususnya.

“Menerusi kerja penyelidikan tersebut, IWARES akan menjadikan WRU sebagai pusat rujukan kepada kualiti sumber air komuniti tempatan di Sabah, di samping mengetengahkan aplikasi sistem Tagal melalui konsep tradisional untuk pengurusan sumber air,” katanya.

Satu lagi MoA yang ditandatangani adalah perjanjian bagi Geran Sepadan (Matching Grant) bernilai RM100,000.00 dengan kerjasama strategik antara UiTM dan UMS.

Jualang memberitahu, penyelidikan tersebut, antara yang terlibat adalah Ketua Projek dari FSSA, UMS, Dr. Teo Siow Hwa; Dr. Mohd Lokman bin Ibrahim dari UiTM; serta beberapa penyelidik bersama daripada kedua-dua universiti termasuk seorang penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Penyelidikan adalah berkaitan dengan degradasi fotokatalitik bahan pencemaran organik yang boleh meningkatkan kelestarian alam sekitar.

“Degradasi fotokatalitik bahan pencemar organik merupakan proses penting untuk membersihkan air atau udara yang tercemar dan boleh memberi kesan yang besar terhadap peningkatan kualiti alam sekitar.

“Pembangunan teknologi dan proses fotokatalitik baharu ini juga dapat mewujudkan industri dan pekerjaan baharu selain memberi impak kepada ekonomi negeri Sabah secara khususnya dengan mengurangkan kos rawatan air sisa serta kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan pencemaran,” ujar beliau.

Hadir sama pada acara tersebut Ketua WRU, Prof. Madya ChM. Dr. Moh Pak Yan; Pengarah, Pusat Kajian Bencana Alam UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus; dan Pensyarah Kanan FSSA, Dr. Teo Siow Hwa

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institute Development Studies (IDS) Sabah memeterai perjanjian projek perundingan bagi menjalankan kajian ‘Megalithic Stone Heritage Trail Mapping For Tourism Using GIS For Long Pasia’, baru-baru ini.

Projek dalam bidang pelancongan yang diketuai oleh Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Profesor Madya Dr. Oliver Valentine Eboy itu bernilai kira-kira RM50,000.00 dan akan dilaksanakan bagi tempoh 10 bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 31 Januari 2024.

Menurut Oliver, Heritage Trails merupakan salah satu cara yang berkesan untuk memelihara warisan budaya dan ia telah dibangunkan secara meluas sebagai produk pelancongan sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Batu megalitik adalah tradisi kuno dengan fungsi dan latar belakang yang menarik. Pemodenan dan penerapan agama dalam masyarakat telah menyebabkan tradisi batu megalitik kurang diamalkan dan semakin pupus.

“Salah satu cara yang berkesan untuk memelihara batu megalitik daripada terus pupus adalah dengan membangunkan peta jejak warisan batu megalitik sebagai produk pelancongan.

“Dalam kajian ini, pasukan penyelidik kami akan menjalankan tinjauan lokasi batu megalitik dan memperoleh kisah latar belakang setiap batu. Aplikasi Analisis Laluan Kos Minimum (LCPA) daripada Sistem Maklumat Geografi (GIS) akan digunakan untuk mengenal pasti laluan yang sesuai bagi menghasilkan peta jejak warisan di Long Pasia untuk tujuan pelancongan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Oliver, para pelancong akan diberikan pilihan laluan berdasarkan tahap kesukaran dan jenis batu megalitik yang mereka ingin tahu.

“Di samping itu, manfaat produk pelancongan ini terhadap sosioekonomi penduduk di Long Pasia juga akan dikenal pasti.

“Hasil kajian ini akan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tradisi batu megalitik dan pada masa yang sama meningkatkan ekonomi penduduk tempatan,” tambahnya.

Majlis pertukaran dokumen penjanjian perundingan itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly bersama Ketua Pegawai Penyelidikan IDS, Richard Koh.

Sementara itu Rosalam berharap agar projek perundingan itu dapat mencapai matlamat dan okjektif UMS dan IDS.

Katanya, dalam konteks sebuah negara yang beraspirasi untuk menjadi negara maju, universiti bukan sahaja berperanan untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti tetapi juga perlu berperanan untuk menghasilkan harta intelek yang bermutu tinggi melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Institute Development Studies (Sabah) terutama Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul yang telah memberikan kerjasama dan membantu penyelidik UMS dalam aktiviti penyelidikan yang akan meningkatkan ekonomi dan sosial di negeri Sabah,” katanya.

 

Sempena bulan Ramadan tahun 2023/1444H, Pusat Alumni dan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda Universiti Malaysia Sabah (UMS 4WDVC) bergabung tenaga menyediakan 300 hingga 350 pek juadah iftar setiap hari Jumaat sempena program Berkongsi Rezeki Ramadan.

Pek juadah iftar ini diagihkan secara percuma kepada para pelajar UMS yang berada di sekitar kampus.

Dalam program tersebut, kakitangan Pusat Alumni serta ahli-ahli UMS 4WDVC bergotong-royong memasak bagi menyediakan juadah bermula dari pukul 2.00 petang sehingga waktu berbuka.

Pengarah Pusat Alumni, Dr. Arif Kamisan Pusiran berkata, program diadakan setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan dengan menyasarkan para pelajar UMS.

“Kami berharap dengan penganjuran program ini sedikit sebanyak dapat berkongsi rezeki selain membantu sebahagian pelajar mendapatkan juadah berbuka puasa secara percuma.

“Program julung kali ini membabitkan aktiviti menyediakan pek juadah berbuka, air dan kurma hasil sumbangan daripada alumni UMS serta syarikat swasta dan pihak penganjur bercadang untuk meneruskan program ini di masa hadapan ekoran sambutan yang memberangsangkan daripada para pelajar.

“Para pelajar juga menyambut baik inisiatif yang diadakan oleh pihak penganjur untuk menyediakan juadah berbuka secara percuma selain menjimatkan perbelanjaan pembelian juadah harian mereka,” katanya yang juga Pengarah Projek Berkongsi Rezeki Ramadan 2023.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Samasudin Hj.Yusop; Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin, serta Presiden UMS 4WDVC, Prof. Dr. Shahril Yusof turut sama mengagih-agihkan pek juadah iftar Ramadan.

 

Persidangan Kualiti Hidup Borneo kali Ke-3 bakal diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 23 hingga 26 Mei depan.

Persidangan yang bertemakan ‘Kehidupan Berkualiti Untuk Semua’ itu turut dijalankan secara dalam talian bagi memudahkan peserta seluruh dunia menyertainya.

Menurut kenyataan UMS berkata, Persidangan itu akan menghimpunkan cendekiawan, pengamal, dan individu untuk membincangkan cara meningkatkan kualiti hidup di rantau ini.

Katanya, Persidangan itu merangkumi pelbagai topik berkaitan kualiti hidup, termasuk isu kelaparan, keselamatan makanan, pertanian mampan, penyakit tidak berjangkit, kemiskinan, pendidikan, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Persidangan ini akan mengubah pemikiran bagi sesiapa yang berminat untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan di rantau ini.

“Barisan penceramah termasuklah Profesor Datuk Taufiq Yap Yun Hin, Profesor Dilip V. Jeste, dan Dr Ravivarma Rao Panirselvam,” katanya.

Katanya, ia juga merupakan peluang untuk berkumpul berkongsi pengetahuan dan pengalaman, bekerjasama serta membentuk komuniti dalam membuat perubahan positif di dunia.

“Pendaftaran persidangan ini dibuka sekarang dan sebarang maklumat boleh rujuk di laman web persidangan https://bqolc.ums.edu.my/,” katanya.

 

 

 

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan isteri Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R. M. Jasni meluangkan masa berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Majlis Iftar Perdana @UMS yang diadakan di Pusat Islam UMS malam tadi.

Pada majlis itu, Juhar yang juga merupakan Canselor UMS bersama-sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyaksikan penyampaian sumbangan zakat berjumlah RM34,500.00 oleh Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada UMS.

Sumbangan zakat tersebut disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kanan, Agihan Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Ustaz Saffruddin Manshuruddin kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

Juhar turut menyaksikan acara penyerahan zakat wakalah Bank Islam Berhad berjumlah RM40,000.00 kepada UMS yang disampaikan oleh Pengarah Bank Islam Negeri Sabah, Nona Baria Sarudin.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada wakil pelajar dan wakil kakitangan UMS yang layak.

Sejumlah 1,198 pelajar dan 24 orang kakitangan UMS layak menerima agihan zakat tersebut, dengan bantuan zakat pelajar daripada golongan asnaf merangkumi bantuan sara diri, yuran pengajian, yuran asrama, dan bantuan untuk menjalani latihan industri.

Hadirin pada majlis tersebut kemudian mendengar sesi tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Ustaz Datuk Haji Abdul Manap Haji Lakaribah, sebelum berbuka puasa selepas berkumandangnya azan tepat jam 6.26 petang.

Juhar kemudian menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Tarawih di Masjid UMS bersama kira-kira 300 kakitangan dan pelajar UMS.