Akademi Kejurulatihan Kebangsaan Iktiraf Sains Sukan UMS

 

Bengkel TOTJUMAAT, 8 FEBRUARI - Akademi Kejurulatihan Kebangsaan, Majlis Sukan Negara telah mengadakan Bengkel ‘Training of Trainers’ (TOT) Instruktur Kursus Sains Sukan di Hotel Pearl International, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seramai 88 orang instruktur Sains Sukan telah menghadiri bengkel tersebut yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato' Seri Zolkples Embong. Bengkel tersebut telah menghimpunkan kesemua instruktur yang dilantik untuk membantu MSN melaksanakan Kursus-kursus Sains Sukan yang dijalankan di seluruh negara. Mereka terdiri daripada ahli-ahli akademik dan individu-individu yang mempunyai latar belakang sukan dan kejurulatihan.

Bengkel itu turut menyaksikan perlantikan enam daripada lapan pensyarah Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai instruktur sekaligus membuktikan bahawa pensyarah-pensyarah UMS diiktiraf di peringkat kebangsaan. Antaranya termasuklah Prof. Madya Dr. Mohamad Razali Abdullah, pensyarah yang akan mengendalikan bidang Biomekanik. Turut dilantik Pathmanathan K. Suppiah yang akan mengendalikan bidang yang sama selain Stephanie Chok, pensyarah dan instruktur dalam bidang pemakanan sukan dan suaian fizikal.

Seorang lagi pensyarah UMS iaitu Dr. Mohamad Nizam Nazarudin akan mengendalikan bidang Falsafah dan Sukan serta bidang Kompetensi Kejurulatihan. Beliau yang mempunyai pelbagai sijil kejurulatihan dan kepengadilan turut merupakan pengajar bagi kursus kepengadilan dan kejurulatihan ‘International Rugby Board’ (IRB).

Dr. Nizam menyatakan bahawa keberkesanan instruktur menjalankan kursus dengan baik akan membantu dalam usaha mencapai matlamat negara untuk mengurangkan kebergantungan terhadap jurulatih asing sekaligus meningkatkan mutu dan kewibawaan jurulatih tempatan untuk semua program penyediaan atlet pada masa akan datang. Beliau menambah, bengkel itu juga bertujuan untuk memenuhi Dasar Sukan Negara iaitu menyediakan personel-personel kejurulatihan yang berkelayakan dan diiktiraf di peringkat kebangsaan mahupun luar negara.

Turut serta dalam bengkel tersebut termasuklah nama-nama besar penggiat sukan negara seperti Datuk Marina Chin, Zaiton Osman dan Dr. Farrah Hani Imran.

Majlis Sukan Negara telah melaksanakan Kursus Sains Sukan di bawah Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) sejak tahun 1987. Bengkel tersebut dikendalikan oleh 17 Ahli Panel Akademi Kejurulatihan Kebangsaan membincangkan sembilan topik iaitu Sejarah dan Falsafah, Kompetensi Kejurulatihan, Anatomi dan Fisiologi, Biomekanik, Tingkah Laku Motor, Pemakanan, Perubatan dan Kecederaan, Latihan fizikal dan Psikologi Sukan.

Pada kali ini, hampir 100 orang instruktur dari seluruh negara telah menyertai bengkel selama empat hari itu sebagai persediaan menjalankan kursus sains sukan tahap 1, 2 dan 3.

 

Sumber : Program Sains Sukan, SPPS

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.