Naib Canselor gariskan sembilan gagasan utama hala tuju pendidikan tinggi UMS

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor menggariskan sembilan gagasan utama hala tuju pendidikan tinggi seiring 11 Aspirasi yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia.

Segala perancangan, agenda dan hala tuju baharu itu disampaikan pada Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2023 di Dewan Bankuasi Dewan Canselor UMS hari ini dengan dihadiri lebih 200 warga UMS terdiri daripada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua pentadbiran, pegawai-pegawai, kakitangan pelaksana, pelajar dan wakil kesatuan pekerja. 

Menurut Dr. Kasim, pertamanya memperkasakan Keterampilan Penyelidikan seiring keberadaan UMS sebagai pusat penyelidikan di rantau ini bagi membantu menyumbang kepada ekonomi Malaysia khususnya di Negeri Sabah.

“Yang kedua, ke arah mencapai hala tuju kecemerlangan akademik melalui pengukuhan program akademik sedia ada dengan mengetengahkan program-program baharu yang diperlukan di pasaran untuk mempelbagaikan bidang sedia ada.

“Selain itu, kesejahteraan warga UMS turut menjadi keutamaan melalui modenisasi tadbir urus termasuk amalan komunikasi berteraskan teknologi serta pemerkasaan bakat dalam kalangan warga kakitangan akademik dan pentadbiran UMS,” katanya.

Dr. Kasim turut menggariskan Kelestarian Tatakelola Kewangan sebagai gagasan yang keempat.

Katanya, dalam memastikan kaedah penyampaian yang lebih pantas dan efisien, Jabatan Bendahari telah memperkenalkan inisiatif penurunan kuasa kepada Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ).

“Pengurusan UMS juga komited serta sentiasa berusaha mendapatkan dana tambahan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Dana Khas daripada Kerajaan Sabah selain menggalakkan penjanaan di peringkat PTJ diaktifkan.

“UMS juga bersedia dalam menangani ledakan teknologi yang mana sebuah projek penambahbaikan sistem rangkaian termasuk pertambahan bilangan wifi kini dalam proses pelaksanaan meliputi pertambahan dan penggantian bilangan Access Point Wifi di asrama sebanyak 1,327 unit.

“Bagi meningkatkan kecekapan pemantauan perkhidmatan rangkaian dan keselamatan siber, kita akan menubuhkan satu pusat pemantauan pintar yang dikenali sebagai ICT Intelligent Command Center (ITeC) yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada April ini.

“Kita juga akan memperluaskan penggunaan Teknologi Masa Hadapan (Convergence Technology) meliputi penggunaan Blockchain, Internet of Things  (IoT), 600 Digital CCTV dan menaik taraf alat bantu mengajar bilik kuliah,” tambah Dr Kasim.

Sementara itu, beliau turut menggariskan Kelestarian Prasarana sebagai gagasan yang keenam.

“Kita bertekad ingin jadi kampus yang terbaik dan paling lestari di dunia. Makmal yang usang mesti dipulihkan, peralatan yang ada dinaik taraf, dan kita sedar semua ini memerlukan kos.

“Tetapi kita juga perlu sedar bahawa jika lebih banyak kerosakan berlaku disebabkan pengabaiannya, maka lebih tinggi kos yang akan ditanggung,” jelasnya.

Pada masa yang sama Dr. Kasim berkata, pemerkasaan pelajar juga menjadi salah satu gagasan utama seiring dengan azam ke-11 perutusan tahun baharu menteri KPT.

“Bermula tahun 2023, UMS akan melaksanakan agenda Pemerkasaan Mahasiswa melibatkan aktiviti autonomi pengurusan aktiviti pelajar, autonomi pengurusan kewangan aktiviti pelajar, autonomi berpolitik pelajar, dan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sepenuhnya oleh pelajar.

“Gagasan seterusnya, UMS akan memastikan kebajikan warga Orang Kurang Upaya (OKU) di universiti ini sentiasa terjamin dengan tambahan dana RM500,000 untuk meningkatkan prasarana yang mesra OKU.

Akhir sekali, Dr Kasim menggariskan Memugar Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebagai gagasan yang kesembilan.

“Untuk makluman, pihak pengurusan tertinggi UMS telah meluluskan dana sebanyak RM4.6 juta untuk membangunkan Pusat Minda Lestari (PML) bagi menambah baik fungsi dan peranan PML sebagai living lab bagi menyokong proses pengajaran-pembelajaran, penyelidikan dan latihan praktikal,” katanya.

Pada majlis itu Dr. Kasim turut melancarkan buku elektronik Jabatan Pendaftar UMS bertajuk 'ebook: Panduan Pekerja UMS.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Vincent Pung, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.