JUMAAT, 6 DISEMBER – Ibu bapa dan masyarakat awam merupakan individu yang bertanggungjawab untuk melindungi mangsa jenayah seksual dan berperanan besar dalam usaha mengatasi masalah gejala sosial ini daripada berlaku ke atas mana-mana individu.

Menurut Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kerja Sosial (UPPsiKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj. Bahari, ini kerana mereka yang menjadi mangsa jenayah seksual mudah mengalami gangguan emosi dan trauma sekiranya mereka diperlakukan dengan perlakuan yang tidak sepatutnya apatah lagi perlakuan tersebut dilakukan oleh orang yang dikenali.

“Gangguan Emosi yang berlaku ke atas seseorang bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan terutamanya terhadap kanak-kanak.

“Gangguan emosi yang terlampau boleh mengundang padah dan membawa maut sekiranya tidak dibendung dengan segera,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Kesan Jenayah Sosial: Gangguan Emosi dan Trauma” bersempena dengan program Kempen Kesedaran Jenayah Seksual yang berlangsung di Institut Perguruan Keningau baru-baru ini.

Tambah Dr. Muhammad Idris, masyarakat tidak seharusnya mengamalkan sikap ‘menjaga tepi kain sendiri’ kerana menjaga keamanan dan keselamatan adalah tugas semua orang.

Dalam pada itu, program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah itu diadakan bertujuan untuk memupuk masyarakat untuk terlibat dan bekerjasama dengan PDRM Sabah dalam membanteras jenayah seksual yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Program tersebut dihadiri oleh lebih 800 orang yang terdiri daripada masyarakat yang berada di sekitar Keningau, Tenom, Nabawan dan Tambunan.

 

 

RABU, 4 DISEMBER – Tiga orang kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri satu bengkel bertajuk “Kerangka Inklusif untuk Meningkatkan Kemasukan Pelajar OKU ke Universiti Awam (UA)” yang bertempat di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mereka adalah Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kerja Sosial (UPPsiKS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare; Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Thomas George Timin; dan Pegawai Psikologi Kanan, Adzmil Abidin.

Menurut Dr. Muhammad Idris, bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk berkongsi tentang Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif MyU-OKU dan memperkenalkan sistem pangkalan data yang boleh digunakan oleh OKU tanpa menghadapi sebarang masalah.

Selain itu, peserta dalam bengkel ini turut didedahkan dengan indikator-indikator yang perlu digunakan untuk memudahkan OKU membuat permohonan untuk memasuki UA dan seterusnya mengikuti pengajian seperti rakan mereka yang lain.

“Bengkel ini sangat penting kepada para peserta kerana mereka didedahkan dengan pelbagai maklumat yang merangkumi aspek kepentingan OKU dan juga menjadi satu garis panduan kepada peserta dalam mendepani OKU.

“Untuk menjadi sebuah UA yang bersifat mesra OKU, semua pihak perlu berganding bahu agar dapat menyediakan prasarana yang terbaik untuk golongan ini,” ujar Dr. Muhammad Idris.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri 150 orang melibatkan peserta yang terdiri daripada pihak pengurusan atasan universiti, staf pentadbiran dan juga siswa OKU dari UA seluruh Malaysia.

SELASA, 28 NOVEMBER - Walaupun sudah lebih setahun kehilangan anak tersayang, ibu kepada Allahyarhamah Nurul Affaizin Ismail, Jiaranah Yahaya tetap menguatkan semangat untuk hadir ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-21 bagi mewakili arwah anaknya menerima skrol pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS baru-baru ini.

Jiaranah, 62 tahun, yang hadir bersama bapa dan adik-beradik arwah, terbang dari Perak ke Sabah bagi mewakili arwah anak menerima skrol Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Hubungan Antarabangsa pada sidang kedua majlis tersebut.

Beliau yang ditemui media UMS memberitahu, arwah Nurul Affaizin tidak sempat menamatkan pengajian kerana meninggal dunia pada 9 November 2018 akibat jangkitan kuman pada hati.

“Arwah pernah menyatakan hasrat ingin berkumpul bersama seluruh ahli keluarga dan menyambut hari keluarga apabila majlis konvokesyen di Sabah tiba.

“Walaupun hasrat itu tidak kesampaian, namun kami sekeluarga tetap hadir ke majlis ini bagi menunaikan hajat arwah meraikan kejayaannya mendapatkan segulung ijazah,” katanya dengan nada hiba.

Jiaranah yang ditemani anaknya kelihatan sebak apabila menceritakan sifat arwah anak bongsunya yang manja tetapi mempunyai sifat berdikari sejak di bangku sekolah lagi.

“Arwah seorang yang berdikari kerana sejak sekolah rendah dan sekolah menengah lagi beliau sudah biasa tinggal di asrama, malah semasa cuti semester tiga bulan arwah turut bekerja untuk mencari duit sampingan”, katanya.

Pasrah dengan ketentuan ilahi, Jiaranah tetap berbangga dapat mewakili arwah anaknya menerima Anugerah Anumerta tersebut yang disampaikan oleh Naib Canselot UMS, Prof. Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin

(Artikel disediakan oleh Rosnah Rahim, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

 

ISNIN, 25 NOVEMBER - Sepasang suami isteri menjadikan sokongan dan dorongan antara satu sama lain sebagai pemangkin semangat untuk menamatkan pengajian di peringkat tertinggi walaupun terkadang mempunyai percanggahan pendapat.

Dzul Fahmi Mohd Husin dan Fara Naila Rusnan yang berumur 30 tahun masing-masing telah menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah.

Pasangan yang lahir pada tahun dan bulan yang sama iaitu pada 21 September 1989 dan 23 September 1989 merupakan penerima skrol Ijazah Sarjana Kejuruteraan pada Sidang Pertama di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-21.

Dzul berkata antara cabaran yang pernah dihadapi sewaktu dalam pengajian ialah mempunyai pendapat yang bercanggah dengan isteri sendiri memandangkan teori kefahaman yang digunakan berbeza.

“Cabaran yang saya hadapi sepanjang dalam tempoh pengajian ini ialah dimana berbeza pendapat dengan isteri sendiri ditambah pula dengan pegangan teori yang berbeza,” ujar Dzul ketika ditemubual semasa Sidang Pertama berlangsung pada Sabtu.

Namun demikian, pasangan ini lebih menumpukan kepada mencari jalan penyelesaian dengan merujuk pensyarah atau penyelia untuk mendapatkan pandangan dan fakta yang berguna dalam menyiapkan tugasan mereka.

Ditanya tentang perancangan masa hadapan, Dzul yang lebih suka menjawab soalan berkata mereka berdua mempunyai perancangan untuk fokus dengan kerjaya terlebih dahulu bagi mengukuhkan kedudukan kewangan mereka.

“Setakat ini, kami fokus dengan kerjaya masing-masing sebelum menyambungkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD),” katanya.

Ujar Dzul, mereka berpegang kepada satu perkara utama iaitu tidak berhenti berusaha dan kuatkan semangat untuk lebih maju ke hadapan untuk berjaya.

Majlis Konvokesyen UMS tahun ini melibatkan seramai 4,159 graduan yang terdiri daripada 71 penerima Ijazah Doktor Falsafah, 396 Ijazah Sarjana, 3,960 Ijazah Sarjana Muda, 2 Diploma Pascasiswazah dan 49 Diploma.

(Artikel disediakan oleh Al Hidayah Awang, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

ISNIN, 25 NOVEMBER - Seorang graduan antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Jepun mencuri tumpuan kerana kemampuannya untuk fasih berbahasa Melayu dan Dusun.

Fuyuko Iwasaki, 29, yang berasal dari Chiba, Jepun ketika ditemui media memberitahu beliau mula mempelajari bahasa Melayu dan Dusun ketika menjalankan kerja lapangan di Kampung Buayan, Penampang pada tahun 2013 iaitu ketika beliau menuntut pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Gakushuin, Tokyo.

“Pada ketika itu saya menetap selama tiga bulan di Kampung Buayan, dan saya terpaksa bergantung kepada kamus bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai rujukan dan panduan untuk berkomunikasi dengan penduduk kampung.

“Dari situ, saya mula perlahan-lahan mempelajari bahasa tersebut dan dalam tempoh tiga bulan itu saya mampu untuk mahir bertutur dalam bahasa Melayu dan menguasai sedikit bahasa Dusun,” katanya ketika ditemui di sini.

Minat Fuyoko terhadap bahasa Melayu dan Dusun serta etnik Dusun di Sabah mendorong beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Sosiologi dan Antropologi Sosial di UMS pada tahun 2015 dan ketika itu beliau sudah pun mahir berbahasa Melayu dan Dusun.

“Apabila melakukan kerja lapangan di luar bandar, saya akan berbahasa Melayu dan bahasa tempatan untuk berkomunikasi dengan komuniti tempatan, bahkan saya juga menulis tesis dalam bahasa Melayu selepas mendapat tunjuk ajar daripada penyelia saya,” kata Fuyuko.

Tambah Fuyuko, dengan dorongan serta bantuan daripada pihak UMS terutama penyelianya, beliau akhirnya berjaya menamatkan penyelidikannya sekali gus berjaya bergraduat sebagai graduan Ijazah Sarjana Sastera (Sosiologi dan Antropologi).

Fuyuko merupakan salah seorang daripada 123 pelajar antarabangsa UMS yang bergraduat pada tiga hari berlangsungnya Majlis Konvokesyen UMS ke-21 di Dewan Canselor, UMS.

(Artikel disediakan oleh Gelianah Beling dan Rosnah Rahim, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)