Jangan gopoh singkat tempoh pengajian

 

(Utusan Malaysia, 12 Jun 2023)

 

ISU pemendekan tempoh pengajian dari empat ke tiga tahun adalah persoalan besar menunjukkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil cakna perkembangan semasa. KPT di bawah Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempunyai usaha bagi mengambil tindakan kepada suatu yang lebih sesuai dengan perkembangan semasa pengajian tinggi dan persoalan berkaitan mahasiswa dan graduan.

Seperti dinyatakan dalam majlis penutup Jom Masuk U di Universiti Malaya pada 3 Jun lalu, tempoh pengajian 44 program pengajian institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dipendekkan kepada tiga tahun. Ia akan bermula sesi kemasukan tahun ini. Pembelajaran hibrid dan anjal juga akan dilaksanakan.

Penyusunan struktur pengajian tinggi ini adalah suatu yang biasa berlaku setiap kali siapa memegang KPT, sama ada besar atau kecil perubahan itu. Menteri Pendidikan pada 1996 juga melakukan perubahan besar, iaitu mengubah tempoh masa pengajian di IPTA dari empat ke tiga tahun. Oleh kerana arahan itu bersifat top-down, maka ia dipatuhi dan tiada meneritang walaupun ada dekan dan ahli akademik tidak bersetuju.

Perubahan dilakukan dengan sifat kepala angguk di hati geleng. Tiada yang berani menentang dengan situasi dan kekuatan parti politik pada masa itu. Proses pemendekan berjalan lancar sehinggakan kursus-kursus seperti kejuruteraan sivil, kejuruteraan mekanikal dan seumpamanya pun ada universiti memendekkannya kepada tiga tahun (kerana mengikut arahan menteri). Pada dasar akademik dan profesional, kursus-kursus berkenaan tidak sepatutnya ditukar kepada tiga tahun.

Beberapa tahun selepas itu apabila berlaku perubahan menteri, ada kelonggaran diberikan, iaitu pihak universiti boleh menyusun semula program pengajian sama ada tiga atau empat tahun. Hasilnya, ada yang mengubah kepada empat tahun dan ada yang kekal tiga tahun.

Perubahan struktur pengajian sebenarnya tidak boleh diubah dan dipinda dengan cepat dan mudah kerana banyak perkara perlu difikir dan dilakukan. Perubahan mendadak tanpa penilaian akademik dan justifikasi serta asas kukuh memugkinkan kesan buruk kepada sesuatu program pengajian serta graduan dihasilkan.

 

KECELARUAN

Berbalik kepada perkembangan terbaharu olehmenteri, adakah wajar ia dimulakan pada sesi kemasukan tahun ini? Adakah tidak bersifat tergopoh-gopoh bermula dengan kemasukan September ini? Sempatkah pihak universiti/pengurusan fakulti dan bahagian akademik melakukan struktur perubahan yang sepatutnya? Adakah struktur penilaian prauniversiti benar-benar sesuai dengan program tiga tahun? Tentang pembelajaran hibrid dan bersifat anjal, adakah ia sesuai dengan semua program?

Masa terlalu singkat sekiranya perubahan ini bermula September ini, walaupun ia mungkin boleh dilakukan dengan arahan kementerian. Tempoh tiga bulan adalah singkat bagi sesuatu perubahan yang benar-benar terperinci. Walaupun begitu, saya percaya pihak universiti akan melakukannya jika arahan daripada KPT. Persoalan perlu difikirkan adalah kemantapan perubahan yang dilakukan dan hasil akhirnya.

Secara kasarnya, ia agak bersifat gopoh-gapah dengan tempoh masa itu. Persoalan juga timbul, sejauh mana 44 program pengajian dinyatakan itu telah dikenal pasti oleh pihak universiti/ dekan dan ketua program berkaitan? Andainya ini belum berlaku, memungkinkan berlaku 'kecelaruan' kerana perubahan perlu dilakukan dalam tempoh singkat.

Perubahan mungkin boleh dilakukan dengan arahan, tetapi adakah ia dilakukan dengan baik dan sepatutnya berlaku? Mana satu kursus perlu digugurkan bagi menyesuaikan tempoh masa lebih pendek itu? Kursuskursus tertentu juga boleh digugurkan dengan mudah tetapi persoalannya, adakah justifikasi dan keputusan dibuat itu benar-benar tepat? Adakah pengguguran kursus-kursus tertentu tidak mencacatkan dan memberikan kesan negatif kepada mahasiswa dan graduan dihasilkan nanti?

 

MATANG

Tentang pembelajaran hibrid dan bersifat anjal, adakah ia sesuai dengan semua program? Dalam sesetengah program, pembelajaran secara fizikal adalah suatu yang perlu. Kita tidak menafikan sesetengah program pengajian boleh dilakukan secara dalam talian, tetapi keberkesanan dan nilai yang ingin diterapkan mungkin boleh dipersoalkan. Sesuatu ilmu bukan hanya bersifat fizikal dan jasad sdmata-mata, tetap! rohnya juga satu aspek penting dalam pembinaan ilmu sebenar dan pembentukan nilai kemanusiaan.

Adakah struktur penilaian prauniversiti benar-benar sesuai dan telah disesuaikan dengan program tiga tahun? Ini juga satu persoalan yang perlu difikirkan dengan mendalam. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan saluran-saluran penilaian dan tapisan lain seperti matrikulasi dan kursus asasi perlu disesuaikan juga dalam beberapa aspek tertentu dengan pemendekan tempoh masa kepada tiga tahun.

Saya berpendapat, STPM perlu memperkenalkan mata pelajaran baharu seperti Sains Politik, Sosiologi, Psikologi, Undang-Undang, Hubungan Antarabangsa dan seumpamanya. Ini penting kerana bagi mereka yang ingin mengkhusus kepada kursus di atas, seseorang mahasiswa telah mempunyai sedikit asas dalam disiplin ilmu berkenaan. Misalnya, seseorang yang bercadang mengikuti ijazah sains politik atau undang-undang perlu mengambil kursus ini di peringkat STPM.

Sistem A-Level British telah lama memperkenalkan mata pelajaran ini. Bahkan pada peringkat O-Level (setara Sijil Pelajaran Malaysia) pun telah diperkenalkan kursus-kursus ini. Darjah kelulusan principal (lulus penuh) bagi mata pelajaran STPM ini juga perlu + standard yang benar-benar tepat agar mereka yang lulus tidak diragukan kebolehan dan penguasaan ilmunya. Keputusan yang baik semata- ' mata tidak akan bermakna jika penguasaan ilmu tidak mencapai taraf sepatutnya.

Apa yang penting bagi saya, apa-apa pun perubahan bakal dilakukan, mestilah berasaskan faktor akademik, bukan faktor-faktor lain. Kita tidak menafikan hubungannya dengan peluang pekerjaan selepas mendapat ijazah tetapi nilai ilmu diperoleh itu jauh lebih penting. Seorang graduan yang betul-betul matang akan dapat mencari dan menyesuaikan diri dalam alam pekerjaan dengan lebih mudah dan baik. Universiti bukan tempat dan pusat latihan kerja, tetapi lebih kepada institusi ilmu akademik dan membina latihan serta kematangan berfikir. Jika runtuhnya universiti sebagai institusi ilmu dan pusat kematangan berfikir, ia akan memberi kesan kepada nilai dan kekuatan tamadun bangsa dan ummah dalam jangka panjang

-----------------------

DR. Mohd. Noor Yazid ialah Profesor Madya di Kluster Pembangunan &  Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorllS), Universiti Malaysia Sabah.

UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kg Sayap Kota Belud

26 Februari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi...

Ciri-ciri dan Kompetensi Mengurus Krisis

02 Januari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Krisis timbul...

Persiapan Ke Arah Pendigitalan Pendidikan

18 Oktober 2023

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023] PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian...

UMS Terus Ke Hadapan Membina Kecemerlangan Ilmu

25 September 2023

Lawatan singkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.