Penganjuran Program Skolar Next Level: Educators with Canva and ChatGPT (SNL) oleh Skolar Malaysia dengan kerjasama Pusat e-Pembelajaran (PEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sawit Kinabalu Group dilihat mampu memberikan pendedahan mengenai penggunaan teknologi Generative AI dan Canva dalam pengajaran dan pembelajaran.

Pengarah PEP, UMS Prof. Dr. Fong Soon Fook berkata usaha dan sinergi antara IPTA dan pihak sekolah amat penting dalam menyediakan pelajar dan murid yang peka terhadap penggunaan teknologi pembelajaran terkini.

“Skolar Next Level ialah inisiatif yang dilaksanakan di beberapa negeri di Malaysia bagi menyebar luas akan pentingnya kemahiran digital dalam dunia pendidikan moden.

“Selaras dengan dasar pendidikan digital teras kedua iaitu Pendidik Kompeten Digital bagi merapatkan lagi jurang digital dan juga SDG keempat iaitu kualiti pendidikan bagi memperkasakan para pendidik,” katanya dalam satu kenyataan sempena penganjuran program tersebut.

Menurut Fong, melalui program SNL para pendidik dapat mempraktikkan teknologi seperti ChatGPT dalam penyediaan bahan pengajaran serta Canva dalam menyediakan idea dalam bentuk visual yang lebih menarik dan mudah difahami oleh pelajar.

“Ini bukan sahaja meningkatkan kreativiti guru sebagai pendidik, tetapi juga membantu mereka lebih efisien dalam menyampaikan maklumat dengan lebih jelas dan efektif,” ujar Fong.

Mengulas lanjut, beliau berharap program Skolar Next Level dapat membuka peluang baharu untuk warga pendidik di Sabah khususnya dalam mempercepatkan pembelajaran teknologi.

“Melalui program ini, para pendidik bukan sahaja dapat mempelajari kemahiran yang relevan untuk era digital, tetapi juga dapat membangunkan minda yang inovatif dan kreatif bagi mengaplikasikan kaedah pembelajaran yang interaktif di dalam kelas.

Program SNL menghimpunkan seramai 200 orang pendidik daripada pensyarah, guru, pelajar sepanjang hayat (life-long learners) dan jurulatih daripada seluruh pelusuk negeri Sabah.

Program ini menyaksikan kehadiran Dr. Muhammad Tazli Azizan, pengasas bersama Skolar Malaysia sekali gus menjadi jurulatih utama program dan merupakan Canva Verified Expert yang kedua serta Brandon Liau, anak watan Sabah, yang merupakan Canva Verified Expert pertama di Malaysia.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) memperkukuhkan komitmen dalam penyelidikan dan pengurusan bencana apabila terlibat dalam Persidangan Asia Pacific Ministerial Conference on Disaster Risk Reduction (APMCDRR) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Manila, Filipina.

Persidangan anjuran United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR) dengan kerjasama Kerajaan Filipina itu disertai Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus sebagai delegasi rasmi Malaysia di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Carolyn, penglibatan NDRC dalam persidangan ini amat penting bagi memindahkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan bencana di peringkat Asia Pasifik serta mengetengahkan penyelidikan dan kerjasama antarabangsa yang dijalankan oleh UMS.

“Penyertaan dalam APMCDRR 2024 memperkukuhkan hubungan antara NDRC, UMS dan NADMA, di samping meningkatkan kerjasama penyelidikan rentas negara dalam pengurusan risiko bencana.

“Penglibatan ini juga membantu mengemas kini kerjasama sektoral pada peringkat antarabangsa,” jelas Carolyn.

Beliau turut menekankan bahawa persidangan empat hari ini memberi peluang kepada NDRC untuk berkongsi pengalaman serta membincangkan strategi pengurusan bencana dengan pihak lain, terutamanya yang berkaitan dengan isu perubahan iklim.

“Sesi plenari, sesi kerja dan acara tumpuan turut membolehkan peserta bertukar idea serta melihat pendekatan pengurangan risiko bencana (DRR) inovatif yang diamalkan oleh negara-negara lain.

“Salah satu inisiatif Malaysia yang diketengahkan dalam persidangan ialah pelaksanaan Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) oleh komuniti di Mesilau, Kundasang, yang menjadi model pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti di negara ini,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dato’ Ismail Mohd Zawawi; serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China sebagai tanda persahabatan, terutama dalam bidang pendidikan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, UMS sendiri telah mencapai kejayaan yang ketara sejak tiga dekad lalu.

"Komitmen terhadap kecemerlangan akademik terbukti dalam rangkaian program kami yang pelbagai, yang memenuhi keperluan lebih 22,000 pelajar dari pelbagai latar belakang.

“Perkongsian kami dengan institusi tempatan dan antarabangsa telah memudahkan pelbagai usaha penyelidikan, menyumbangkan pandangan berharga kepada kedua-dua ahli akademik dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 UMS dan Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Antara Malaysia dan China di Dewan Resital, UMS.

Beliau menambah, UMS telah menerima pakai dasar pengantarabangsaan yang telah meningkatkan kedudukan global universiti.

“Dasar ini bukan sahaja menggalakkan kerjasama rentas sempadan dan pertukaran pelajar, tetapi juga menarik fakulti dan penyelidik antarabangsa ke kampus kami.

“Melalui perkongsian dengan institusi akademik di seluruh dunia, termasuk China, kami telah mengukuhkan program dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pertukaran budaya,” kata Kasim.

Beliau turut menjelaskan bahawa UMS telah memantapkan dirinya sebagai hab penyelidikan termaju, terutama dalam bidang seperti sains marin, biodiversiti, dan pembangunan mampan.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkaya komuniti akademik, tetapi juga telah menyumbang secara signifikan kepada landskap pengetahuan dan inovasi yang lebih luas.

“Perkongsian ini telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti Cina, sama ada di dalam atau di luar negara.

“Dari segi budaya, pertukaran yang dijalankan telah memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap kekayaan warisan yang dimiliki oleh Malaysia dan China.

“Acara, pertukaran pelajar dan inisiatif bersama telah membuka pintu untuk dialog dan persahabatan, mewujudkan perkongsian pengalaman yang memperkayakan kampus kita,” tambah beliau.

Ujar Kasim, tema sambutan tersebut iaitu "Perpaduan dalam Sambutan: 30 Tahun Kecemerlangan, 50 Tahun Persahabatan" menyerlahkan lagi hubungan yang berakar umbi antara kedua-dua negara, memupuk persefahaman dan kerjasama bersama.

Pada majlis tersebut, lebih 500 hadirin menyaksikan persembahan nyanyian, permainan alat muzik tradisional, orkestra Cina, persembahan muzikal dan lukisan, serta acara mendeklamasi sajak yang menggabungkan elemen kebudayaan Malaysia dan China.

Hadir sama pada majlis tersebut Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang; Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Madya Dr. Lai Yew Mengl; Dekan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam; Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din; dan Pengarah Confucius Institute, Dr. Chiew Tung Moi.

 

KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mengetuai Sabah Higher Education Nexus (SHEN) iaitu sebuah konsortium yang menggalakkan perkongsian strategik antara institusi pendidikan tinggi Sabah, pihak kerajaan, industri dan komuniti.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, UMS dilihat sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang paling sesuai untuk mengetuai inisiatif berkenaan.

“SHEN akan memacu pembangunan bersama semua institusi yang terlibat, meningkatkan daya tahan institusi dan menyumbang kepada ekosistem pendidikan tinggi yang berinovatif dan berdaya saing.

“Pendekatan Nexus memungkinkan pembinaan sinergi antara pelbagai sektor dan antara institusi pendidikan tinggi yang mempunyai pelbagai bidang tujahan.

“Hal ini bermakna institusi yang lebih kecil atau yang baru mula membina kredibiliti akan mendapat manfaat daripada pendekatan ini melalui inisiatif perkongsian sumber dan kepakaran dengan institusi yang lebih matang, kolaborasi inter-disiplin serta peluang pemerolehan geran penyelidikan yang lebih luas.

“Peningkatan keterlihatan dan kredibiliti, pembangunan ekonomi dan komuniti serta inovasi kurikulum. SHEN adalah sebuah inovasi pengurusan yang mampu memberi nilai tambah kepada semua institusi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Leadership Forum Embracing Change:Leadership Strategies for Continous Innovation  anjuran UMS dan Akademi Kepimpinan Tinggi Malaysia (AKEPT).

Mustapha menambah beberapa strategi dapat membantu bagi merealisasikan inisiatif tersebut termasuk memastikan visi yang jelas berkaitan hala tuju inovasi, mengamalkan kepimpinan yang fleksibel dan adaptif serta mengadakan libat urus pemegang taruh.

Selain itu katanya ia juga mampu dilakukan melalui pemerkasaan ahli akademik dan pentadbir untuk berinovasi, menggalakkan pembelajaran berterusan serta membudayakan kolaborasi.

“Intiha’nya, inovasi memainkan peranan yang penting dalam suasana persekitaran yang dinamik di mana perubahan perlu diurus dengan baik.

“Dalam industri lain, kolaborasi antara organisasi ialah salah satu inovasi pengurusan yang telah dibuktikan mampu meningkatkan daya saing dan daya tahan organisasi yang terlibat.

 

“Pendekatan yang sama mampu dilakukan oleh institusi pendidikan melalui kebersamaan dan semangat untuk sama-sama membangun, demi kelestarian dan kecemerlangan pendidikan tinggi negeri Sabah dan negara amnya,” ujar Mustapha.

Program Sabah Higher Education Nexus (SHEN) mencatatkan sebanyak 94 penyertaan daripada 10 organisasi.

Turut hadir, Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Harshita Aini Haroon; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Dekan Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS, Prof. Dr. Mohd Dahlan Haji Abdul Malek.

 

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menunjukkan komitmen dalam persediaan menghadapi bencana dengan menyertai latihan Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) yang berlangsung di Kundasang.

Latihan tersebut memfokuskan kepada pengurusan bencana tanah runtuh di Sabah, dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Menurut Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus, acara tersebut terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu sesi TTX yang membincangkan Prosedur Tetap Operasi (PTO) setiap agensi, diikuti dengan sesi FTX yang melibatkan simulasi penuh struktur arahan, operasi, serta aktiviti mencari dan menyelamat (SAR) oleh agensi terlibat.

“Simulasi seperti ini sangat penting sebagai platform memperkukuh kebolehoperasian dan kerjasama antara agensi.

“Latihan ini akan meningkatkan kefahaman bersama dan memudahkan tindakan kolektif antara pasukan penyelamat, khususnya dalam situasi kritikal seperti tanah runtuh di Sabah,” katanya yang turut menjadi peserta kepada sesi latihan tersebut.

Carolyn menambah, sesi latihan yang melibatkan 70 peserta pelbagai agensi juga membuka ruang perkongsian ilmu antara agensi, selain membolehkan peserta meningkatkan pengetahuan, pengalaman, dan kepakaran mereka.

“Tahun ini daerah Ranau dipilih sebagai lokasi operasi kerana terdedah kepada bencana seperti gempa bumi, tanah runtuh, dan banjir.

“Justeru itu, pentingnya latihan seperti ini untuk meningkatkan kesiapsiagaan agensi dan sukarelawan dalam pengurusan bencana serta memperkukuh PTO sedia ada,” ujar beliau.

Latihan bersepadu ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Agensi-agensi utama yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Ranau, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Taman-Taman Sabah, serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, antara agensi teknikal dan sokongan lain yang menyertai latihan ini ialah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Penerangan Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, RELA, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn. Bhd., serta Sapura Secured Technologies.