UMS Harus Tingkatkan Penjanaan Sumber Pendapatan Sendiri: Naib Canselor

Perjanjian ProgramJumaat, 15 Mac - Universiti seharusnya berusaha dan lebih proaktif dalam meningkatkan penjanaan sumber pendapatan sendiri melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan dengan menghasilkan paten dan penerbitan berimpak tinggi.

Demikian saranan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah pada Majlis Menandatangani Perjanjian Program Universiti 2012-2013 yang berlangsung di Galeri Majlis baru-baru ini.

“Berdasarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), Universiti seharusnya menjana pendapatan sebanyak 30% menjelang tahun 2020 untuk menampung perbelanjaan Universiti. Sebagai makluman, pada masa ini sumber pendapatan UMS masih terhad kepada pungutan yuran pengajian, sewaan ruang dan lain- lain,” katanya.

Tambahnya lagi, Lembaga Pengarah Universiti telah meluluskan Dasar Penjanaan Pendapatan Universiti Malaysia Sabah pada 13 Februari lalu.

“Melalui kelulusan dasar ini, adalah diharap agar Jabatan Bendahari dapat berperanan membantu dan mengatur selia sumber penjanaan baru, mendapatkan buah fikiran dan kerjasama dari semua Jabatan, Sekolah, Pusat, Institut dan Unit (JSPIU) demi kepentingan semua,” jelasnya.

Datuk Dr. Mohd Harun turut berpesan agar setiap JSPIU mengamalkan Perbelanjaan Berhemat di dalam pengurusan kewangan masing- masing.

“Perbelanjaan berhemat ini adalah penting memandangkan kantung UMS adalah terhad sedangkan di dalam masa yang sama operasi kita tidak boleh berhenti. Kita harus terus berbelanja seperti yang telah kita anggarkan sewaktu penyediaan belanjawan dan berdasarkan kelulusan yang diberi supaya kita mencapai apa yang dirancangkan,” katanya.

Beliau juga menyeru setiap JSPIU untuk memastikan urusan harian terutama urusan kewangan dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan. Katanya tindakan Jabatan Bendahari untuk membuat pemeriksaan mengejut ke atas setiap JSPIU pada setiap 6 bulan adalah satu langkah kawalan dan pencegahan yang baik bagi mengelakkan sebarang kesilapan dan salah praktis.

“Demi kebaikan bersama, setiap JSPIU haruslah memberi kerjasama dan berbincang dengan Jabatan Bendahari atas apa jua dapatan sewaktu pemeriksaan mengejut ini diadakan” tegasnya.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr. Mohd Harun menandatangani perjanjian program tersebut bersama-sama dengan setiap ketua JSPIU, sambil disaksikan oleh Bendahari UMS, Tuan Haji Rizal Othman. Datuk Dr. Mohd Harun turut menyerahkan ‘Financial Kit’ kepada setiap ketua JSPIU.

 

 

Oleh : Mohd. Affzanizam Mohd Amin, BPK

Foto : Musaab Umair, BPK   

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.