JUMAAT, 07 FEBRUARI – Kumpulan pensyarah dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) antara yang terlibat dalam menjayakan pembentukan Modul Interaktif Perkahwinan Kanak-Kanak (MIPK) versi sekolah rendah dalam satu bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini. 

Pensyarah FPP tersebut terdiri daripada Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKs) Prof. Madya  Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari, Dr. Lailawati Madlan, Dr. Norsimah Dasan dan Joki Perdani Sawai.

Menurut Dr. Muhammad Idris yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sosial MPWS, usaha menghasilkan modul ini adalah rentetan wujudnya keperluan kepada satu modul yang lebih berfokus sesuai dengan psikologi dan kontekstual kanak-kanak di sekolah rendah.

“Modul ini menyediakan maklumat dan aktiviti yang inklusif terdiri daripada pendekatan psikologi, bimbingan dan kaunseling, kesedaran seksualiti dan kesihatan serta kesedaran undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlinah Arif berkata, modul yang dihasilkan adalah satu usaha murni bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perkahwinan kanak-kanak.

“Perkahwinan kanak-kanak mampu membawa kesan negatif seperti keganasan terhadap kanak-kanak, penderaan seksual, fizikal, mental, psikologi, perceraian pada usia muda dan keciciran sekolah,” ujar Norazlinah.

Selain pensyarah UMS, bengkel penyediaan draf modul yang berlangsung selama dua hari itu turut melibatkan pegawai kanan kerajaan negeri Sabah, guru kaunselor, peguam, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

 

KHAMIS, 06 FEBRUARI  - Dekan Pusat Penataraan, Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah, Prof. Dr. Jualang @Azlan Abdullah Gansau dilantik sebagai Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang baharu bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Februari 2020 sehingga 31 Januari 2022.

Prof. Dr. Jualang yang memegang jawatan Dekan PPIB pada April 2016 sehingga Januari 2020 menggantikan Prof Dr Murnizam Haji Halik yang kembali bertugas di Fakulti Psikologi dan Pendidikan di UMS Kota Kinabalu.

Prof. Dr. Jualang, 49, yang berasal dari Kampung Salimandut, Kota Marudu, Sabah merupakan Pengarah UMSKAL yang keenam sejak Kampus Cawangan UMS itu ditubuhkan pada 1999.

Sambil mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Naib Canselor UMS, Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin, Prof Dr Jualang akan memberikan tumpuan terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di UMSKAL.

Beliau juga mahu mahasiswa menjaga sahsiah dan memberikan fokus terhadap pembelajaran mereka sekali gus meningkatkan kualiti akademik itu sendiri.

“Saya memerlukan komitmen dan kerjasama semua warga UMSKAL sama ada pegawai, pensyarah, kakitangan sokongan mahupun mahasiswa untuk meningkatkan kecemerlangan UMSKAL di peringkat nasional dan antarabangsa,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Selamat Datang yang mengalu-alukan kehadiran dan pelantikan beliau sebagai Pengarah UMSKAL di ruang legar, Bangunan Menara UMSKAL kelmarin.

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah yang kemudiannya menerima tabik hormat daripada anggota pasukan Keselamatan UMSKAL.

Hadir sama menyambut beliau ialah Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Dr Abdullah Gani, Ketua-ketua sektor, pegawai, pensyarah dan kakitangan sokongan.

Prof Dr Jualang turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Prof Dr Murnizam Haji Halik yang menyandang jawatan Pengarah UMSKAL selama enam tahun sejak Ogos 2014.

 

Sumber: Azri Onn

SELASA, 04 FEBRUARI 2020 - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil perhatian serius terhadap usaha menghindari penularan jangkitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan warganya.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS melalui Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) telah menempatkan petugas kesihatan untuk membuat saringan kesihatan di Pusat Maklumat Pelawat EcoCampus (EVIC) berdekatan dengan pintu masuk utama UMS khususnya pelancong asing yang datang melawat universiti ini.

“Pada masa yang sama, UMS juga mengadakan War Room membuat jelajah ke setiap fakulti dan jabatan UMS oleh Infectious Disease Preparedness Committee untuk tujuan memberikan kesedaran kepada warga UMS.

“Selain itu kita mengadakan mesyuarat Jawatan Kuasa Pengurusan 2019-nCoV UMS dan mesyuarat koordinasi HUMS secara berkala, serta mengadakan kemaskini pengetahuan bagi kakitangan di Pusat Kesihatan Universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap berkata, UMS juga menyambut baik langkah Kerajaan Negeri Sabah menggantung sementara semua penerbangan dari China ke Sabah dalam usaha membendung penularan wabak novel koronavirus di negeri ini sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, yang berkuatkuasa serta merta pada 30 Januari 2020.

Katanya, pendaftaran pelajar antarabangsa bagi pelajar kemasukan baharu pascasiswazah yang turut melibatkan pelajar warganegara China yang dijadualkan pada 08 Februari, 2020 telah ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan sepatutnya kembali untuk menyambung semula pengajian Semester 2 Sesi 2019/2020 mereka pada 10 Februari 2020, kemasukan mereka ke UMS juga telah ditangguhkan.

“Namun, pihak Universiti akan berusaha menyediakan mekanisme pembelajaran alternatif bagi membolehkan mereka mengikuti kuliah dan tidak ketinggalan dalam pengajian mereka,” jelas beliau.

Walau bagaimanapun,  pelajar antarabangsa terutamanya dari Negara China yang telah berada di Sabah, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap menjelaskan bahawa UMS telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurus dan memantau kesihatan mereka yang merangkumi pemeriksaan saringan kesihatan di Pusat Rawatan Warga UMS sebaik mereka tiba di Kota Kinabalu/Labuan.

Katanya, pengasingan selama 14 hari untuk tujuan pemantauan oleh pegawai perubatan Hospital UMS menggunakan Home Assessment Tool (HAT) akan dilaksanakan bagi memastikan hanya pelajar antarabangsa yang disahkan sihat sahaja dibenarkan untuk menyambung pengajian mereka di UMS. 

Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap turut mengingatkan seluruh warga UMS agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mencuci tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun atau bahan pembasmi kuman tangan (hand sanitizer), memakai penutup hidung dan mulut serta elakkan diri mereka daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai atau bergaul rapat dengan mana-mana individu yang mempunyai tanda-tanda jangkitan.

“Sekiranya mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk dan sesak nafas, sila dapatkan rawatan di Pusat Rawatan Warga UMS dengan kadar segera,” tambahnya.

Untuk rekod, pada 30 Januari lalu Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengumumkan penangguhan sementara pendaftaran pelajar dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya di semua institusi pendidikan di negara ini berikutan penularan kluster 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

KHAMIS, 30 JANUARI - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan pertandingan Kuiz Neurosains Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2020 baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Seminar 3, FPP, kuiz itu dianjurkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Persatuan Neurosains Malaysia.

Menurut Koordinator MBBC Sabah, Dr. Laila Wati Madlan @ Endalan, program tahunan ini diadakan adalah bertujuan untuk mencungkil bakat pelajar dalam bidang sains.

“Pertandingan kali ini telah disertai 41 pelajar dan tujuh guru pengiring dari beberapa sekolah menengah di Sabah, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Likas, SMK Telipok, SMK Tebobon, Sekolah Menengah (SM) St. Joseph Papar, SM All Saint dan juga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kinarut.

 “Tiga orang pelajar yang mendapat markah tertinggi dalam pertandingan ini akan mewakili Sabah dan bertanding di peringkat kebangsaan, dengan juara peringkat kebangsaan pula akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Washington DC pada bulan Ogos tahun ini,” katanya.

Tambah Dr. Laila Wati, sebelum mengikuti pertandingan ini, pelajar akan dibekalkan dengan bahan bacaan yang disediakan oleh pihak USM yang boleh diakses melalui laman sesawang Neurosains USM.

Dalam pada itu, Ketua UPPsiKS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj. Bahari berkata, penganjuran program ini memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai bidang neurosains.

“Bidang neurosains merupakan salah satu cabang sains perubatan yang semakin diminati dewasa ini, dan penganjuran program ini mampu menjadi satu platform kepada pelajar untuk menjadi ahli dalam bidang perubatan kelak,” ujar beliau.

Dr. Muhammad Idris turut menyampaikan sijil penyertaan kepada pelajar-pelajar dan guru pengiring pada majlis penutupan program tersebut.

 

RABU, 29 JANUARI -  Seramai 11 Exco Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita (KESUMBA) Universiti Malaysia Sabah  (UMS) telah mengadakan lawatan rasmi ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), kelmarin.

Rombongan Kesumba UMS itu diketuai oleh Yang Dipertuanya, Datin Amalina Abdullah yang turut diiringi Naib Canselor UMS, Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Sempena program tersebut, Yayasan Buruj yang diwakili Pengerusinya, Haji Idris Omar dan isteri Maziyah Haji Hassan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Kesumba yang diwakili Datin Amalina pada majlis sarapan pagi di Dewan Theatrette.

Pada majlis itu, Datin Amalina yang diiringi Pengerusi Kesumba UMSKAL, Hayati Salleh Baihaki melancarkan ‘Food Bank’ yang akan ditempatkan di Kesumba Café, Aras 11, untuk kemudahan pelajar kampus tersebut.

Ahli rombongan Kesumba itu turut mengadakan lawatan ke Pusat Pengembangan Autisme Labuan yang terletak di UMSKAL dan mendengar taklimat daripada Pengarah Pusat Perkembangan Autisme Labuan, Shafrry Mohd Sarif.

Sempena program Kesumba itu, Yayasan Buruj yang diwakili Pengerusinya, Haji Idris Omar dan isteri Maziyah Haji Hassan menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada Pusat Perkembangan Autisme Labuan.

Sementara itu, di Taman Asuhan Kanak-Kanak Permata Kemas UMSKAL, Datin Amalina menyerahkan sumbangan berupa alat bantu mengajar (ABM) dan buku-buku kepada Pengerusi Taska UMSKAL, Ustaz Khairul Isham Abdul Latif.

Turut mengiringi lawatan rombongan Kesumba UMS itu ialah Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik yang juga Penasihat Kesumba UMSKAL dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah.

Datin Amalina berkata lawatan julung kalinya ke UMSKAL itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara Exco Kesumba UMS dengan ahli-ahli Kesumba UMSKAL.

Katanya, mereka juga berpeluang mengadakan lawatan ke Pusat Perkembangan Autisme Labuan dan Taman Asuhan Kanak-Kanak Permata Kemas UMSKAL.

Beliau berharap hubungan baik antara Exco Kesumba UMS dengan ahl-ahli Kesumba UMSKAL akan terus terjalin bagi memudahkan kedua-dua pihak mengadakan pelbagai program khususnya untuk ahli-ahlinya.

“Kesumba mensasarkan kira-kira 1,000 ahli di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Saya berharap isteri kakitangan juga akan menjadi ahli Kesumba UMS kerana banyak manfaat bakal diperolehi oleh mereka,” katanya.

Datin Amalina tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Buruj yang membantu menambah dana Kesumba.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Hayati atas sumbangan beliau sebagai Pengerusi Kesumba UMSKAL sejak 2015.

 

Sumber: Azri Onn