Ilmu Cetus Ketamadunan Bangsa dan Negara

anugerah pascaRABU, 27 NOVEMBER – Mengaplikasi ilmu yang dikutip daripada hasil penyelidikan dan penulisan tesis yang baik penting bagi menyumbang perkembangan berimpak tinggi kepada masyarakat.
 
“Kemajuan sesebuah negara bukan dilihat sepenuhnya kepada hasil ekonomi yang banyak tetapi sejauh mana rakyat dan pemimpinnya membudayakan kehidupan berteraskan ilmu yang meliputi segenap aspek,” tegas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun bin Abdullah ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pascasiswazah di Auditorium Pascasiswazah, UMS semalam.
 
“Sejarah banyak membuktikan betapa nilai keilmuan yang tinggi menjadi pencetus kepada ketamadunan sesuatu bangsa dan negara,” tambah beliau yang turut menyampaikan anugerah utama kepada pelajar pascasiswazah cemerlang dan penyelia terbaik.
 
Pada majlis tersebut, seramai 65 pelajar menerima anugerah, iaitu Anugerah Tesis Terbaik, Anugerah Pelajar Cemerlang, Tesis Terbaik Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D), Pelajar Terbaik Kerja Kursus, Penyelia Terbaik dan Anugerah Aspirasi Pascasiswazah.
 
Dr Humin Jusilin dari Sekolah Pengajian Seni (SPS) merangkul dua anugerah utama iaitu Pelajar Cemerlang gugusan sastera (secara penyelidikan) dan Tesis Terbaik Ph.D (gugusan Sastera). Kejayaan Dr Humin turut dikongsi oleh penyelia tesis beliau, Prof. Madya Dr Ismail Ibrahim, Dekan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS) yang merangkul anugerah Penyelia Terbaik Gugusan Sastera.
 
Lain-lain penerima anugerah adalah Dr. William Kasapila dari Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan (SSMP) bagi Anugerah Pelajar Cemerlang Gugusan Sains (Secara Penyelidikan), Dolorine Miting dari SPPS bagi Anugerah Pelajar Cemerlang Gugusan Sastera (Secara Kerja Kursus), dan Dr Takashi Kamada dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) bagi Anugerah Tesis Terbaik Gugusan Sains (PhD).
 
Siew Zhan Wei dari Sekolah Kejuruteraan Dan Teknologi Maklumat (SKTM) pula dipilih sebagai penerima Anugerah Tesis Terbaik Gugusan Sains (Sarjana), manakala kategori Gugusan Sastera dimenangi oleh Chua Yee Chi dari Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial (SPKS). Kenneth Teo dari SKTM turut terpilih sebagai penyelia terbaik bagi kategori gugusan sains. -CD-


Bahagian Media
Jabatan Canselori

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.