Kemusnahan Ekosistem Sebab Stok Ikan Komersil Hilang Kemampanan

ISOMSA 2013

SELASA, 19 MAC – Kemusnahan ekosistem, terutama ekosistem marin menyebabkan pengeluaran tangkapan ikan di seluruh dunia tidak berkembang, dan kebanyakan stok ikan komersial hilang kemampanan.

Demikian menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin. Beliau turut menjelaskan di peringkat global, kadar tangkapan ikan adalah jauh melebihi kapasiti pembiakan ikan, dan ini adalah cabaran yang serius kepada pengurusan perikanan komersil yang mampan.

“Perlindungan terhadap lautan adalah sangat penting dan memerlukan usaha dan kerjasama kita semua. Ini kerana kemampanan perikanan komersil terancam akibat kemusnahan habitat, kehilangan biodiversiti dan kesan perubahan iklim. Selain makanan laut, lautan turut mempengaruhi sektor ekonomi lain seperti pelancongan, perkapalan dan sumber tenaga,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Tahunan Mengenai Sains Marin & Akaukultur: Kesihatan Laut dan Masa Depan Kita yang diadakan di Grand Ballroom, 1Borneo. Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Pegawai-pegawai Utama UMS.

Datuk Seri Yahya menambah penganjuran seminar ini sangat relevan dengan beberapa topik yang dibincangkan adalah berkaitan dengan permasalahan yang dihadapi, selain mengalu-alukan sebarang resolusi saintifik yang boleh dipertimbangkan untuk pembentukan dasar yang berkaitan.  

“Di Malaysia, terutama bagi negeri Sabah, warisan sumber marin telah memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat setempat. Justeru segala usaha akan dilakukan demi melindungi kepentingan budaya dan tradisi masyarakat di lautan. Saya percaya jika saintis, ahli sains sosial, pembuat dasar dan pihak yang berkepentingan duduk bersama-sama membincangkan masalah ekosistem marin, kita mampu membuat sesuatu perbezaan secara kolektif demi manfaat generasi semasa dan akan datang,” katanya.

Terdahulu, Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam ucapannya berkata, institusi pengajian tinggi seperti UMS mempunyai peranan yang besar dalam mengkaji  dan membangunkan strategi serta mengaplikasikan pengetahuan yang membawa kepada pembangunan mampan lautan. Tambah beliau walaupun sudah berada pada abad ke- 21, masih banyak lautan yang belum diterokai biarpun terdapat peningkatan terhadap teknologi mengakses bahagian laut yang tidak boleh diakses pada abad ke-20.

“Kita harus terus meningkatkan pemahaman kita tentang ekosistem lautan global dan sub-sistemnya untuk membangunkan keupayaan terhadap tindak balas persekitaran marin kepada perubahan global. Ini akan membantu kita membangunkan strategi yang paling sesuai.”

“Saya tidak mempunyai keraguan, perkongsian data lautan dan maklumat akan membantu dalam pengurusan laut. Perkongsian tersebut bukan sahaja melalui pertukaran pandangan dalam kalangan para saintis, tetapi haruslah berkesan dalam mendidik masyarakat di lautan mengenai kepentingan ekosistem marin yang sihat yang akan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi dan kebajikan manusia,” kata Datuk Dr. Harun.

Seminar yang berlangsung selama tiga hari tersebut menyaksikan seramai 122 peserta yang terdiri daripada pakar-pakar dan ahli-ahli akademik dari bidang berkaitan berkumpul bagi membentangkan kertas kerja dan membincangkan perkara-perkara berkaitan sains marin dan akuakultur.

 

 

Oleh : Mohd. Affzanizam Mohd Amin, BPK

Foto oleh : Musaab Umair, BPK

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.