Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dengan menerima pengiktirafan daripada Malaysia Institute of Accountants (MIA) menerusi Anugerah MIA National Accounting Student Excellence Award 2022.

Shathiswaran S. Rajagopal, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perniagaan (FPEP) UMS menerima anugerah berkenaan sempena MIA International Accountants Conference (MIAC) 2023 yang dianjurkan pada 13 hingga 14 Jun 2023 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Anugerah tersebut menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar sepanjang pengajian di universiti tempatan.

Shathiswaran ketika dihubungi meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas anugerah yang diterimanya.

“Menerima anugerah ini merupakan detik paling membanggakan dalam perjalanan pengajian saya. Saya berasa sangat bertuah menerima penghormatan ini.

“Saya juga percaya anugerah ini akan dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk saya di alam pekerjaan kelak.

“Saya juga bangga kerana dapat membawa nama UMS ke dalam dunia perakaunan di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Beliau yang berasal dari Kampar Perak kini sedang menjalani latihan praktikal di Syarikat Baker Hughes Malaysia sebagai Reporting & Statutory Intern selama 6 bulan.

“Saya berharap lebih ramai pelajar akan cuba mempraktikkan keseimbangan dalam bidang akademik serta penglibatan kokurikulum serta mengambil masa cuti semester untuk menjalani latihan industri secara sukarela (voluntary internship) untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran insaniah”.

“Pencapaian akademik semata-mata tidak akan membawa kita pergi lebih jauh, apa yang lebih penting adalah kebolehan berkomunikasi yang mampu ditimba daripada penglibatan dalam kokurikulum dan kesukarelawan,” jelasnya.

Selain itu, UMS dalam kenyataan menjelaskan anugerah tersebut diberikan kepada pelajar terbaik bagi universiti tempatan yang diiktiraf di bawah Akta Akauntan 1967, sekali gus mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan.

Selain pengiktirafan di bawah Akta Akauntan 1967, program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian UMS juga diiktiraf oleh beberapa badan perakaunan profesional termasuk Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).

 

Kerjasama penyelidikan di antara pihak industri pertanian dan institusi pengajian tinggi akan memberi manfaat kepada ramai pihak terutama kepada pemain industri pertanian di Malaysia secara amnya, dan di Sabah khasnya.

Terbaharu, Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah membentangkan hasil penyelidikan bersama Persatuan Pengusaha Durian dan Buah Buahan Tropika Sabah (MaSDa) berkaitan buah avokado dalam siri seminar yang berlangsung di Hotel Ibis, Inanam, baru-baru ini.

Menurut Pensyarah Kanan FPL, Dr. Salumiah Mijin, penyelidikan yang dijalankan itu mendapat suntikan dana daripada pihak Intan Sawit Enterprise dengan sumbangan sebanyak RM30,000.00 bagi mengenal pasti dan meneliti perkembangan serta kematangan buah avokado varieti QAV1.

“Hasil penyelidikan yang dikongsikan ini akan membolehkan negara mampu mengeluarkan hasil dan mendapat keuntungan yang maksimum serta dapat meningkatkan industri pertanian di Malaysia.

“Selain itu juga, melalui penyelidikan ini, ia akan dapat memberi petunjuk untuk menentukan masa terbaik bagi penuaian buah avokado untuk tujuan pemasaran. Dengan cara ini kerosakan buah selepas tuaian akibat dituai pada usia yang kurang matang, dapat diminimumkan,” katanya.

Tambah Salumiah, ilmu yang dikongsikan pada seminar itu akan dapat membantu para petani meningkatkan kualiti industri perladangan avokado sekali gus meningkatkan pendapatan negara melalui pengeluaran berskala besar.

“Sehingga kini, tiada kajian telah dijalankan untuk menentukan masa optimum untuk menuai buah avokado. Maka kajian ini sangat penting kepada petani, dan ia selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

“Ekonomi rakyat akan berkembang melalui jualan dan penduduk luar bandar dapat mengatasi garis kemiskinan.

“Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Persatuan Pengusaha Durian dan Buah Buahan Tropika Sabah (MaSDa), Duane Evans dan ahli persatuan yang turut terlibat dalam memastikan penyelidikan ini berjaya mencapai objektifnya,” katanya.

Penyelidikan itu turut disertai oleh Profesor Madya Dr. Suzan Benedict, Jason Fong (Sabacado Farm), Lee Khee Sheng (Intan Sawit Enterpise), Lee Kee Shez (Baja Harapan Group Sdn. Bhd.) dan pelajar program pascasiswazah FPL, Nur Isam Mohd Ranzi.

 

 

 

Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan UMS dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), di Wisma IDS, di sini, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, program itu antara lain bertujuan membantu pihak Jabatan Penjara Malaysia (JPM) menghasilkan satu ekosistem kajian Pengesanan Bekas Banduan yang mengikuti dua program kelolaan PPIB sejak tahun 2022.

“Program yang dikendalikan oleh PPIB itu ialah projek The Scholars bagi banduan muda dan The Enrichment bagi banduan dewasa.

“Dalam projek penyelidikan ini, IDS menyumbangkan dana bernilai RM35,000 untuk membangunkan aplikasi pengesanan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Rosalam, projek itu akan diterajui oleh penyelidik-penyelidik UMS merupakan satu bentuk kerjasama yang julung kalinya diadakan dengan kerjasama IDS dan JPM.

“Adalah menjadi harapan agar semua perancangan bagi perjanjian penyelidikan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan membuahkan hasil sekali gus membawa manfaat besar bukan sahaja kepada golongan bekas banduan, tetapi juga kepada semua pemegang taruh di Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.

“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak IDS dan JPM yang telah menyambut baik kerjasama ini.

“Tahniah juga diucapkan kepada Dekan PPIB, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng atas sokongan beliau terhadap para penyelidik dari PPIB, khususnya kepada Dr. Esther Jawing dan Junaidah Januin yang telah memulakan inisiatif kerjasama ini,” tambah Dr. Rosalam.

Majlis perasmian majlis tersebut disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul.

Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Timbalan Komisioner Penjara Hajah Nora Musa bersama Timbalan Pengarahnya, Penolong Kanan Komisioner Abd Rauf Lang Pasih; Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Penolong Kanan Komisioner Teyun Thian Eim; dan Dekan PPIB UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng.

 

Pelajar Doktor Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Univeriti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Promosi Kesihatan di Sekolah Kebangsaan Terongkongan, Kudat baru-baru ini.

Menurut kenyataan FPSK, program yang bertemakan "Makan sihat, jom!." adalah hasil daripada kajian kumpulan mahasiswa yang dijalankan selama empat minggu di Kampung Terongkongan Laut dan Kampung Tinduk Kudat.

“Pelaksanaan program ini sejajar dengan semangat Bulan Pemakanan Malaysia yang disambut pada bulan April setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai budaya pemakanan sihat.

“Selaras dengan itu, kumpulan mahasiswa ini telah menjalankan pendidikan kesihatan melalui program promosi pemakanan sihat di kampung-kampung tersebut.

“Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat serta mendorong penghayatan panduan pemakanan secara “suku-suku separuh”, jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, adalah diharapkan agar program yang dianjurkan dapat memupuk kesedaran yang lebih besar mengenai pemakanan seimbang seterusnya mendorong masyarakat untuk sentiasa mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Majlis perasmian Program Promosi Kesihatan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong, Datuk Julita Mojungki. Hadir sama, Dekan FPSK UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree.

Untuk rekod, program kemasyarakatan tersebut turut dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat dan SOG Eyewear Sikuati.

 

Hampir 200 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta menjayakan Program Destini SMJ Anak Muda Sabah yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Rabu.

Program yang diadakan buat edisi yang ketiga itu merupakan anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Sabah dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS.

Ia antara lain bertujuan untuk menyampaikan maklumat dasar dan polisi kerajaan khususnya anak muda mengenai hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Selain itu, ia bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat berkenaan pelaksanaan hala tuju SMJ.

Pengisian program melibatkan sesi dialog dan soal jawab bersama dua panel jemputan iaitu Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan dan Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim.

Ketika ditemui media Fairuz memaklumkan, selain penerangan tentang hala tuju SMJ, program itu juga memberi penerangan tentang pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan negeri kepada rakyat dan golongan belia.

“Disamping itu, kita mendengar pandangan dan persoalan daripada mahasiswa. Alhamdulilah setakat ni program ini sampai kepada sasaran kita.

“Mudah-mudahan hari ini, para peserta dapat memahami seterusnya boleh menyampaikan apa sebenarnya hala tuju SMJ itu kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Vanessa Adiex, 24, berkata, penganjuran program Destini SMJ Anak Muda Sabah amat bertepatan bagi membolehkan para pelajar menyampaikan pandangan dan idea kepada pihak kerajaan.

“Sebagai mahasiswa, jarang kita mendapat ruang dan peluang seumpama ini. Selain mendapat informasi berkaitan hala tuju SMJ, ia juga merupakan platform yang tepat untuk kami menyuarakan pendapat kepada pihak kerajaan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Dhan Dhan Farsaudi, 24, memaklumkan bahawa program tersebut memberikan impak yang sangat positif kerana golongan mahasiswa merupakan golongan belia yang akan menjadi pewaris kepimpinan pada masa hadapan.

“Apabila program seumpama ini diadakan, kerajaan boleh melihat secara terus tentang keperluan dan keinginan sebenar para belia dan mahasiswa. Jadi kita ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana mengadakan program bermanfaat seumpama ini,” katanya.

Hadir sama, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Prof Madya. Dr. Asmady Idris; Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd. Raffie Haji Janau; dan Presiden MPP UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin.