UMS Tubuh Unit Perniagaan Strategik, Galak Pelaburan Universiti

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menubuhkan Unit Perniagaan Strategik (SBU) bagi menyokong usaha kelestarian kewangan dan pemangkin dalam menjana idea-idea penjanaan pendapatan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata SBU merupakan konsep penjanaan pendapatan dan merupakan ‘game-changer’ yang mula diketengahkan dalam Pelan Strategik UMS Tahun 2023-2027.

Katanya ia merupakan salah satu langkah proaktif UMS untuk mempergiat aktiviti-aktiviti pelaburan dan penjanaan dalam kalangan Pusat Tanggungjawab (PTJ).

“Penubuhan ini selaras dengan dasar kerajaan supaya semua Universiti Awam (UA) menjana pendapatan sendiri dalam keadaan pengurangan peruntukan Belanja Mengurus Tahunan UA secara berperingkat,” katanya.

Beliau menambah penubuhan SBU juga bertujuan mempromosikan produk, perkhidmatan dan kepakaran UMS ke arah meningkatkan keterlihat universiti itu di dalam dan luar negara.

“Sukacita saya maklumkan bahawa SBU yang dilancarkan ini telah dikenal pasti berdasarkan ‘track record’ pencapaian penjanaan pendapatan dan potensi PTJ tersebut dalam menjana hasil melalui aktiviti, projek atau penawaran produk serta perkhidmatan dalam segmen pasaran yang kompetitif.

“Saya pasti dengan adanya polisi dan garis panduan yang lengkap serta mekanisme pemantauan yang berkesan, SBU boleh mencapai sasaran yang ditetapkan dan akan memberi pulangan balik kepada nilai pelaburan UMS,” ujarnya.

Belau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Penubuhan dan Pelaksanaan SBU UMS, baru-baru ini.

Pada pelancaran tersebut, enam PTJ terpilih sebagai SBU iaitu Pusat Luar UMS (PLUMS), Pusat Minda Lestari (PML), Penerbit UMS, Inkubator Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Galeri Azman Hashim UMS (GAH-UMS) dan Pusat Pengurusan EcoFarm).

Turut hadir Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail dan Pengarah Pusat pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW), Dr. Borhan Sareya Abdullah.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.