Asas Politik Kita Masih Konservatif Atau Sudah Liberal?

 

(Utusan Malaysia, 3 Ogos 2023)

 

PILIHAN raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu akan berlangsung pada 12 Ogos ini. Bermula selepas hari penamaan calon, 29 Julai lalu hingga menjelang pukul 11.59 malam pada 11 Ogos ini, semua parti bertanding akan berkempen habis-habisan.

Walaupun hanya pilihan raya melibatkan pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kecuali di Parlimen Kuala Terengganu, ia dilihat penting dari beberapa aspek. Kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi ujian pertama sama ada diterima atau ditolak oleh pengundi di enam negeri ini. Ia mempunyai makna besar kepada pimpinan Anwar.

Kalau Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menang besar, ini melambangkan sokongan rakyat yang kuat kepada pimpinan kerajaan sekarang. Kemenangan ini mungkin akan membawa sinar dan lambang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-i6 (PRU16) nanti. Sebaliknya jika Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan besar akan memberi tamparan besar kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Persoalan utama sedang diperhatikan pengamal politik dan penganalisis dari dalam dan luar negara, "Adakah kerjasama antara PH (khususnya DAP) dan BN (khususnya UMNO) diterima oleh rakyat dan pengundi umum?"

Adakah saranan pimpinan atasan DAP dan UMNO supaya pengundi dari UMNO perlu memberi undi dan sokongan kepada calon PH/ DAP? Begitu juga dengan saranan penyokong DAP perlu memberi sokongan/undi kepada calon BN/UMNO akan dipatuhi?

Ini menjadi perhatian utama kerana kedua-dua parti, iaitu UMNO dan DAP adalah seteru besar sejak sekian lama. Sehingga kempen PRU baru lalu pun kedua-dua belah pihak saling bertembung. Tentangan UMNO terhadap PH/DAP sangat jelas. No Anwar, No DAP adalah slogan besar BN/ UMNO, tiba-tiba berubah Bekerjasama dengan Anwar, terima DAP sebagai rakan.

Inilah persoalan besar yang sedang berlaku dalam politik Malaysia kini. Adakah kerjasama politik ini hanya berlaku di peringkat pucuk pimpinan atasan kerana keadaan 'terpaksa' dan tidak diterima oleh penyokong dan pengundi bawahan secara menyeluruh? Perkembangan ini akan diterjemahkan dalam PRN nanti.

Secara jelas, kita semua menerima hakikat kerajaan yang terbentuk hari ini bukan hasil keputusan PRU15 secara mutlak. Ini kerana tidak ada sebuah parti atau pakatan yang menang secara majoriti bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Persoalan besar oleh pengamal dan pengkaji politik, "Adakah calon-calon PH-BN akan mendapat sokongan besar pengundi atau disebaliknya? Ke mana arah sokongan pengundi utama (Melayu) dalam PRN ini? Umumnya ramai berpendapat, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan dimenangi oleh calon PN dengan mudah.

 

SEJARAH POLITIK

Sebarang perubahan berlaku adalah satu kemungkinan di luar jangka. Bukan semua pengundi Kelantan menyokong PN (khususnya Pas) dengan masalah-masalah tempatan yang belum selesai.

Untuk PH-BN menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu, bukan mudah (dengan penyokong tegar Pas yang besar di tiga negeri itu). Walaupun begitu, jumlah pengundi muda yang semakin besar (yang kecil nilai-nilai konservatifnya) tidak mustahil akan mampu membawa kemenangan kepada calon PH-BN di tiga negeri majoriti Melayu-Islam itu.

Persoalan menarik juga di tiga negeri dikuasai PHBN, iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Secara relatifnya kedudukan PH-BN di tiga negeri Pantai Barat ini lebih kuat dan terjamin. PN mungkin sukar untuk menang besar dan membentuk kerajaan negeri berdasarkan perkembangan sebelum ini.

Bagi kawasan DUN yang majoriti kaum Cina, mungkin tidak menghadapi masalah besar untuk menang. Persoalan lebih mencabar adalah di kawasan DUN campuran besar peratus Cina ditandingi oleh calon UMNO dan kawasan campuran besar peratus Melayu ditandingi oleh calon PH-DAP.

Adakah pengundi Cina akan memberi undi kepada calon Melayu dari UMNO? Adakah keputusan pengundi Cina ini - sama ada memberi undi kepada calon PN atau langsung membuat keputusan tidak keluar mengundi?

Persoalan berkaitan bangsa, agama serta unsurunsur konservatif tidak boleh dipisah secara langsung dalam politik dan pilihan raya di Malaysia. Bukan sekalikali menafikan kebangkitan unsur-unsur bersifat liberal dan parti-parti politik yang tidak lagi berasaskan kaum dan bersifat terbuka.

Dalam sejarah politik Malaysia, ia belum terbukti dengan jelas serta benar-benar mantap. Ia baru bermula dan masih boleh dianggap berada pada peringkat awal. PRN di enam negeri ini adalah satu ujian kepada perkembangan baharu politik dan pilihan raya Malaysia.

Andainya kesemua enam negeri dimenangi dengan besar oleh calon-calon PH-BN, kita dapat katakan unsurunsur liberal telah diterima oleh masyarakat. Sebaliknya jika PN menguasai keputusan PRN di enam negeri ini, kita dapat katakan unsur-unsur konservatif masih kekal dan menjadi asas politik Malaysia.

Sokongan kumpulan penduduk majoriti iaitu orang Melayu-Islam adalah penting dalam membentuk sebuah kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Perpecahan kumpulan penduduk majoriti utama akan memberi kesan kepada kestabilan sesebuah kerajaan yang bakal dibentuk.

Kumpulan penduduk majoriti, iaitu para pengundi bangsa Melayu perlu analisis mendalam dan membuat keputusan benar-benar tepat.

--------------

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorllS), Universiti Malaysia Sabah.

UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kg Sayap Kota Belud

26 Februari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi...

Ciri-ciri dan Kompetensi Mengurus Krisis

02 Januari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Krisis timbul...

Persiapan Ke Arah Pendigitalan Pendidikan

18 Oktober 2023

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023] PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian...

UMS Terus Ke Hadapan Membina Kecemerlangan Ilmu

25 September 2023

Lawatan singkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.