Kelab Pendidikan Awal kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Program Kesedaran Hak Kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kindu, Tuaran, baru-baru ini.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP UMS, Dr. Juppri Bacotang berkata program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat khususnya ibu bapa tentang hak kanak-kanak.

Katanya, ibu bapa merupakan insan yang paling penting dalam kehidupan kanak-kanak dan mempunyai amanah serta tanggungjawab besar untuk mengasuh, menjaga dan mendidik kanak-kanak sejak awal umur lagi.

Tambah Juppri program itu antara lain memberi peluang kepada pelajar UMS menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti setempat.

“Melalui program ini juga, pelajar dapat melihat dan merasai sendiri persekitaran dan suasana di sekolah luar bandar bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan kompeten dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk mempraktikkan ilmu dan pengetahuan yang telah dipelajari kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut.

Juppri turut menekankan kepentingan pendidikan awal termasuklah prasekolah yang dapat membantu kanak-kanak menguasai 4M (membaca, menulis, mengira, dan menaakul) sebagai asas persediaan sebelum mereka ke sekolah rendah.

“Pendidikan merupakan salah satu hak yang perlu diberikan kepada semua kanak-kanak demi menjamin masa depan mereka. Ini perlu bermula sejak awal umur kanak-kanak lagi sama ada bermula di rumah, taska, mahupun di prasekolah atau tadika,” tambahnya.

Manakala Pengarah Program, Muhammad Ehsan Kamba berkata, program itu merupakan kerjasama FPP bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Sabah.

“Peserta program terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak prasekolah yang disajikan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti ceramah keibubapaan, sesi pengajaran dan pembelajaran dan sukaneka.

“Selain itu juga, terdapat aktiviti bersama kanak-kanak yang dijalankan oleh pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak iaitu membuat kraf diorama bertemakan hidupan laut di kelas prasekolah.

“Aktiviti ini dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap seni dan kraf, dan seterusnya meningkatkan kreativiti dan imaginasi mereka,” jelasnya.

Pada program tersebut, turut diadakan ceramah keibubapaan yang menjelaskan tentang hak kanak-kanak yang merangkumi Hak Kehidupan, Hak Perlindungan, Hak Perkembangan, dan Hak Penyertaan yang disampaikan oleh wakil SUHAKAM, Mohd Irsyad Hamilin dan Qalista S. Dohny.

Turut hadir, Guru Besar SK Kindu, Sitiamah Hi. Sahat dan Ketua Penolong Setiausaha SUHAKAM Sabah, Dr. Alfonso Min.

 

 

Program Khidmat Masyarakat oleh sekumpulan pelajar Non Residen Universiti Malaysia Sabah (UMS) di SK. Bungalio, Tuaran baru-baru ini memberi motivasi kepada murid-murid di sekolah tersebut untuk terus meningkatkan pencapaian diri dan mencapai kecemerlangan.

Bertemakan 'Siswa Prihatin, Masih Ada Yang Sayang’, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Non Residen sesi 2022/2023 (JAKMAS NR) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF).

Menurut pengarah program, Jane April Teo, program tersebut membabitkan 22 pelajar non residen bersama-sama dengan beberapa kakitangan PNRF.

“Objektif utama program ini diadakan adalah bagi menambah pengetahuan dan pengalaman para peserta program dalam berinteraksi dengan masyarakat.

“Di samping itu, program ini juga menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan melalui pelbagai medium dalam kehidupan, serta memberi pengalaman berkualiti untuk pelajar,” katanya.

Jane turut memaklumkan, antara aktiviti yang diadakan oleh peserta sepanjang program tersebut berlangsung adalah sesi Latihan dalam kumpulan (LDK), sukaneka, penyerahan sumbangan buku dan juga melukis mural di dinding bangunan yang diabadikan untuk kenang-kenangan bersama.

Dalam pada itu, Guru Besar SK. Bungalio, Jalius Gadsong merakamkan penghargaan kepada pihak UMS atas inisiatif mengadakan program khidmat masyarakat bersama murid-murid di sekolah tersebut.

“Pihak sekolah menyambut baik usaha ini dan berharap agar program murni seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai motivasi kepada anak-anak untuk mencapai cita-cita ke menara gading,” katanya.

Pengarah PNRF, Hasmi Hashim juga menyokong usaha kumpulan pelajar Non Residen UMS untuk meneruskan program-program yang memberi manfaat baik kepada pelajar mahupun kepada masyarakat.

“Program murni ini menyokong kepada amanat dan fokus ke-11 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu pemerkasaan pelajar, serta menyahut seruan salah satu program utama di bawah KPT iaitu Semarak Siswa Madani atau juga dikenali sebagai S4S (Student for Society),” ujar beliau.

Seramai 37 murid SK. Bungalio dan dibantu oleh guru-guru sekolah telah menjayakan program tersebut.

Hadir sama dalam program tersebut Yang Dipertua JAKMAS NR, Mohd. Nazarruddin Zulkipli.

 

Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan MBSB Bank mengadakan “Program MBSB Bank University Career Kick-Start (MBUCK) with UMS”, di sini, baru-baru ini.

Ketua Talent Acquisition and Employer Branding MBSB, Santhana Krishnasamay berkata, program itu antara lain bertujuan memberi pengenalan dan berkongsi peluang pekerjaan ditawarkan di MBSB Bank.

“Selain itu, para peserta berpeluang untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan industri perbankan bersama wakil industri yang hadir.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi pendedahan tentang hala tuju dan cabaran kerjaya di MBSB Bank sekali gus menyumbang ke arah peningkatan kadar pekerjaan dalam bakal graduan,” katanya.

Santhana berkata demikian dalam satu kenyataan sempena program itu yang berlangsung di Auditorium Pascasiswazah UMS.

Turut hadir Ketua Industrial Relations and Governance, Mathew Jr Johnson; Pegawai Psikologi PKPKP UMS, Nurul Fatiha Firdaus Roslan; Pegawai Psikologi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Aashiqin; dan Penolong Pegawai Tadbir PKPKP UMS, Anita Jamo Rudy.

Menurut Nurul Fatiha, seramai 100 peserta menghadiri program itu yang terdiri daripada pelajar tahun akhir UMS dan UiTM dari pelbagai bidang ijazah sarjana muda.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program yang diadakan buat julung kalinya di UMS ini.

“Semoga ia dapat memberi manfaat kepada para peserta khususnya dari segi ilmu berkaitan industri peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak MBSB Bank,” katanya.

 

Program Gotong-Royong Perdana di peringkat Kolej Kediaman Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu meningkatkan kesedaran warganya akan kepentingan menjaga kebersihan serta meningkatkan keceriaan dan keselamatan di kolej kediaman.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, usaha ini juga mampu menyemai semangat kesukarelawanan dan cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar yang perlu dipupuk sejak awal lagi.

“Semangat sebegini menjadi batu asas kepada warganegara yang prihatin, bertanggungjawab, saling bantu membantu demi menjaga kebersihan setempat yang akan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat.

“Justeru, tahniah diucapkan kepada Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) atas kejayaan penganjuran program ini menerusi penglibatan warga kolej kediaman walaupun para pelajar masing-masing sedang sibuk dengan persiapan dan persediaan peperiksaan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Ujar Kasim, aktiviti sebegini bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam kalangan staf dan pelajar, tetapi turut memberi impak positif kepada para peserta kerana selain menjadi aktiviti fizikal yang menyihatkan tubuh badan, usaha ini turut memberi pendedahan untuk lebih menghargai keindahan serta kepentingan memelihara alam sekitar.

Program tersebut melibatkan semua kolej kediaman termasuk Cawangan Sandakan dan Labuan dan disertai semua pihak pengurusan Kolej kediaman, kakitangan PNRF dan pelajar di kolej kediaman masing-masing.

Selain aktiviti gotong-royong, terdapat juga aktiviti lain yang dilaksanakan seperti sesi taklimat ringkas kesihatan awam berkaitan nyamuk Aedes oleh Dr. Muhammad Aklil Abd Rahman dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, sesi senam robik, Mini Pameran Kawalan Penyakit Bawaan Vektor daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Covid-19 (PKTC) UMS dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Aktiviti pameran yang dilaksanakan itu adalah untuk memberi kesedaran kepada warga kolej kediaman berkenaan aktiviti mencegah, mengawal dan membasmi penyakit-penyakit bawaan vektor.

Kasim turut melancarkan Menu Siswa Rahmah serendah RM3.50 pada program tersebut.

 

Lawatan kerja delegasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Seoul, Korea Selatan baru-baru ini membawa agenda serampang dua mata dalam mengukuhkan pengiktirafan universiti di peringkat antarabangsa.

Delegasi UMS diketuai Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan melibatkan kakitangan akademik dan pentadbiran dari Fakulti, Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP), dan Pusat Luar UMS (PLUMS).

Kasim memberitahu, lawatan kerja tersebut antara lain adalah meneroka peluang untuk mengadakan jalinan kerjasama bersama industri dan juga universiti di Seoul, Korea Selatan.

“Antara agenda utama lawatan ini adalah untuk membincangkan potensi UMS sebagai rakan industri dari aspek penyelidikan yang memenuhi kehendak pasaran, serta mengenal pasti modul yang bersesuaian untuk makmal hidup atau inkubator Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) di UMS.

“Selain itu juga, antara fokus utama UMS melalui Fakulti, Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) adalah untuk melakukan penanda aras ke arah pengakreditasian global, iaitu pengiktirafan oleh Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) menjelang tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia di Korea Selatan, Datuk Lim Juay Jin.

 

Menurut beliau, antara isu yang diketengUMS memainkan peranan pesebagai satu institusi atau hub pendidikan tinggi di rantau Borneo yang mampu melahirkan pelajar yang berdaya saing, inovatif serta kreatif selaras dengan perkembangan industi yang mampu memberikan impak kepada perkembangan ekonomi.

 

“Selain itu, UMS juga dilihat sebagai institusi pendidikan yang mempunyai diversiti serta kebolehupayaan dalam mempromosikan Edu-Tourism, mobiliti pelajar dan kakitangan UMS, Summer Course, dan juga potensi untuk penawaran program berkembar bersama universiti di Korea Selatan.

 

“Ini sekali gus dilihat mampu memberikan kesan positif kepada perkembangan ekonomi dari aspek pelancongan di Sabah,” katanya.

 

Kasim bersama delegasi UMS turut mengadakan kunjungan hormat ke Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Seoul, Korea Selatan.

 

Rombongan UMS telah disambut baik oleh Pengarah MIDA Seoul, Ruhizam Idris dan Timbalan Pengarah MIDA Seoul, Derrick Tanggapan yang juga merupakan Alumni UMS.

 

Kasim memaklumkan dalam perbincangan selama sejam tersebut diselitkan pembentangan mengenai peranan MIDA Seoul dalam usaha menarik minat pihak pelabur Korea Selatan bagi membangunkan cawangan atau hab industri di Malaysia, dan negeri Sabah, khususnya.

 

“Antara isu utama yang diketengahkan sepanjang perbincangan tersebut adalah peranan UMS dalam menghasilkan graduan berbakat yang menjurus kepada Revolusi Industri 4.0, merangkumi aspek Environmental, Social, and Governance (ESG), teknologi tenaga baharu serta kenderaan elektronik (EV Car), selaras dengan kehendak dan perkembangan industi Korea Selatan masa kini.

 

“Menerusi intipati maklumat yang diberikan oleh pihak MIDA Seoul, UMS yakin mampu melahirkan graduan yang berkebolehan selaras dengan perkembangan teknologi dan industri.

 

“Ini dapat dilihat menerusi inisiatif FPEP dalam usaha mendapatkan akreditasi global oleh AACSB yang akan membantu bakal graduan UMS mendapat pengitirafan global dari aspek kualiti dan kebolehpasaran,” ujar beliau.

 

Turut serta dalam lawatan kerja tersebut Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Rahimie Abdul Karim; Pengarah PPP, Profesor Dr. Jumat Sulaiman; Pengarah PLUMS, Dr. Lim Thien Sang; dan Pengarah Unit Keusahawanan FPEP, Prof Madya Mat Salleh Ayub.