KHAMIS, 19 JULAI – Bengkel “Early Childhood Music Level II” anjuran bersama Program Muzik Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS); Unit Penyelidikan Warisan Borneo UMS; dan The Music Place yang mengaplikasikan pendekatan bertaraf dunia amat sesuai dilaksanakan dalam pembelajaran muzik di peringkat perkembangan awal kanak-kanak.

Menurut Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim, pendekatan tersebut sekali gus membantu kanak-kanak untuk mempelajari pelbagai cara meningkatkan kemahiran menyanyi berasaskan lagu rakyat, lagu kanak-kanak dan lagu yang berbentuk permainan.

“Melalui bengkel ini, guru muzik dapat meningkatkan kemahiran praktikal semasa melakukan aktiviti “hands-on” dengan alat-alat perkusi muzik khas.

“Di samping itu, guru muzik juga dapat meningkatkan kefahaman perkembangan muzik awal kanak-kanak melalui aktiviti pergerakan badan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian bengkel tersebut yang dibacakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKSW, Prof. Madya Dr. Dzurizah Ibrahim.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran peserta seramai 42 orang yang terdiri daripada guru muzik dari Korea Selatan, Macau, China, Brunei, Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Bengkel yang dikendalikan oleh pensyarah di University of Hawaii, Prof. Dr. Loong Chet Yeng berlangsung selama lima hari dan akan berakhir pada esok.

 

RABU, 18 JULAI – Seramai 63 pelajar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu menyertai Bengkel Tahsin Solat yang berlangsung di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Program yang merupakan anjuran bersama kolej tersebut dengan Pusat Islam UMS (PIUMS) dibimbing penceramah dari PIUMS iaitu Ustaz Mohammad Fazri Abdul Hamid dan Ustaz Md. Nazrie Petir.

Menurut Mohammad Fazri,  program tersebut bertujuan memberi pendedahan tatacara solat yang betul sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW.

“Program seumpama ini amat bertepatan dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang dalam kalangan peserta sekali gus menambahkan ilmu berkaitan keagamaan ke arah generasi pewaris tampuk kepimpinan pada masa hadapan.

“Pada bengkel ini, semua peserta turut melakukan praktikal solat dan membaca surah al-Fatihah dengan betul dari segi tajwidnya,” jelasnya lagi.

Hadir sama pada program itu ialah Guru Pengiring Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Zainduddin Mohd. Yusoff dan Mohd. Khairi Lebai Ahmad.

 

SELASA, 17 JULAI - Kira-kira 2,000 peminat bola sepak membanjiri Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 antara Perancis dan Croatia Ahad lalu.  

Program yang dikenali sebagai “Bola Dulu Bah 2018” merupakan anjuran bersama UMS, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah dan Pejabat Parlimen Sepanggar.

Pelbagai acara menarik telah diadakan, antaranya cabaran permainan video FIFA PS4, kuiz “Bola Dulu Bah”,  pertandingan timang bola, cabaran penalti serta perlawanan persahabatan bola sepak antara gabungan UMS, RTM, Pejabat Parlimen Sepanggar menentang bekas pemain bola sepak Sabah (Sabah Star 90’s).

Acara turut dimeriahkan dengan Persembahan “Bejiming Kita” daripada unit Hiburan dan Muzik RTM Sabah yang turut menampilkan artis-artis tempatan seperti Esther Applunius Chin dan Rey Kimara selain penampilan penyampai radio Sabahfm dan SabahVfm.

Program yang berlangsung sehingga pukul 1.30 pagi itu turut mendapat liputan secara lintas langsung sebanyak tiga kali di TV1.

Turut hadir memeriahkan majlis Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarsin Taib mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan Zakaria Damit, Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Sepanggar, Dato’ Aziz Jamman yang juga merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Ketua Penolong Pengarah Rancangan TV, Francis Fahir; dan Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Sabah, Francis Au.  

SELASA, 17 JULAI - Seramai 30 peserta mengambil bahagian dalam “Kursus Cendawan Toksik di Sabah: Pengenalan dan Pengurusan” anjuran Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Kursus sehari itu antara lain bertujuan memberi pendedahan mengenai kes keracunan cendawan dan pengetahuan tentang kepelbagaian cendawan yang boleh dan tidak boleh dimakan di Malaysia.

Selain itu, ia juga dianjurkan bagi mewujudkan interaksi dalam kalangan kakitangan kerajaan, agensi swasta dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).

Pada program tersebut turut menyaksikan satu rangkaian hubungan iaitu e-mushroom emergency berjaya diwujudkanbagi meningkatkan lagi kepekaan terhadap kes keracunan cendawan di Sabah.

Antara peserta yang hadir termasuklah wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Taman-Taman Sabah, Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Perhutanan Sarawak, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Forever Sabah Kg. Babagon Toki, Inanam.

Kursus dikendalikan penceramah jemputan yang berpengalaman luas iaitu Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr. Baran Palanimuthu;  Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Michal Christina Steven; dan Penyelaras kursus berkenaan yang juga Pensyarah Kanan IBTP, Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie mewakili Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS.

Hadir sama Pemangku Pengarah IBTP, Profesor Madya Dr. Monica Suleiman.

 

ISNIN, 16 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul sebagai penerima anugerah pemenang tempat ketiga pertandingan Universiti Awam Bebas Denggi 2018 di Petaling Jaya baru-baru ini.

Bertemakan “Komuniti ASEAN Membanteras Denggi”, pertandingan tersebut disertai 20 Universiti Awam seluruh negara sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN.

Kemenangan itu menyaksikan UMS menerima hadiah wang tunai RM2,000 yang disampaikan Menteri Kesihatan Malaysia iaitu Dr. Haji Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan UMS, FPSK dan seluruh warga universiti.

“Ini merupakan satu pengiktirafan terhadap segala usaha yang dijalankan sekali gus membolehkan universiti ini dinobatkan sebagai sebuah kawasan  bebas denggi.

“Dalam masa yang sama, pengiktirafan ini pasti akan memberi suntikan motivasi kepada seluruh warga UMS untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai tahap kecemerlangan lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya yang yang hadir mewakili Naib Canselor UMS.

Pada program tersebut, johan dan penerima anugerah tempat kedua masing-masing dimenangi Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

Sumber: Hasmi Hashim FPSK