Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani surat niat (LoI) bersama Makmal Diagnosa Veterinar (MDV) bertempat di Smart Space FSSA, baru-baru ini.

Dekan FSSA, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau berkata, LoI itu antara lain bertujuan berkongsi kepakaran dan pengetahuan melalui aktiviti pengajaran dan penyelidikan.

Selain itu katanya, melalui LoI ini persampelan virus daripada MDV dapat dilaksanakan bagi aktiviti penyelidikan pelajar sarjana.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi ruang untuk perkongsian pengetahuan dan pendedahan kepada bidang virologi di lapangan melalui lawatan akademik pelajar untuk Kursus Virologi SY22902 dalam Program Bioteknologi,” katanya.

Menurut Jualang, kolaborasi dalam bidang penyelidikan antara dua entiti ini juga mampu menghasilkan jurnal yang berimpak tinggi kelak.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada MDV Kota Kinabalu atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.

“Sudah tentu kolaborasi UMS dan MDV Kota Kinabalu ini akan memberi impak positif kepada bidang pengajaran dan penyelidikan pelajar-pelajar Program Bioteknologi khususnya dan juga kepada masyarakat setempat secara amnya,” katanya.

Pada majlis menandatangani LoI tersebut, Jualang mewakili FSSA manakala MDV diwakili oleh Pegawai Penyelidik MDV Kota Kinabalu, Ag. Muhammad Sagaf Abu Bakar.

Hadir sama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee; Ketua Program Bioteknologi, Profesor Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah; Pensyarah Program Bioteknologi, Hartinie Marbawi dan Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin.

 

Para pensyarah di peringkat fakulti perlu sentiasa mewujudkan rasa kebersamaan dalam memastikan sebarang program dan aktiviti yang menyumbang kepada kecemerlangan akademik dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, ia bagi meningkatkan darjah kegembiraan sekali gus membolehkan kakitangan akademik melaksanakan tanggungjawab menyampaikan pengajaran yang berkesan kepada mahasiswa dan mahasiswi.

“Setiap manusia mempunyai jenis darah yang berbeza. Akan tetapi warna darah tetap sama. Apa yang membezakan antara satu dengan yang lain ialah personaliti dan karakter.

“Oleh itu, program dan aktiviti yang boleh meningkatkan persefahaman perlu dijadikan sebagai rutin yang memanfaatkan pemegang taruh khasnya kepada para pelajar universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan rasmi ke Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, di sini, hari ini.

Kunjungan tersebut merupakan yang pertama untuk siri lawatan kerja beliau ke fakulti, akademi, dan institut di UMS sejak menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa pada bulan Mei 2023.

Menurut Dr. Shahril, seiring dengan keberadaan UMS sebagai salah sebuah universiti komprehensif, maka elemen pembelajaran dan pengajaran akan kembali diperkukuhkan bagi melahirkan modal insan yang sentiasa relevan dengan perkembangan zaman.

“Justeru, siri lawatan ini juga antara lain bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada para pensyarah mengenai cadangan mengatasi sebarang isu yang menjadi hambatan kepada kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran.

“Insya-Allah, sepanjang memegang portfolio sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, saya akan berusaha untuk meningkatkan darjah kegembiraan dalam kalangan pensyarah untuk terus komited dan sentiasa berdedikasi memikul amanah mendidik ilmu kepada para pelajar,” jelasnya.

Dalam pertemuan itu, Dr. Shahril turut meminta pihak fakulti membuat perbincangan dan menyenaraikan program-program yang sesuai untuk diterapkan dalam sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal.

“Ini merupakan satu sahutan terhadap saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai inisiatif meningkatkan kualiti proses pembelajaran sekali gus memperkasa pembelajaran fleksibel dan kendiri dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi,” ujar beliau yang pernah menjawat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS sebelum ini.

Menyentuh mengenai program-program akademik di FPEP, Dr. Shahril menyarankan agar pihak fakulti merintis jalinan kerjasama dengan universiti-universiti ternama dunia bagi meningkatkan daya saing program-program yang ditawarkan.

Katanya, ia akan mewujudkan lebih banyak kolaborasi akademik yang bukan sahaja meningkatkan nilai tambah pengajaran para pensyarah, bahkan juga memaksimumkan ilmu pembelajaran graduan keluaran UMS kelak.

Untuk rekod, FPEP menawarkan 10 program yang masih relevan dengan pasaran pekerjaan semasa seperti Perakaunan, Keusahawanan, Ekonomi Perancangan dan Pembangunan, Pengurusan Kewangan dan Perbankan, Ekonomi Kewangan, Pengurusan Hospitaliti, Perniagaan Antarabangsa, Pemasaran, Ekonomi Sumber Manusia, dan Pengurusan Pelancongan.

 

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program Ladies Care Corner baru-baru ini sebagai usaha untuk meningkatkan literasi dan kesedaran mengenai kesihatan wanita dalam kalangan pelajar UMS.

Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree, program tersebut dianjurkan susulan daripada usaha menyahut cabaran pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah pimpinan Dr. Zaliha Mustafa dalam menangani isu kemiskinan haid.

“Pihak penganjur berhasrat untuk menjayakan dan menyokong penuh inisiatif ini bermula dari peringkat akar umbi di kampus UMS bagi meningkatkan kesedaran pelajar wanita terhadap isu ini.

“Selain meningkatkan literasi dan kesedaran mengenai kesihatan wanita dalam kalangan pelajar, program ini juga bertujuan membentuk jaringan masyarakat antara universiti dan masyarakat sejagat dengan membantu meningkatkan literasi kemiskinan haid,” katanya ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyempurnakan pelancaran program tersebut di Perpustakaan UMS.

Selain program kesedaran, turut diadakan sempena Ladies Care Corner adalah sesi pengagihan tuala wanita percuma di semua kolej kediaman induk UMS serta meletakkan beberapa fasiliti pad distributor yang ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti Perpustakaan UMS serta sekitar Dewan Kuliah Pusat (DKP) UMS.

“Program yang berlangsung selama hampir sebulan ini melibatkan tiga siri yang mana setiap siri membawa tema serta keunikan yang tersendiri.

“Siri satu dijalankan secara dalam talian yang menampilkan penceramah-penceramah yang merupakan figura terkemuka dalam bidang masing-masing, manakala Siri 2 pula memfokuskan kepada pengagihan tuala wanita di semua kolej kediaman serta penyediaan fasiliti pad distributor di beberapa lokasi strategik.

“Siri 3 pula lebih fokus kepada usaha dalam menonjolkan potensi dalam bidang keusahawanan melalui Mandak Festival,” katanya.

Beliau turut berharap agar mesej yang disampaikan melalui penganjuran program tersebut menjadi satu lonjakan kepada lebih banyak gerakan untuk menangani isu tersebut yang serius dan harus ditangani demi kelestarian serta kemajuan modal insan.

Hadir sama pada pelancaran program tersebut Setiausaha Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERDESA), Jecelyn Leaslie John; Naib Presiden III (Pembangunan Insaniah dan Hal Ehwal Islam) Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Mohd Gadaffi Imran; wakil daripada Persatuan Pelajar Perubatan (MEDSTAS) serta wakil daripada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman USIA 1 Borneo.

 

Pelbagai inisiatif dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke arah pembudayaan kerja selamat dan sihat dalam kalangan warga universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah kendalian Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) UMS bagi mendidik dan menerapkan amalan kerja yang selamat dan sihat.

“Salah sebuah usaha yang dijalankan termasuklah meraikan sambutan Hari OSH Sedunia bersama Kementerian Sumber Manusia dan beberapa agensi yang berkaitan bagi memberi maklumat terkini berkaitan isu-isu keselamatan dan kesihatan serta mempromosi budaya kerja ini dalam kalangan majikan, pekerja dan orang awam.

“Antara pengisian sambutan ialah Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Melalui Pertandingan Video TikTok bertemakan KKP; Kuiz Pengenalpastian Hazard; OSH Cross Word Puzzle; dan Program Commuting Safety Support (CSSP).

“Turut diadakan Kempen Derma Darah daripada Hospital Tuaran dan Hospital Queen Elizabeth 2; pameran dari pelbagai agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, PERKESO, dan NIOSH,” katanya.

Dr. Kasim berucap demikian pada majlis penutupan Sambutan Hari OSH Sedunia dan Prapelancaran Minggu OSH peringkat UMS 2023, di sini, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Ts. Mustapha Sakmud.

Dr. Kasim berkata, pihak UMS juga berbesar hati menerima tawaran pihak PERKESO dan MIROS bagi penyertaan Program Commuting Safety Support (CSSP) tahun 2023 bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dalam kalangan kakitangan UMS.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada PERKESO dan MIROS atas penganjuran CSSP yang melibatkan 30 kakitangan UMS.

“Adalah menjadi harapan saya dan pihak pengurusan UMS agar Kementerian Sumber Manusia terus memberikan sokongan berterusan kepada UMS terhadap inisiatif-inisiatif sebegini, sama ada di peringkat universiti mahupun di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Mustapha memaklumkan usaha yang dilaksanakan UMS wajar dicontohi universiti awam dan swasta khususnya di Sabah dalam usaha mendidik dan menerapkan amalan kerja yang selamat dan sihat dalam kalangan pekerja.

Hadir sama, Pengarah PKKP UMS, Profesor Dr. Khamisah Awang Lukman serta pegawai-pegawai utama dan kanan universiti.

Untuk rekod, Minggu OSH Peringkat UMS akan disambut bermula 3 hingga 7 Julai 2023.

 

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Persidangan Annual Pediatric Ophthalmology Conference - Borneo Ophthalmology Updates (APOC-BOU) 2023, baru-baru ini.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari di Auditorium FPSK, dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS) Sabah itu disertai 130 peserta dari serata negara.

Ketua Jabatan Oftalmologi FPSK, Prof. Dr. Shuaibah Ab Ghani berkata, program tahunan itu bertujuan membincangkan cabaran serta perkembangan terkini dalam bidang Oftalmologi terutamanya berkaitan rawatan penyakit mata dalam kalangan kanak-kanak.

“Sesi praktikal (bengkel) juga dijalankan pada hari kedua persidangan bagi meningkatkan kemahiran peserta dalam pemeriksaan mata juling (ortoptik).

“Menarik pada persidangan kali ini adalah satu sesi pembedahan penyakit ptosis yang disiarkan secara langsung di HWKKS Likas pada hari ketiga persidangan,” katanya.

Dr. Shuaibah yang juga pakar oftalmologi kanak-kanak berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Majlis perasmian persidangan tersebut disempurnakan Dekan FPSK UMS, Prof Dr. Mohammad Saffree Jeffree.

Dalam ucapannya, Dr. Safree merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana memberi kepercayaan kepada pihaknya sebagai tuan rumah pada penganjuran kali ini.

“Ini merupakan kali pertama acara tahunan ini dianjurkan di FPSK UMS dengan kerjasama Jabatan Pediatrik Oftalmologi HWKKS dan Jabatan Oftalmologi Hospital Queen Elizabeth.

“Saya mengharapkan kerjasama yang baik antara UMS dan KKM ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM, Datuk Dr. Nor Fariza Ngah, serta Penaung dan Penasihat Pediatrik Oftalmologi Malaysia, Dr Jamalia Rahmat.