KHAMIS, 18 JULAI - Seorang pensyarah wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) sanggup mencukur rambut bagi memberi sokongan kepada seorang pelajarnya yang menghidap penyakit kanser tulang tahap tiga.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Dr Bamini KPD Balakrishnan, 39, mengambil keputusan untuk membotakkan kepala bagi melahirkan rasa empati kepada pelajarnya, Richelle Hii Hua Yin, 20, yang dikesan menghidap kanser itu pada hujung Februari lalu.

“Pada awalnya pelajar ini dikesan menghidap kanser tulang di bahagian lutut, namun sebelum menjalani rawatan kemoterapi  yang pertama pada awal Mac, pemeriksaan yang dilakukan mendapati sel kanser telah merebak ke paru-paru.

“Semalam  (16 Julai) dia telah menjalani rawatan kemoterapi kali ke-8, sebelum dua lagi  rawatan susulan dan kita harapkan dia beransur sembuh dan pulih seperti sediakala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media, di sini, hari ini.

Menurut Dr Bamini, sebenarnya ada pelbagai cara untuk menunjukkan kebaikan dan sokongan kepada Richelle, tetapi Ketua Program Pemasaran itu lebih memilih untuk mencukur rambut bagi menunjukkan rasa kebersamaannya terhadap pelajar yang berasal dari Beluran Sabah itu.

“Saya mahu pelajar ini tahu bahawa kita semua ada untuknya dan dia tidak bersendirian melalui saat-saat sukar terutama dalam  menanggung kesakitan yang dialami. Tiada niat untuk mencari populariti, saya cuma mahu memberikan dia galakkan dan keberanian untuk terus kekal positif.

“Saya juga ingin mengajak rakan-rakan dan orang ramai untuk mendoakan kesembuhan bagi pelajar ini,” ujarnya. 

Dr Bamini berkata, Richelle merupakan pelajar yang aktif dalam kokurikulum dan baik dalam kurikulum.

“Beliau berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang pada peperiksaan Semester 1 dengan  Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.6, dan merupakan anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS).

"Pada kesempatan ini, saya sebagai pensyarah juga ingin merakamkan penghargaan kepada Dekan FPEP  Prof. Madya Dr. Raman Noordin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Arif Kamisan Pusiran dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS yang sentiasa menjaga kebajikan pelajar," tambahnya.

 

 

KHAMIS, 18 JULAI - Penubuhan kesatuan pelajar dapat mengembangkan potensi pelajar dalam bidang kepimpinan di samping akademik, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk K. Y. Mustafa.

Beliau berkata pihak UMS menyokong usaha memperkasa peranan pelajarnya melalui penubuhan kesatuan itu di universiti berkenaan.

"Sebagaimana yang pernah disebut dalam Amanat Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik awal tahun ini, kesatuan pelajar akan memberi ruang kepada para pelajar untuk memimpin, mentadbir urus hal ehwal pelajar dan terlibat secara langsung dalam penggubalan polisi universiti.

"Kita sentiasa memberi ruang kepada para pelajar menyuarakan apa jua perkara khususnya berkenaan hal ehwal pelajar kerana kita melihat para pelajar sebagai pemimpin masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ruang Pejabat Kesatuan Pelajar UMS di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Muhd Jivean Johan Wira berkata pejabat Kesatuan Pelajar UMS itu akan beroperasi sepenuhnya pada September ini selepas proses undian ahli diadakan.

Katanya pihak MPP akan menyelenggara dan menyelia organisasi berkenaan sementara waktu sehingga September ini.

Sumber:  BERNAMA

WEDNESDAY, 17 JULY - Universiti Malaysia Sabah (UMS) through Faculty of Medicine and Health Sciences are actively engaging stakeholders for collaboration in research on Malaria.

Recently, Dr Jenarun Jelip from the Disease Control Division of Ministry of Health, Putrajaya, joined a meeting where he shared with the faculty the current situation of malaria in Malaysia.

According to Dr. Jenarun, Malaria, a disease caused by plasmodium parasites which spread through mosquitoes infected with the parasite, is one of the major public-health problems, with over 40% of the world’s population are at risk for malaria infection.

“According to Ministry of Health Malaysia, the incidence rate in Malaysia has declined to less than 1 per 1,000 population since 1998 and it is together observed with the reduction in the mortality figures, while the mortality rate due to malaria has been around 0.001 per 1,000 population since 2006,” said Dr Jenarun Jelip.

He added that the current threat is the zoonotic malaria, with rising numbers.

“Infections with this parasite can be fatal in the absence of prompt recognition of the disease.

Besides that, resistance of parasites to antimalarial agents has led to increasing difficulties for the provision of adequate disease management,” he added.

Various topics from research gaps in malaria, future collaboration, ideas on attachment programs and many more were discussed during the meeting that chaired by the Dean of Faculty of Medicine and Health Sciences Professor Dr Mohammad Saffree Bin Jeffree.

Meanwhile, Professor Dr Mohammad Saffree said UMS through Faculty of Medicine and Health Sciences is committed to bring impactful research in public health to benefit the stakeholders including the local community.

“The university also wants to ensure our students especially from Masters in Public Health and Doctor of Public Health are engaged in translational research that they could apply to the needs of the state and country.

“The plan now is for Malaysia to have an elimination status for malaria by the year 2020 and currently we are on a good track to achieve it,” said Professor Dr Mohammad Saffree.

Also joined the meeting faculty’s Head of Community and Family Medicine Department Datuk Dr Mohd Yusof Ibrahim, Director of Borneo Medical and Health Research Centre, Professor Dr Kamruddin Ahmed and along with other members of the faculty.

 

SELASA, 16 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat aktif dalam program mobiliti pelajar peringkat antarabangsa anjuran ASEAN International Mobility for Students (AIMS).

Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Prof. Dr. Ho Chong Mun berkata, sejak penglibatan  UMS dalam AIMS pada 2016, sejumlah 60 pelajar UMS telah mengikuti program mobiliti di beberapa universiti luar yang merupakan negara anggota AIMS.

“Dalam tempoh yang sama, UMS juga menerima seramai 56 pelajar universiti dari negara ahli. Pada tahun 2019, setakat ini 11 pelajar UMS telah menjalani program mobiliti ini di Tsukuba University, Jepun; Mae Fah Luang University, Thailand; Central Luzon State University, Filipina; dan Daegu Catholic University, Korea Selatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Prof. Dr. Ho, penglibatan UMS dalam program ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengantarabangsakan institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Katanya, ia juga sebagai satu langkah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pelajar tentang budaya dan kehidupan masyarakat di negara lain.

“Ia sekali gus mampu menyuburkan hubungan antara sesama universiti yang boleh membawa kepada jalinan kerjasama strategik dengan universiti-universiti serta negara yang terlibat.

“Malah baru-baru ini kita di UMS juga amat bertuah kerana diberi kepercayaan oleh Bahagian Education Malaysia (BEM) , Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membantu menyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana AIMS 2019 di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka IR. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan wakil-wakil universiti dari negara ahli,” jelas Prof. Dr Ho lagi.

Untuk rekod, sebanyak lapan negara yang terlibat dalam AIMS merangkumi negara Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Jepun dan Korea Selatan.

Sehingga kini, seramai 1,200 pelajar telah terlibat dalam progam mobiliti membabitkan 61 institusi pengajian tinggi dari seluruh negara anggota AIMS yang mana kesemua pelajar yang terpilih ini akan ditaja melalui biasiswa yang diberikan oleh kerajaan negara masing-masing.

 

 

JUMAAT,12 JULAI – Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia Sabah (SUKUMS) Ke-18 yang secara rasminya bermula hari ini mampu menyumbang kepada usaha memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof berkata, selain sebagai acara tahunan universiti, kejohanan ini juga dilihat sebagai kaedah untuk mewujudkan keakraban dalam kalangan staf serta dapat berinteraksi melalui sukan sekali gus dapat menerapkan amalan gaya hidup sihat.

“Paling penting adalah semangat kesukanan tinggi harus dipamerkan dalam apa juga sukan yang kita sertai dan janganlah kerana inginkan kemenangan menjadi faktor kepada terjadinya perpecahan.

“Komitmen yang dipamerkan oleh kakitangan saya lihat sebagai suatu yang perlu dibanggakan oleh warga universiti, dan untuk itu pengurusan universiti akan terus menyokong aktiviti berkaitan dengan sukan antaranya dengan membaiki kemudahan sukan yang sedia ada seperti trek dan balapan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian SUKUMS kali ke-18 di UMS Arena, pagi tadi.

Menurut Vina, adalah menjadi harapan beliau agar kejohanan tersebut menjadi platform yang dapat digunakan bagi memastikan universiti terus cemerlang dalam semua bidang yang diceburi.

“Saya juga rasa perlu untuk menetapkan objektif utama agar lebih ramai lagi kakitangan UMS yang dapat mewakili negeri mahupun pasukan kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, kejohanan kali ini menyaksikan sebanyak 24 jenis sukan dipertandingkan termasuk dua sukan yang baru diperkenalkan iaitu sukan memancing laut dalam dan petanque.

Lapan pasukan akan bersaing merebut kejuaraan pada SUKUMS kali ini, iaitu Kontinjen Twin Tower, D’Arts, Royal Esteem, The Legend, Team Sandakan, Science United, UMSKAL, dan Super 9.

Hadir sama Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin.