Perubahan Fundamental Perlu Pulih Ekonomi Labuan: Pakar

LABUAN: Ekonomi Labuan yang terjejas teruk dek penangan Covid-19 pada 2020, dijangka berdepan jalan sukar untuk pulih semula pada 2021, kata pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg.

Beliau berkata penularan wabak Covid-19 di pulau bebas cukai itu yang juga sebuah Wilayah Persekutuan seperti Putrajaya dan Kuala Lumpur, ibarat “menabur garam pada luka” - memburukkan lagi keadaan sepanjang 2020. 

Bagaimanapun, masih ada harapan untuk menangani impak pandemik itu sekiranya perubahan fundamental dilakukan ke atas kedua-dua aspek iaitu dasar dan juga kaedah operasi perniagaan, katanya kepada Bernama. 

“Terdapat keperluan untuk kerajaan persekutuan melaksanakan perubahan fundamental dalam menguruskan Labuan.

“Amnya dipersetujui, perubahan itu termasuk memisahkan hubungan kerajaan dan perniagaan serta institusi kewangan,” katanya. 

Romzi berkata pandemik itu memberikan cabaran besar kepada pembuat dasar serta mempunyai kesan langsung dan tidak langsung terhadap ekonomi global yang saling berkait.

“Labuan yang merupakan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia dan menyumbang ratusan juta (ringgit) cukai kepada kerajaan, turut menerima kesannya,” kata beliau.

Jelasnya dari segi penawaran, jangkitan Covid-19 mengurangkan bekalan tenaga kerja dan produktiviti, sementara kawalan pergerakan pula mengakibatkan penutupan perniagaan dan gangguan bekalan.

“Dari segi permintaan pula, berlaku pemberhentian pekerja serta kehilangan pendapatan (ekoran dijangkiti wabak, kuarantin dan pengangguran) dan prospek ekonomi yang malap mengurangkan penggunaan isi rumah serta pelaburan oleh syarikat,” katanya.

Beliau berpendapat ketidaktentuan tentang laluan, tempoh, magnitud serta impak pandemik itu boleh menyebabkan satu kitaran yang menjejaskan keyakinan perniagaan dan pengguna selain mengetatkan syarat-syarat pembiayaan, sekali gus mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pelaburan.  

Katanya antara cabaran utama kajian bagi sebarang analisis ekonomi empirikal tentang Covid-19 ialah bagaimana hendak mengenal pasti kesan tidak linear pandemik dan limpahannya yang merentasi negara serta mengukur ketidaktentuan unjuran yang dibuat memandangkan pandemik itu tidak pernah terjadi sebelum ini. 

Beliau berkata yang pasti ekonomi Labuan telah mendepani laluan sukar sebelum kedatangan virus maut itu pada awal 2020. 

Pada 29 April 2019, beberapa dewan perniagaan Labuan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dengan senarai 15 isu ekonomi yang dikatakan ‘sine qua non’, iaitu elemen atau syarat penting untuk pemulihan ekonomi. 

Pandemik itu hanya memburukkan lagi keadaan.

Bernama sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 29 pusat hiburan dan pusat sukan, termasuk pusat karaoke di pulau ini, berisiko ditutup setelah pemiliknya mengalami kerugian kira-kira RM6 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lepas. 

Kerugian tersebut menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan industri hiburan tempatan.

Prof Madya Dr Geoffrey H. Tanakinjal daripada UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Labuan berjumlah RM7.6 bilion pada 2019.

Peneraju utama ekonomi ialah industri perkhidmatan dengan sumbangan RM5.9 bilion (2018: RM5.5 bilion), diikuti perkilangan (RM1.4 bilion), pembinaan (RM177.2 juta) dan pertanian ( RM133.3 juta), kesemuanya melaporkan peningkatan nilai.

Situasi itu berubah pada 2020 ekoran wabak yang menghentikan aktiviti ekonomi global, kata Geoffrey, seorang pensyarah kanan di Fakulti Kewangan Antarabangsa.

“Disebabkan keperluan untuk kekal berada di dalam rumah, kehilangan pekerjaan tidak dapat dielakkan. Walaupun dilaksanakan kaedah bekerja dari rumah, hakikat bahawa syarikat tidak dapat membiasakan amalan menutup ‘pintu’ premis perniagaan mereka pada waktu perniagaan tidak berubah.

“Labuan juga bergantung pada orang luar untuk memacu kedudukannya sebagai pulau bebas cukai. 

“Pendidikan adalah segmen yang signifikan,” katanya.

Memberi contoh UMSKAL, beliau berkata institusi itu berkapasiti 1,900 pelajar selain 2,100 penuntut matrikulasi dan 500 pelajar masing-masing di Kolej Vokasional Labuan serta Institut Latihan Perindustrian, keseluruhannya ada sekitar 5,000 pelajar dari luar Labuan berbelanja di pulau itu. 

Kesan perbelanjaan pelajar terbabit terhadap persekitaran ekonomi Labuan adalah besar kerana melibatkan perbelanjaan langsung kepada premis perniagaan kecil.

“Bayangkan jika seorang pelajar berbelanja RM100 sebulan, keseluruhan perbelanjaan secara berkumpulan ialah RM500,000 sebulan atau RM6 juta setahun,” kata Geoffrey.

Sumber: https://www.dailyexpress.com.my/news/164013/perubahan-fundamental-perlu-pulih-ekonomi-labuan-pakar/ 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.