Perkasa Bidang Akademik, UMS Anjur Bengkel Pendidikan Kewarganegaraan Global

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkasa bidang akademik menerusi Bengkel Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED), anjuran Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar, Fakulti Pendidikan dan Sains Sukan (FPPS) UMS, baru-baru ini.

Dekan FPPS UMS, Prof. Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata, program anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM) itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pensyarah UMS tentang konsep GCED dalam bidang pendidikan.

“Selain itu, ia juga membantu peserta memahami elemen-elemen utama GCED serta bagaimana untuk mengintegrasikannya ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Di samping itu, ia juga bagi memperkukuh jaringan kerjasama akademik antara UMS dan GCC-Malaysia@USM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel GCED di UMS.

Sementara itu menurut Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar FPPS UMS Dr. Connie Shin @ Cassy Ompok, seramai 30 pensyarah telah menyertai bengkel tersebut yang turut melibatkan fasilitator dari GCC-Malaysia@USM.

“Bengkel ini bukan sahaja memperkasa pemahaman GCED, tetapi juga membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pelaksanaan pelan tindakan di peringkat fakulti.

“Diharapkan bengkel ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pengajaran berteraskan nilai kewarganegaraan global di peringkat UMS,” katanya.

Hadir sama, Pengarah GCC-Malaysia@USM, Profesor Madya Kehormat Dr. Rohizani Yaakub, Penyelaras GCED, Norlida Ahmad; Fasilitator Aktiviti, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah dan Prof. Madya Dr. Aziah Ismail.