ISNIN, 18 MAC - Dr. Anantha Raman Govindasamy, Pensyarah Kanan dalam bidang Politik, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dijemput sebagai tetamu untuk rancangan bual bicara di stesen TV Alhijrah, Kuala Lumpur. Rancangan Assalamualaikum yang disiarkan secara langsung di saluran Astro 114 itu membicarakan topik tentang Kedaulatan Sabah.
Selama tempoh 20 minit, Dr. Anantha menyatakan fakta-fakta ilmiah daripada sudut pandang penyelidik politik yang berhujah menolak pembabitan elemen kekerasan dengan provokasi ketenteraan dalam mengancam kedaulatan sesebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia. Sekaligus menafikan, tidak ada mana-mana negara atau warganegara sesebuah negara di dunia ini yang dihalalkan untuk merampas hak kedaulatan sesebuah Negara berdaulat seperti Malaysia.
Tambah beliau lagi, selagi ada bulan dan bintang, hak kedaulatan Malaysia terhadap Sabah tidak boleh diganggu-gugat apatah lagi berdasarkan illusi atau khayalan emosi keluarga Kiram yang memang diragui status kesultanannya.
Dalam temuramah selepas pogram bual bicara tersebut, Dr. Anantha turut menyatakan penghargaan serta sokongan beliau terhadap inisiatif Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah bagi menubuhkan Pusat Kajian Strategik Sabah. Bukan hanya tertumpu pada aspek politik, keselamatan maritim atau undang-undang antarabangsa sahaja, penubuhan pusat kajian itu antara lain menunjukkan keprihatinan pengurusan UMS yang peka dengan situasi sejarah, budaya, bahasa, warisan sastera rakyat yang signifikan dalam menentukan asal usul kepelbagaian etnik yang membentuk Negeri Sabah hari ini.
Beliau berkata, pusat kajian itu kelak mampu memanfaatkan tenaga kepakaran penyelidik-penyelidik sains, kejuruteraan, sains sosial, ekonomi, undang-undang, ketenteraan dan mungkin juga salah satu pusat yang bersifat cross-dicipline di bawah satu bumbung.
Sumber: Jabatan Canselori, Universiti Malaysia Sabah.