Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan RM505,960 bagi fasa pertama projek membangunkan kilang makanan ternakan dan kelengkapan pejabat Pusat Penyelidikan Makanan Ternakan di Kampung Apin-Apin Keningau.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pusat penyelidikan itu yang juga merupakan makmal hidup (Living – Lab) terbahagi kepada tiga zon melibatkan kawasan berkeluasan 74 ekar.

“Bagi Zon EcoFarm UMS, ia mempunyai keluasan 14 ekar dan diurus secara spesifik oleh universiti ini melalui Pusat Pengurusan EcoFarm.

“Ia melibatkan pengurusan semua bangunan dan kemudahan sedia ada iaitu kilang makanan ternakan, pejabat, bilik seminar, makmal penyelidikan, hostel pelajar, dan tapak penyelidikan makanan ternakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023, di sini, pada Selasa.

Menurut Dr. Kasim, dua zon selebihnya ialah Zon Industri 1 dan Zon Industri 2 yang masing-masing berkeluasan 40 dan 20 ekar.

“Kedua-dua zon ini dibuka untuk dimajukan oleh pihak industri bagi membolehkan UMS berganding bahu dengan mereka dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan ternakan di Sabah.

“Ini adalah selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berkaitan dalam meningkatkan produktiviti pertanian menggunakan teknologi terkini sejajar dengan Revolusi Industri (IR4.0) dan Internet untuk Segalanya (IoT),” katanya.

Untuk rekod, antara Living-Lab yang dibangunkan UMS termasuklah Forestry (Industrial Plantation Timber) Living Lab, SFER@UMS, ASTIF Creative Living Lab, BORNEENSIS Living Lab, BioTech Living Lab, Kundasang Compost Living Lab dan Rural Medicine Living Lab.

Penubuhannya antara lain bagi merealisasikan matlamat UMS untuk melahirkan masyarakat berinovasi seiring dengan slogan Leading towards Innovative Societies.

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor menggariskan sembilan gagasan utama hala tuju pendidikan tinggi seiring 11 Aspirasi yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia.

Segala perancangan, agenda dan hala tuju baharu itu disampaikan pada Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2023 di Dewan Bankuasi Dewan Canselor UMS hari ini dengan dihadiri lebih 200 warga UMS terdiri daripada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua pentadbiran, pegawai-pegawai, kakitangan pelaksana, pelajar dan wakil kesatuan pekerja. 

Menurut Dr. Kasim, pertamanya memperkasakan Keterampilan Penyelidikan seiring keberadaan UMS sebagai pusat penyelidikan di rantau ini bagi membantu menyumbang kepada ekonomi Malaysia khususnya di Negeri Sabah.

“Yang kedua, ke arah mencapai hala tuju kecemerlangan akademik melalui pengukuhan program akademik sedia ada dengan mengetengahkan program-program baharu yang diperlukan di pasaran untuk mempelbagaikan bidang sedia ada.

“Selain itu, kesejahteraan warga UMS turut menjadi keutamaan melalui modenisasi tadbir urus termasuk amalan komunikasi berteraskan teknologi serta pemerkasaan bakat dalam kalangan warga kakitangan akademik dan pentadbiran UMS,” katanya.

Dr. Kasim turut menggariskan Kelestarian Tatakelola Kewangan sebagai gagasan yang keempat.

Katanya, dalam memastikan kaedah penyampaian yang lebih pantas dan efisien, Jabatan Bendahari telah memperkenalkan inisiatif penurunan kuasa kepada Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ).

“Pengurusan UMS juga komited serta sentiasa berusaha mendapatkan dana tambahan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Dana Khas daripada Kerajaan Sabah selain menggalakkan penjanaan di peringkat PTJ diaktifkan.

“UMS juga bersedia dalam menangani ledakan teknologi yang mana sebuah projek penambahbaikan sistem rangkaian termasuk pertambahan bilangan wifi kini dalam proses pelaksanaan meliputi pertambahan dan penggantian bilangan Access Point Wifi di asrama sebanyak 1,327 unit.

“Bagi meningkatkan kecekapan pemantauan perkhidmatan rangkaian dan keselamatan siber, kita akan menubuhkan satu pusat pemantauan pintar yang dikenali sebagai ICT Intelligent Command Center (ITeC) yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada April ini.

“Kita juga akan memperluaskan penggunaan Teknologi Masa Hadapan (Convergence Technology) meliputi penggunaan Blockchain, Internet of Things  (IoT), 600 Digital CCTV dan menaik taraf alat bantu mengajar bilik kuliah,” tambah Dr Kasim.

Sementara itu, beliau turut menggariskan Kelestarian Prasarana sebagai gagasan yang keenam.

“Kita bertekad ingin jadi kampus yang terbaik dan paling lestari di dunia. Makmal yang usang mesti dipulihkan, peralatan yang ada dinaik taraf, dan kita sedar semua ini memerlukan kos.

“Tetapi kita juga perlu sedar bahawa jika lebih banyak kerosakan berlaku disebabkan pengabaiannya, maka lebih tinggi kos yang akan ditanggung,” jelasnya.

Pada masa yang sama Dr. Kasim berkata, pemerkasaan pelajar juga menjadi salah satu gagasan utama seiring dengan azam ke-11 perutusan tahun baharu menteri KPT.

“Bermula tahun 2023, UMS akan melaksanakan agenda Pemerkasaan Mahasiswa melibatkan aktiviti autonomi pengurusan aktiviti pelajar, autonomi pengurusan kewangan aktiviti pelajar, autonomi berpolitik pelajar, dan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sepenuhnya oleh pelajar.

“Gagasan seterusnya, UMS akan memastikan kebajikan warga Orang Kurang Upaya (OKU) di universiti ini sentiasa terjamin dengan tambahan dana RM500,000 untuk meningkatkan prasarana yang mesra OKU.

Akhir sekali, Dr Kasim menggariskan Memugar Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebagai gagasan yang kesembilan.

“Untuk makluman, pihak pengurusan tertinggi UMS telah meluluskan dana sebanyak RM4.6 juta untuk membangunkan Pusat Minda Lestari (PML) bagi menambah baik fungsi dan peranan PML sebagai living lab bagi menyokong proses pengajaran-pembelajaran, penyelidikan dan latihan praktikal,” katanya.

Pada majlis itu Dr. Kasim turut melancarkan buku elektronik Jabatan Pendaftar UMS bertajuk 'ebook: Panduan Pekerja UMS.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Vincent Pung, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

 

Confucius Institute, Universiti Malaysia Sabah (CI@UMS) meneruskan siri Ceramah Di Bawah Bayu kali ke-24 dengan mengetengahkan topik ceramah bertajuk bertajuk "Evolusi masakan Cina Sabah dari China" yang akan berlangsung pada 8 Mac ini.

Ceramah yang akan berlangsung di Theatrette Ahmad Nisfu, Akademik Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS bermula jam 7.30 malam itu akan disampaikan oleh Pengasas Media Miao in Sabah, Angelina Zhang.

Menurut kenyataan dari CI@UMS, selain mempromosikan jenama perniagaan tempatan berkualiti tinggi dan menonjolkan peluang perniagaan China-Malaysia, kehadiran Angelina Zhang juga merupakan satu peluang untuk mempromosikan negeri Sabah kepada dunia.

CI@UMS turut menjelaskan ceramah yang akan disampaikan merangkumi pengenalan kepada lapan jenis masakan Cina dari China serta perubahan dan integrasi pemakanan tersebut dalam kehidupan masyarakat Cina Malaysia.

‘Masakan Cina yang terdapat di Sabah seperti tauhu sumbat dan nasi lei cha dari etnik Hakka, nasi ayam dari Hainan, dim sum Hong Kong dan mee goreng Hokkien juga akan dibincangkan.

“Seterusnya, ceramah ini juga akan mempromosikan beberapa hidangan daripada kaum lain di Sabah seperti kuih-muih Nyonya dan beberapa lagi yang mungkin menerima pengaruh dari masakan Cina,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Ceramah Di Bawah Bayu itu terbuka secara percuma berserta dengan uji rasa makanan kepada masyarakat umum, dan akan dikendalikan dalam Bahasa Mandarin.

Orang awam dialu-alukan untuk menghadiri ceramah tersebut.

 
Kerjasama antara Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sebuah syarikat minyak dan gas, Eternity Mode Sdn Bhd, bakal membawa perubahan besar kepada penduduk di kawasan pedalaman Sabah.

Melalui kerjasama penyelidikan tersebut, sebuah inovasi sistem penapisan air yang dibangunkan oleh penyelidik UMS, Dr. Clarence M. Ongkudon akan dapat menyalurkan bekalan air bersih secara konsisten di kawasan berkeperluan.

Menurut Clarence, dengan menggunakan teknologi itu, sebanyak 50 hingga 100 liter air dapat disalurkan dalam masa satu jam, yang mana jumlah itu adalah dua kali lebih tinggi daripada kapasiti semasa.

“Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada peningkatan teknologi penapisan air monolitik UMS untuk membina sistem yang beroperasi sepenuhnya dan tersedia secara komersial untuk dipasang di kawasan-kawasan terpencil seperti Kampung Long Pasia, Sipitang, dan Kampung Guakon, Tamparuli.

“Teknologi ini dibangunkan berdasarkan membran poli metakrilat yang boleh dikitar semula dan dijaga dengan menggunakan teknologi tempatan. Dengan adanya sistem ini, ia dijangka dapat menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) keenam iaitu sumber air bersih dan sanitasi.

“Kos teknologi yang rendah menjadikan inovasi ini sebagai penyelesaian yang ideal untuk kegunaan yang meluas di kawasan pedalaman dan sebagai model untuk projek pembangunan masa hadapan,” katanya.

Teknologi ini dianggarkan berjumlah RM50,000 dan dibiayai melalui Skim Gran Inovasi (SGI) daripada Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS serta dilindungi di bawah paten milik UMS.

Pada majlis menandatangani perjanjian penyelidikan itu, UMS diwakili Dr. Clarence manakala Eternity Mode diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Gesiri Gambung sambil disaksikan oleh Pengarah IPB, Prof. Dr. Lee Ping Chin dan Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi IPB, Dr. Kenneth Francis Rodrigues.

Kata Lee, kerjasama tersebut adalah selaras dengan visi UMS untuk menyelesaikan masalah dalam komuniti setempat melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhasrat untuk mengadakan kerjasama bersama Beihua University, China bagi bidang penyelidikan herba dan perubatan tradisional.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, kerjasama tersebut antara lain adalah berkaitan penyelidikan terhadap tumbuh-tumbuhan di negeri Sabah yang berpotensi diketengahkan sebagai produk perubatan tradisional.

“Sabah sememangnya kaya dengan sumber-sumber semula jadi khususnya hutan Sabah yang mempunyai khazanah spesies tumbuhan yang pelbagai dan mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi.

“Justeru itu, UMS sebagai salah sebuah menara gading di negeri ini bertekad untuk menerajui penyelidikan khazanah semula jadi di Sabah bagi manfaat baik untuk universiti mahupun sumbangan kepada negeri Sabah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memeterai hasrat kerjasama dengan Beihua University ketika menyertai lawatan kerja delegasi kerajaan negeri Sabah ke universiti tersebut baru-baru ini.

Beliau mewakili UMS menandatangani Surat Niat (LoI) bagi pemeteraian hasrat tersebut, manakala Vice-Principal of Beihua University, Prof. Yu Fanhua mewakili universiti yang berpusat di Wilayah Jilin, China tersebut.

Kasim turut memaklumkan, Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) dan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) akan menerajui kerjasama tersebut bagi pihak UMS.

“Kolaborasi tersebut akan melibatkan mobiliti pelajar, pertukaran tenaga pakar, perkongsian bersama geran, penyelidikan dan guna sama makmal kajian.

“Kerjasama ini penting dalam membantu meningkatkan kesedaran generasi muda berkenaan kepentingan pengetahuan tradisional dalam bidang etnobotani,” kata Kasim.

Ujar beliau, usaha tersebut sekali gus membantu dalam meningkatkan keupayaan perubatan tradisional sebagai kaedah perubatan alternatif yang melengkapi perubatan moden dalam menangani cabaran era pandemik.

Turut menyertai Kasim dalam lawatan kerja tersebut Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim