Mengantarabangsa Siswa-Siswi: UMS Hantar 14 Pelajar Ke Korea Selatan

resizeJUMAAT, 01 Mac - Seramai 14 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Korea Selatan baru-baru ini. Lawatan tersebut yang yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) antara lain menyasarkan lima teras objektif iaitu kesarjanaan, kesahsiahan, kokurikulum, kebajikan dan kesepaduan demi menyatukan mahasiswa dan mahahsisiwi UMS yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama.

Pegawai pengiring rombongan tersebut, Rohani Hadi berkata, lawatan itu juga bertujuan mengantarabangsakan mahasiswa dan mahasisiwi UMS dengan memberi peluang kepada para MPP untuk mengetahui budaya yang terdapat dalam masyarakat di Korea Selatan.

“Ini juga sebagai penghargaan kepada usaha MPP UMS sesi 2010/2011 di sepanjang pimpinan selama tiga semester sekaligus memberi peluang kepada mereka menimba ilmu dan pengalaman di negara tersebut. Dalam masa yang sama ia membolehkan para pelajar untuk melihat budaya masyarakat di Korea Selatan khususnya dari aspek budaya kerja dan budi bahasa,” katanya.

Tambah beliau, delegasi pelajar itu telah mengunjungi Kedutaan Malaysia dan diberi taklimat mengenai negara berkenaan. Antara yang dimaklumkan termasuklah peranan kedutaan itu sendiri yang sering terlibat dengan aktiviti–aktiviti bersama pelajar–pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Korea Selatan selain merancang program – program yang mempromosikan Malaysia di negara berkenaan.

Beliau yang juga Penolong Pendaftar di Jabatan HEP UMS berkata, rombongan MPP UMS juga telah mengadakan lawatan ke Seoul National University (SNU).

“Melalui lawatan ke universiti ini, pelbagai maklumat telah diperolehi oleh ahli rombongan khususnya yang berkenaan dengan isu pendidikan dan kaitannya dengan kepesatan pembangunan teknologi di negara itu. Di sini minda para pelajar terbuka apabila melihat masyarakatnya yang amat mementingkan pendidikan dengan menetapkan matlamat untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Universiti dan SNU adalah satu-satunya universiti yang menduduki senarai pilihan pertama apatah lagi kedudukannya sebagai antara universiti terbaik dunia,” ujarnya lagi.

Sebelum berangkat balik ke tanah air, delegasi MPP sempat melawat ke Pulau Nami Island yang turut dikenali sebagai Naminara Republic. Lawatan ke pulau yang aktif dalam badan-badan kerja amal itu turut menarik perhatian para peserta rombongan.

“Di pulau ini budaya menyemai amalan membaca diterapkan secara menyeluruh kepada semua pengunjung dengan penyediaan ruangan yang menempatkan buku-buku hasil sumbangan orang awam untuk bacaan para pelancong atau pelawat yang datang. Disamping itu pulau ini turut menganjurkan festival buku kanak-kanak untuk menarik minat membaca di peringkat awal usia,”ujar seorang lagi pegawai pengiring rombongan, Mohd Khairuddin Ahmad.

Katanya, pada kunjungan itu satu pengajaran yang cukup berguna untuk diteladani turut diperolehi para pelajar menerusi penelitian terhadap budaya masyarakat Korea yang mengutamakan nilai ilmu yang sentiasa menggalakkan budaya membaca walaupun dimana sahaja berada.

“Mungkin idea pelaksanaan dari pulau tersebut mampu membantu meningkatkan tahap kesedaran pembacaan di UMS sendiri,” kata Pegawai Kebudayaan di Jabatan Hep itu lagi. Lawatan selama lapan hari itu juga turut diisi dengan sesi dialog antara MPP UMS bersama Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PMK).

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.