Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Wilayah Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Bank Rakyat telah mengadakan Majlis Pelancaran Projek Asnafpreneur Bank Rakyat, di Menara UMSKAL, baru-baru ini.

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata kerjasama tersebut dapat memberi manfaat kepada para usahawan asnaf di sekitar Labuan yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, bimbingan dan pantauan khas kepada para usahawan akan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah FKAL yang mempunyai kepakaran dan pengalaman mengendalikan projek-projek keusahawanan bersama industri.

“Saya mewakili pihak pengurusan tertinggi UMS berasa amat berbesar hati dengan kerjasama ini yang dilihat berjaya mewujudkan hubungan sinergi di antara PPZ-MAIWP, Bank Rakyat dan UMSKAL.

“Pada kesempatan ini, FKAL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPZ-MAIWP atas sumbangan tajaan makanan untuk 400 pelajar asnaf di samping sumbangan bank makanan kepada kolej kediaman UMSKAL,” tambahnya.

Dalam majlis sama, turut diadakan Pelancaran Program Jihad Pendidikan @ UMSKAL yang bertujuan memperluas dakwah zakat dalam kalangan pelajar dan pekerja insititusi pendidikan tinggi.

Melalui program ini juga PPZ-MAIWP melalui dana wakalah menyampaikan sumbangan kewangan kepada pelajar asnaf UMSKAL dan Food Bank UMSKAL dengan jumlah masing-masing RM14,000 dan RM10,000, menjadikan sumbagan keseluruhan adalah berjumlah RM24,000.

Majlis perasmian Projek Asnafpreneur tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak manakala Jihad Pendidikan dirasmikan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

 

 

Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan 2023 bersama ahli-ahlinya, baru-baru ini.

Presiden PPUMS, Alna Tugon berkata penganjuran tersebut bertujuan merapatkan lagi jalinan silaturahim sedia ada di antara ahli di samping berkongsi keterujaan menyambut Hari Raya dan Pesta Kaamatan tahun ini.

“Seramai 120 ahli PPUMS hadir memeriahkan sambutan hari ini. Kita harap dengan adanya penganjuran seperti ini akan menambahkan lagi jalinan akrab dalam kalangan ahli.

“Pada kesempatan ini, saya mengajak semua rakan-rakan ahli PPUMS agar sentiasa saling membantu dan berlapang dada dalam setiap teguran dan nasihat yang diterima demi mengangkat profesion kepegawaian,” ujarnya.

Tambah Alna, PPUMS sentiasa komited untuk membudayakan majlis yang memuafakatkan kolaborasi di antara ahli dan Majlis Tertinggi UMS seperti yang telah dianjurkan.

“Langkah ini untuk memastikan ekosistem pengurusan sentiasa harmoni untuk memacu pentadbiran universiti yang gemilang,” tambahnya dalam satu kenyataan.

PPUMS merupakan sebuah persatuan kakitangan UMS yang mula ditubuhkan pada tahun 2004.

Majlis sambutan tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor bertempat di Dewan Bankuasi UMS.

“Tahniah diucapkan kepada semua ahli PPUMS atas komitmen para exco yang telah mencurahkan bakti dalam memperjuangkan isu untuk dikemukakan kepada pengurusan tertinggi universiti.

“Saya berharap semangat berpersatuan dalam PPUMS ini dapat teruskan agar segala aktivti yang dirancang oleh persatuan ini dapat disertai oleh semua ahli pada masa akan datang,” ujar Kasim.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Kampus Sandakan telah mengadakan jalinan kerjasama strategik bersama Fakulti Pertanian, Universitas Muhammadiyah Makassar (Unismuh), Sulawesi, Indonesia.

Kerjasama antara kedua-dua universiti itu meliputi pelbagai bidang termasuklah penyelidikan, persidangan, penerbitan dan mobiliti.

Kerjasama tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani Surat Niat (LoI) di antara kedua-dua pihak di Unismuh bersempena dengan program lawatan rombongan UMS ke universiti-universiti di Indonesia, baru-baru ini.

Menurut Dekan FPL, Prof. Madya Dr. Azwan Awang, kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada agenda FPL untuk menjalin hubungan bersama rakan strategik di sekitar rantau berhampiran dengan Sabah.

“Ini juga selari dengan visi FPL iaitu menjadi sebuah pusat pengajian ilmu pertanian terkemuka di rantau ini yang menekankan kepada prinsip kelestarian, kepekaan, dan teknologi tinggi,” katanya.

Azwan turut memaklumkan, seramai 11 pelajar terlibat dalam Program Mobiliti UMS-Unismuh yang diiringi oleh dua orang pensyarah FPL iaitu, Prof. Madya Dr. Nurul Huda dan Dr. Siti Suliza Salamat.

“Selain acara menandatangani LoI dan mobilti pelajar, kedua - dua fakulti turut bersama menjayakan seminar bertajuk ‘Enhancing Sustainable Agriculturure for Food Security Challenges’.

“Program ini juga telah melibatkan aktiviti khidmat masyarakat kepada komuniti sebuah kampung di Makassar berkaitan penyediaan kompos dan pengurusan perosak tanaman cendawan tiram,” tambah beliau.

Program lawatan selama tiga hari itu turut disertai oleh Timbalan Dekan Pengurusan Ladang Hubungan Industri FPL, Prof. Madya Dr. Jupikely James Silip; Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FPL, Dr. Mohd. Rakib Mohd. Rashid; dan Pensyarah Kanan FPL, Dr. Ilmas Abdurofi selaku penyelaras program.

Rombongan FPL UMS turut mengadakan lawatan kerja ke Fakulti Pertanian Universitas Borneo Tarakan (UBT) di Tarakan, Kalimantan, Indonesia.

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Diponegoro (UNDIP), Semarang, Indonesia telah memeterai satu perjanjian kerjasama penyelidikan berkaitan bidang masyarakat maritim di Asia Tenggara.

Pemeteraian kerjasama tersebut disempurnakan dalam satu acara menandatangani dokumen perjanjian antara kedua-dua pihak di bangunan Fakulti Ilmu Budaya, UNDIP.

Perjanjian kerjasama antara kedua-dua universiti ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj Sarbatly yang mewakili UMS, dan Dekan Fakulti Kemanusiaan UNDIP, Dr. Norhayati M. Hum.

Sesi pertukaran dokumen perjanjian penyelidikan turut disempurnakan oleh Rosalam dan Wakil Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) UNDIP, Prof Dr. Ambariyanto.

Rosalam dalam satu kenyataan berkata, kerjasama kajian kelautan begitu signifikan dengan mengambil kira kepentingan agenda kelautan kepada kepulauan Asia Tenggara dan dunia pada masa kini.

“Skop penyelidikan berkaitan kelautan adalah sejajar dengan kedaulatan Malaysia memandangkan wilayah Sabah dikelilingi oleh laut-laut yang dihuni oleh komuniti nomad, dan menjadi kawasan tuntutan bertindih antara negara-negara yang bersempadan dengan wilayah ini.

“Kerjasama penyelidikan ini akan dipimpin oleh Prof. Dr. Ismail Ali yang juga merupakan pengkaji sejarah maritim dari UMS, dan Prof. Dr. Singgih Tri Sulistiyono yang juga pengkaji sejarah dari UNDIP,” katanya.

Selain pemeteraian  perjanjian kolaborasi penyelidikan, turut berlangsung acara menandatangani Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak bagi potensi kerjasama lain, serta ucaptama oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Prof. Madya Dr. Asmady Idris, dan sesi seminar akademik yang disertai oleh pensyarah dari UMS dan UNDIP.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor telah menyatakan sokongan terhadap usaha penyelidikan menerusi jaringan antarabangsa sebagaimana kerjasama antara UMS dan UNDIP tersebut.

Katanya, kajian secara bersama akan lebih merancakkan penerbitan bersama, pertukaran kakitangan akademik dan pelajar, penganjuran persidangan dan sebagainya.

Delegasi UMS ke UNDIP turut disertai oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FSSK, Dr. Syahruddin Awang; Ketua Program Sejarah FSSK, Dr. Eko Prayitno Joko; dan beberapa  pensyarah yang terlibat dalam pembentangan kertas kerja dalam seminar akademik di universiti tersebut.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan sentiasa mendukung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) termasuk agenda yang digariskan pada lonjakan ketujuh iaitu Ekosistem Inovasi.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata,  ekosistem inovasi hakikatnya  memerlukan perkongsian kolaboratif antara ahli akademik, industri, kerajaan dan komuniti.

“Hanya melalui perkongsian kolaboratif sedemikian, pecutan idea ke dalam pengkomersialan dapat direalisasikan sekali gus meningkatkan hasil pendapatan dan kesejahteraan hidup rakyat.

‘Sesungguhnya, UMS akan sentiasa mendukung matlamat itu untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sustainable Development Goals (SDG) Leadership Kohot 2 anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama UMS di sini, hari ini.

Menurut Dr. Kasim, UMS juga sentiasa menggalakkan para pensyarahnya agar terus terlibat dengan komuniti di luar kampus.

Ujarnya, menerusi slogan “Leading Towards Innovative Societies”, UMS komited dalam memastikan agar keberadaannya di Sabah membantu pembangunan negeri itu yang mana kawasan luar bandarnya sangat luas dengan keadaan prasarana jalan raya yang sungguh mencabar.

“Ini ditambah pula dengan kecapaian teknologi komunikasi dan digitalisasi yang masih terbatas di kawasan pinggir-pinggir bandar dan pekan sahaja.

“Justeru, UMS baru-baru ini telah melancarkan pewujudan Living Lab atau Makmal Hidupan sebagai fasiliti penyelidikan dan pusat pemindahan ilmu secara langsung dengan komuniti sasaran.

“Living Lab ini adalah hasil daripada cetusan model kolaboratif merentas entiti yakni akademia universiti, rakan kongsi industri, agensi kerajaan dan masyarakat yang berfungsi sebagai sokongan utama untuk pembangunan dan penubuhan makmal hidupan,” jelas Dr Kasim.

Beliau menambah, menerusi model itu rakan industri memanfaatkan keupayaan akademik untuk menyokong keperluan mereka dalam menghasilkan produk yang lebih inovatif dan berdaya saing.

“Pihak kerajaan pula adalah kunci dalam menyediakan sokongan dan dasar dalam mentadbir pelaksanaan kemahiran dan produk inovatif kepada masyarakat melalui Living Lab ini.

“Misi UMS adalah untuk memastikan Living Lab ini dapat menjadi inspirasi kepada universiti lain dalam mencipta inovasi yang bermanfaat kepada masyarakat dan industri sekali gus menjadi peneraju kepada masyarakat berinovatif, atau Leading Towards Innovative Societies,” katanya.

Menyentuh mengenai program SDG Leadership ini, Dr Kasim berkata, para peserta akan didedahkan dengan keunikan yang membawa kepada kejayaan dan kelestarian beberapa komuniti di luar bandar.

Ujarnya, para peserta akan dapat mendengar dan melihat sendiri bagaimana usaha yang telah dijalankan oleh komuniti-komuniti itu dapat merubah keadaan hidup mereka.

“Pada masa yang sama juga, berdasarkan kepada ilmu dan pengalaman yang para peserta ada, saya percaya akan berlaku perkongsian ilmu secara langsung yang boleh meningkatkan lagi kemandirian komuniti dalam memperkembangkan lagi kelestarian projek-projek sosioekonomi yang sedang mereka laksanakan.

“Saya percaya, menerusi program-program latihan dan kepimpinan yang diperkenalkan oleh AKEPT seperti ini akan mampu menjadikan warga akademia sama ada di universiti awam mahupun swasta lebih mengenali keunikan komuniti, sekali gus mencipta idea untuk kemudiannya digubah menjadi inovasi yang memanfaatkan,” kata Dr. Kasim.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat merangkap Penasihat Program, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut@Mohd Nasri; Ketua Program, Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy; dan Timbalan Ketua Program, Dr. Jakaria Dasan.

Program yang berlangsung selama lima hari sehingga 26 Mei 2023 itu disertai seramai 45 peserta daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Antara penceramah jemputan termasuklah Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Prof. Dr. Mansor Abu Talib, Prof. Dr. Haslan Abu Hassan, Prof. Dr. Jennifer Chan, OKK Haji Abdul Kadir Haji Damsal dan Dr. Elia Godoong.

Penganjurannya antara lain sebagai salah satu usaha AKEPT membina kemahiran dan meningkatkan kepimpinan ahli akademik melaksanakan libatsama masyarakat.