Pendidikan Wadah Utama Pembangunan Modal Insan : TNC (Akademik dan Antarabangsa)

dialogISNIN, 25 MAC - Sejak kebelakangan ini pelbagai isu percanggahan idea, pendapat, konflik dan krisis dalam kalangan warga pendidik kian diperkatakan.

Justeru, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Shariff Abd. Kadir S. Omang Al-Haj berkata, situasi berkenaan memerlukan suatu formula penyelesaian yang konstruktif, dinamik dan harmonis menerusi kerjasama semua pihak termasuklah di peringkat institut pengajian tinggi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Dekan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS), Prof. Madya Dr. Ismail Ibrahim pada sesi dialog Majlis Dekan-Dekan Fakulti Pendidikan Institut Pengajian Awam (IPTA) Malaysia bersama Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat dan Bahagian Pendidikan Guru.

Menurut Prof. Dr. Shariff, pihak tertentu tidak seharusnya melakukan sebarang spekulasi mahupun menokok tambah tentang permasalahan isu pendidikan dan proses pembelajaran sebaliknya semua pihak berkenaan harus membantu merungkai serta memperbaiki keadaan selaras dengan kemapanan pembangunan modal insan negara.

“Pendidikan merupakan wadah utama dalam menentukan kemajuan dan kemakmuran negara, sekali gus menjadi peneraju dalam pembangunan generasi pelajar yang berpengetahuan, kemahiran dan berkeperibadian mulia,” ujar beliau.

Tambahnya, usaha berterusan menangani isu tersebut wajar, agar warga pendidik dipandang tinggi sesuai dengan peranan besar mereka membentuk bangsa menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti.

Mengenai penganjuran dialog yang bertemakan ‘Isu-isu Pendidikan Kini dan Masa Hadapan: Realiti dan Cabaran’, beliau berkata ia amat bertepatan bagi merungkai pelbagai isu semasa berkaitan proses pendidikan dan pembelajaran sekali gus membuka jalan penambahbaikan hala tuju pendidikan dan pembangunan modal insan agar berada pada landasan yang tepat.

Dialog tersebut yang dianjurkan oleh SPPS bertempat di Grand Ballroom 1Borneo, Kota Kinabalu itu telah disertai lebih 100 peserta.

 

Oleh: Faezah Mohamad Dun

Foto: Musaab Umair

 

Seksyen Penerangan dan Media, Bahagian Perhubungan Korporat

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.