UMS Tampil Hulurkan Bantuan Kemanusiaan di Lahad Datu

Bantuan LDJUMAAT, 22 MAC - Pelbagai pihak terus tampil memberi bantuan bagi meringankan beban seramai kira-kira 1500 penduduk di beberapa perkampungan terlibat yang telah dipindahkan ke kawasan sementara dalam daerah Lahad Datu.

Terbaru, Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan ke kawasan Ops Daulat.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, program tersebut yang disertai oleh kakitangan UMS, agensi-agensi kerajaan dan individu perseorangan adalah dilaksanakan secara sukarela.

“UMS melalui beberapa sekolah termasuklah Sekolah Perubatan telah mengadakan kerjasama antara  Jabatan-jabatan, Sekolah, Pusat, Institut dan Unit dalam UMS, berserta Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Bukan Akademik UMS (PPUMS), Persatuan Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik Malaysia (Cawangan Sabah dan Labuan) serta pihak MERCY Malaysia Cawangan Sabah bagi menyelaraskan aktiviti bantuan kemanusiaan di daerah Lahad Datu,” ujar beliau ketika merasmikan pelepasan konvoi Misi Bantuan Kemanusiaan UMS.

Menurutnya, program tersebut diadakan secara berperingkat di mana objektif utama Misi Bantuan Kemanusiaan UMS ke Lahad Datu kali pertama pada 21 sehingga 24 Mac 2013 adalah lebih memfokuskan  kepada penghantaran barang-barang keperluan yang dikumpul hasil daripada sumbangan kakitangan UMS dan juga daripada pihak luar UMS.

Sementara itu, Misi Bantuan Kemanusiaan UMS ke Lahad Datu kali kedua pula yang dijangka akan diadakan pada bulan April atau Mei 2013 mempunyai objektif utama untuk melaksanakan program seperti pemeriksaan kesihatan, khidmat kaunseling, aktiviti pendidikan kanak-kanak serta aktiviti gotong-royong di kawasan penempatan sementara penduduk.

“Antara aktiviti untuk jangka masa lebih panjang yang dicadangkan adalah seperti pemeriksaan kesihatan oleh Sekolah Perubatan, khidmat kaunseling oleh Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial, aktiviti pendidikan bersama kanak-kanak oleh Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial dan ceramah pemakanan sihat oleh Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan,” tambah beliau.

Seramai 42 orang mengikuti Konvoi Misi Bantuan Kemanusiaan UMS ke Lahad Datu termasuklah kakitangan dari agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, pesara Polis dan juga orang perseorangan.

 

Oleh: Faezah Mohamad Dun

Foto: Musaab Umair

               

Seksyen Penerangan dan Media, Bahagian Perhubungan Korporat

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.