Membina Budaya Cemerlang Meneroka Masa Hadapan: Amanat Naib Canselor 2013

amanatvcRABU, 13 MAC - Majlis Amanat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2013 berlangsung dengan suasana penuh semangat dengan kehadiran lebih 2000 warga kakitangan dan pelajar bagi mendengar amanat yang disampaikan Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah. Bertemakan Membina Budaya Cemerlang Meneroka Masa Hadapan, majlis yang berlangsung di Dewan Canselor itu telah menggariskan enam agenda sebagai panduan dalam memperkasakan lagi pencapaian ke arah kecemerlangan berterusan universiti.

Pada agenda yang pertama Datuk Dr. Mohd. Harun menekankan peri pentingnya aspek keharmonian sebagai tunjang kepada kemajuan universiti. Menurutnya UMS  hanya boleh bergerak maju ke hadapan dengan pantas bila warganya hidup harmoni dan saling menyokong di antara satu sama lain.

“Tidak kira pangkat, hatta kedudukan hingga keturunan, Setiap individu harus berperanan sesuai dengan amanah yang diberikan. Bisa ular takkan hilang bila menyusur akar, seseorang atasan yang menghormati bawahan takkan menghilangkan pangkat darjat keturunannya. Begitu juga, staf hendaklah menghormati ketua masing-masing dan akur dengan arahan yang diberikan oleh mereka,” katanya.

Beliau turut  berpesan agar warga UMS menghindari sifat kebencian yang dilihat menjadi ancaman dan mampu meruntuhkan suasana keharmonian yang sedia ada.  Katanya, orang yang ada sifat kebencian tidak akan bahagia dan tidak merasa kemanisan hidup.  

“Justeru berkasih sayanglah kerana semua adalah insan yang sama, yang ada perasaan dan hati yang mudah tersentuh dan tersinggung. Jaga keharmonian, hormat menghormati, jangan membuang masa dengan berbual-bual yang mendorong ke arah itu,” tambahnya lagi.

Dalam agenda yang kedua, Datuk Dr. Mohd Harun menyeru agar seluruh warga UMS terus melakukan transformasi idea menjadi realiti.  Beliau berkata, idea-idea yang hebat tidak menjamin UMS untuk menjadi cemerlang, tetapi apa yang perlu adalah tindakan susulan dan tindakan yang berkaitan dengan kesungguhan serta komitmen memastikan setiap idea diterjemah dan dilaksanakan.

“Saya telah mendengar banyak sekali idea yang hebat-hebat, namun ia hilang dan lenyap di perjalanan waktu. Di universiti yang kita sayangi ini, saya melihat masih banyak lagi penambahbaikan yang boleh dilakukan, sama ada pada dasar mahupun dalam konteks idea-idea baru yang bersifat inovatif dan konstruktif,” ujar beliau yang kini sudah melebihi lapan bulan menerajui universiti itu.

Mengambil contoh hasil cetusan ideanya mengenai cadangan penggubalan Dasar Penjanaan Pendapatan yang dilafazkan pada amanat sulung Jun lalu, kini Dasar tersebut telah menjadi realiti dan bukannya sekadar ungkapan kosong.  Menurut beliau, ianya adalah sebagai langkah pertama ke arah unversiti yang berdaya saing dan cemerlang sesuai dengan prinsip inovatif, relevan dan lestari.

“Inilah sebahagian lagi daripada usaha yang disebut mengubah idea menjadi realiti,” jelasnya lagi.

Naib Canselor yang cukup dikenali dengan dengan sikap penuh kesederhanaan namun tegas dalam menjalankan tugas turut menggariskan budaya menghargai masa sebagai agenda yang ketiga. Dalam hal ini beliau menyeru agar seluruh warga UMS menjadikan tahun 2013 sebagai titik tolak untuk melakukan tranformasi minda dan budaya kerja seharian.

“Saya mahu amalan menghargai dan menepati masa sebagai budaya hidup di UMS. Pada setiap Jabatan, Sekolah, Pusat, Institut dan Unit,  zahirkanlah jam atau masa menerusi apa saja pendekatan yang sesuai. Saya menyeru, laksanakanlah dan sebarkanlah kata-kata hikmat tentang keutamaan masa di semua tempat dalam kampus UMS. Hanya manusia yang menghargai masa akan beroleh manfaatnya,” tambahnya lagi.

Katanya, sebagai penjawat awam yang mempunyai tugas dan amanah, jangan sesekali menggunakan masa berkerja untuk berbual-bual di kedai-kedai makan atau tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Setiap tugasan perlu diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan, perlu patuh pada tarikh yang ditetapkan.

Dalam agenda yang keempat, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun telah menggariskan citra budaya yang berkualiti sebagai budaya yang akan terus menjadi amalan masyarakat UMS.

“Dalam amanat saya sebelum ini, saya ada mengemukakan tiga kata kunci utama sebagai identiti dan pegangan warga UMS untuk menjadi cemerlang dan dikenali ramai. Tiga kata kunci itu adalah Inovatif, Relevan dan Lestari. Setiap warga UMS hendaklah menghayati dan memahami makna di sebalik tiga kata kunci agar ia menyerap ke dalam sanubari kita dan seterusnya diterjemahkan ke dalam perbuatan dan tindak tanduk kita demi memajukan UMS yang kita sayangi ini,” katanya.

Beliau berkata, UMS mahu dikenali sebagai universiti yang inovatif yang banyak mengetengahkan idea-idea, kaedah-kaedah ataupun penemuan-penemuan yang baharu lagi bermanfaat. Inovasi bukan hanya berlaku dalam aspek sains dan teknologi saja, tetapi ia juga boleh terdapat dalam pengurusan kehidupan kita seharian, umpamanya di dalam pengurusan tempat kita berkerja.

Dalam pada itu, aspek kerelevanan UMS pula merupakan suatu kemestian baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa jika kita mahu terus dikenali di arena global dan menjadi universiti tersohor. Datuk Dr. Mohd. Harun berkata, warga UMS perlu perlu fokus kepada perkara-perkara yang relevan dengan keadaan semasa.

Beliau turut memberitahu bahawa kemampuan untuk bertahan dalam berdepan dengan cabaran-cabaran semasa dan yang mendatang merupakan aspek penting untuk UMS terus mandiri dan lestari. Perubahan pantas di peringkat antarabangsa dalam konteks landskap pendidikan, tanda aras dan keutamaan penyelidikan menjadi ujian utama sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam di Malaysia. Di samping itu usaha dari segi mengurus kewangan sama ada di peringkat universiti mahupun di peringkat JSPIU hendaklah dilakukan secara bijaksana dan lestari.

Naib Canselor UMS turut menggariskan satu halatuju Universiti untuk tempoh lima tahun akan datang yang dinamakan Pelan Strategik Universiti Malaysia Sabah 2013-2017. Pelan tersebut yang telah dirangka sejak enam bulan lepas telah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah UMS pada 13 Februari 2013 sekaligus menjadi agenda kelima dalam amanat penting kepada warga universiti.

Beliau berkata,  Pelan Strategik berkenaan antara lain telah mengambil kira Pelan Strategik UMS terdahulu, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) serta pencapaian semasa oleh UMS dalam pelbagai perkara yang berkaitan dengan pengajian tinggi.  Ujarnya lagi, Pelan Strategik tersebut menggariskan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UMS-KRA) yang akan diberi tumpuan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara bidang keberhasilan itu termasuklah Mempertingkatkan Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran; Mempertingkatkan Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi; Mempertingkatkan Keterlihatan dan Reputasi di Peringkat Antarabangsa;  Memperkukuhkan Tadbir Urus, Kepimpinan dan Sistem Penyampaian; Mempertingkatkan Kelestarian Kewangan Mempergiatkan Libatsama Masyarakat dan Industri serta  Menyumbang Kepada Kelestarian Alam Sekitar. Kesemua UMS-KRA ini mempunyai objektif-objektif strategik tersendiri, dan kejayaannya akan diukur menerusi Petunjuk Prestasi Utama ( KPI).

Prof. Datuk Dr. Mohd Harun turut menggariskan ‘Ecocampus: Mengubah Sikap Merubah Pemikiran’ sebagai agenda keenam yang juga agenda terakhir dalam amanatnya kali ini.

Katanya, UMS sangat bertuah kerana mempunyai kampus yang dikelilingi dengan sumber-sumber alam seperti pemandangan indah Gunung Kinabalu serta hamparan samudera  biru yang terbentang di tepi kampus. Kedudukan kampus yang berada di tepi di tepi laut ini juga sekaligus menyediakan sumber pengajaran dan penyelidikan terus kepada warga UMS dalam bidang marin dan akuakultur.

Justeru katanya, menjenamakan UMS sebagai sebuah EcoCampus yang bercirikan elemen-elemen dan budaya mesra memelihara dan melindungi alam sekitar serta keindahannya adalah sangat tepat. Pada bulan lepas, UMS telah melancarkan blueprint EcoCampus UMS, sekaligus mencatat sejarah dan meletakkan UMS sebagai universiti awam pertama di Negara ini yang mengamalkan konsep mesra alam tersebut.

“Oleh yang demikian, usaha selanjutnya bagi menjayakan konsep ini perlu kita rancang secara teliti dan laksanakan bersama. Kampus ini bukan milik saya, bukan juga milik individu atau seseorang. Tetapi ia adalah milik kita semua dan milik generasi yang akan datang,” ujar Naib Canselor yang juga pakar dalam bidang penyelidikan air dan persekitaran.

Pada majlis itu, Datuk Dr. Mohd. Harun turut melancarkan Pelan Strategik UMS  2013-2017 serta menyempurnakan pelancaran sistem penyelidikan dan laman web baharu universiti. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Ahli Lembaga Pengarah universiti Dr. Hj. Mohd Kassim Hj. Mohd. Ibrahim dan Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

Foto: Musaab Umair, BPK

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.