Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) buat julung kalinya telah mengadakan satu majlis penghargaan khas untuk meraikan para pelajar non residen yang telah mencapai kejayaan sepanjang tahun 2022.

Menurut Pengarah PNRF, Hasmi Hashim, majlis penghargaan tersebut diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti yang telah diberikan oleh pelajar NR dari aspek mengharumkan nama universiti secara amnya.

“Penghargaan juga diberikan kepada para pelajar yang terlibat dalam program berbentuk pengurusan kepimpinan sahsiah pelajar melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Masih Ada Yang Sayang’ di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu dan juga program ‘Mahasiswa Prihatin’ di SK. Tambulaong, Tuaran.

“Tidak dilupakan kejayaan manis semua atlet pelajar NR yang telah berjaya memenangi pingat dalam sukan yang telah diadakan di peringkat universiti dan juga PARA-SUKMA,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor yang turut hadir pada majlis tersebut turut menyampaikan penghargaan atas pengorbanan dan dedikasi yang telah disumbangkan oleh para pelajar NR sepanjang tahun lalu.

“Ini akan menyemarakkan lagi semangat siswa siswi yang tinggal di luar kampus untuk terus berusaha melakukan yang terbaik ke arah meningkatkan lagi keupayaan dan pengetahuan serta menerapkan nilai madani dalam kalangan pelajar sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan.

“Selain itu, perkembangan pembangunan sahsiah pelajar ini akan dapat melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, beretika tinggi, berkualiti dan berdaya saing,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut turut diadakan sesi pelancaran buku mewah (Coffee Table Book)‘ ‘Bingkisan Memori dan Harapan’ yang disempurnakan oleh Kasim.

 

Siri Ceramah di Bawah Bayu kali ke-25 anjuran Confucius Institute, Universiti Malaysia Sabah (CI@UMS) akan mengetengahkan topik bertajuk “Diaspora, ketahanan dan orang Cina di Tanah Melayu yang dilanda perang: Perspektif yang kurang dikenali daripada Mubaligh Perancis”.

CI@UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, ceramah yang berlangsung pada 18 Mac di Theatrette Ahmad Nisfu, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), UMS akan disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Shanthini Pillai dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Dr. Shanthini mempunyai minat penyelidikan yang tertumpu kepada kajian budaya dengan merujuk kepada diaspora dan transnasionalisme, kepelbagaian etnik, dan mobiliti agama, terutamanya dalam konteks masyarakat Asia Selatan global.

“Beliau juga merupakan pemegang Fellowships Penyelidikan di Universiti Queensland, Australia dan Institut Penyelidikan Asia, Singapura dan kini mengetuai projek penyelidikan mengenai diaspora, mobiliti agama dan Mubaligh Perancis di Tanah Melayu kolonial.

“Beliau mempunyai penerbitan yang meluas berkaitan bidang kepakarannya, dengan hasil kajian terkini telah dimasukkan dalam Sains Sosial dan Misi, Jurnal Antarabangsa Sosiologi Bahasa, SOJOURN dan Jurnal Antropologi Australia,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan CI@UMS turut menyebut, ceramah tersebut akan memberi tumpuan kepada perspektif yang kurang dikenali tentang kehidupan di Tanah Melayu apabila dilanda peperangan berdasarkan terjemahan dari sebuah diari yang ditulis oleh salah seorang pengarah Seminar Katolik yang ditadbir Perancis dalam bahasa Inggeris.

“Diari tersebut adalah koleksi catatan harian yang berharga kerana bukan sahaja untuk pendedahan kehidupannya, tetapi juga kepada bantuan domestik tempatan yang terlibat.

“Terdapat juga banyak rujukan mengenai penglibatan antara Perancis dan pengasas komuniti pedagang Cina, terutamanya dalam konteks perdagangan dan hartanah.

“Berdasarkan ini dan kesan lain masyarakat Cina dalam entri diari, ceramah ini mencerminkan tema diaspora, daya tahan dan trajektori alternatif lain dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu yang pernah diduduki di Jepun,” jelas kenyataan dari CI@UMS.

Ceramah di Bawah Bayu akan berlangsung bermula pukul 7.30 malam, terbuka dan percuma kepada masyarakat umum.

Sesi ceramah akan dikendalikan dalam Bahasa Inggeris, dan kepada peserta yang berminat boleh mengimbas kod QR di dalam poster ceramah untuk pendaftaran, serta turut boleh mengimbas kod QR di poster yang sama bagi menghadiri ceramah secara dalam talian.

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) telah mengorak selangkah ke hadapan dalam memperkukuh kerjasama dua hala dengan industri pembuatan di negeri Sabah.

Terbaru, satu hasrat kerjasama telah dimeterai antara UMS dengan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd., syarikat yang memproses panel solar dan merupakan pelabur terbesar di Sabah dengan tawaran sebanyak 1,800 peluang pekerjaan pada tahun 2023.

Kerjasama tersebut dimeterai melalui satu sesi menandatangani surat niat (LoI) antara kedua-dua pihak dalam satu acara di sini.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau mewakili UMS menandatangani LoI tersebut, manakala SBH Kibing Solar diwakili Timbalan Pengarah Pengurusan, Chen Guo.

Majlis pemeteraian tersebut turut disaksikan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kibing Solar, Yao XinXi; Pengurus Sumber Manusia Kibing Solar, Julia Wang; dan Ketua Pentadbiran FSSA UMS, Aidah Noordin.

Dalam pada itu, Jualang berkata, kerjasama ini bakal menumpukan aspek perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat.

“LoI ini akan membuka ruang kepada pelajar dan juga alumni UMS untuk mendapat peluang penempatan pekerjaan di syarikat yang besar dan maju.

“Di samping itu, pertukaran ilmu dalam kalangan staf, penyelidikan baharu di antara UMS dan pihak Kibing Solar serta perluasan jaringan pelajar dengan pihak industri adalah antara sasaran utama dalam kerjasama ini,” katanya.

Beliau menambah, pihak UMS akan mengetengahkan kepakaran yang berkaitan dengan industri pembuatan dan secara tidak langsung mencetuskan idea dalam meneroka bidang kurikulum baharu seperti Sains Bahan.

“Selain itu, UMS juga mendukung keperluan aktiviti sokongan dalam meningkatkan kemahiran pekerja serta aktiviti kemasyarakatan antara kedua-dua pihak.

“UMS melalui Institut Confucius juga akan membantu menawarkan kursus bahasa Cina dan memberi pendedahan budaya kepada pekerja-pekerja di Kibing yang diambil dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya.

Ujar beliau, bagi pihak Kibing Solar pula, hasrat utama mereka adalah untuk membuka lebih banyak peluang pasaran kerja kepada penduduk di Sabah selain penerokaan teknologi baharu dan bersama-sama menyumbang kepada khidmat masyarakat di negeri ini. 

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Institut Confucius, Prof. Dr. Chong Khim Phin; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSSA, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSSA, Prof. Madya Dr. Rodeano Roslee; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FSSA, Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien; Timbalan Pengarah, Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri, Dr. Chin Pei Yee; dan wakil Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, UMS, Arvina Mathew.

 

Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima lawatan penanda aras daripada Pusat Transformasi (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris baru-baru ini.

Pengarah PLKM, Dr. Elia Godoong memberitahu, program yang berlangsung selama dua hari itu antara lain bertujuan untuk membincangkan peluang kolaborasi antara pihak UPSI dan UMS dalam rencana membangunkan pusat rekreasi Edu Forest @ Kampus.

“Selain itu perbincangan mengenai program pemindahan ilmu (KTP) antara PKLM dan UCTC dalam membantu membangunkan komuniti melalui transformasi kemahiran-kemahiran yang terdapat di Universiti”.

“Di samping itu, ini juga bagi membantu dalam meningkatkan penyelidikan dan inovasi di Universiti,” katanya dalam satu kenyataan ketika menerima lawatan delegasi dari UPSI tersebut.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor ketika ditemui di Galeri Azman Hashim (GAH) semasa sesi lawatan menzahirkan sokongan padu terhadap peluang kolaborasi antara PKLM dan UMS dalam pembangunan Universiti sejajar dengan matlamat lonjakan 11 teras KPT.

“Semoga jalinan kerjasama ini akan terus utuh dan memberikan impak yang positif terhadap kedua-dua universiti khususnya serta kepada komuniti setempat,” katanya.

Pengarah UCTC UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah turut merakamkan penghargaan kepada pihak PKLM atas kerjasama sepanjang sesi lawatan merangkumi lawatan ke beberapa tempat menarik di UMS seperti Nurseri Fakulti Perhutanan dan Tropika (FPT), SFERA@UMS, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Puncak UMS dan GAH.

Sesi lawatan tersebut diakhiri dengan pra bengkel yang telah diadakan di PKLM bertujuan merumuskan hasil dapatan melalui lawatan dua hari tersebut.

Hadir sama, wakil Dekan FPT, Mohd. Abdullah Abd. Ghani yang merupakan Ketua Projek SFERA@UMS

 

Seminar European Union Deforestation Regulation (EUDR) anjuran Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah mampu menjadi platform perbincangan pelbagai pihak yang menumpukan usaha menangani cabaran dan peluang berkaitan isu penebangan hutan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penebangan hutan adalah isu serius yang tidak boleh diabaikan terutamanya di negara seperti Malaysia yang merupakan rumah kepada salah satu hutan hujan tertua di dunia.

“Seperti yang kita sedia maklum, penebangan hutan mempunyai kesan yang besar terhadap alam sekitar dan kehidupan semua spesies termasuk manusia, dan adalah penting untuk kita mengambil tindakan untuk menangani isu ini.

“Sebagai sebuah universiti yang mempunyai hubungan kerjasama daripada pelbagai industri, UMS berbesar hati untuk menyediakan platform untuk perbincangan mengenai EUDR dan impaknya terhadap sektor utama Sabah seperti kayu, minyak sawit dan getah yang merupakan sumber pendapatan penting untuk kehidupan masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan seminar tersebut di Dewan Resital, UMS.

Kasim menambah, penebangan hutan telah berlaku di Malaysia sejak beberapa tahun akibat daripada beberapa faktor, termasuk penyebaran pertanian, pembalakan, dan pembandaran.

“Justeru, EUDR merupakan satu peluang dalam memberi satu seruan tentang keperluan untuk menangani isu ini khususnya Malaysia sebagai negara pengeluar.

“Walaupun peraturan-peraturan berkaitan akan terus memacu pengeluaran dalam pelbagai industri secara bertanggungjawab, kesan negatif terhadap pekebun kecil dapat dikurangkan, jika pihak berkepentingan yang terjejas bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Ujar beliau, kehadiran para pelajar dalam seminar ini satu petanda baik dan amat penting untuk mereka mengetahui tentang kawal selia landskap dan kesannya terhadap industri.

Seminar EUDR yang merupakan inisiatif awal oleh Preferred by Nature (PbN) dan dianjurkan bersama dengan Forest Stewardship Council (FSC) Malaysia dan WWF Malaysia dihadiri lebih 100 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan industri berkaitan perhutanan.

Hadir sama pada seminar tersebut Pengarah Regulatory Impact Programme PbN Malaysia, David Hadley Garcia; Pengarah FSC Malaysia, Charmaine Chee; Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Asia Tenggara, PbN Malaysia, Christian Schriver; dan Pemegang Kursi Perhutanan FPT, Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad.