UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kg Sayap Kota Belud

 

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat

 

UMS menerusi Pusat Komunikasi Korporat meneruskan misi mendekati komuniti luar bandar di Kg Sayap Kota Belud pada 24 dan 25 Februari 2024.

Seramai 18 orang kakitangan terlibat dalam program di komuniti yang popular melaksanakan pelancongan berasaskan pendidikan dengan diketuai oleh Pengarahnya, Dr. Jakaria Dasan.

Antara aktiviti program santuni komuniti yang dilakukan ialah aktiviti menganyam atap menggunakan daun kelapa bersama komuniti bagi menyiapkan Pondok Malius di Puncak Gloria.

Pondok Malius bakal menjadi satu lagi destinasi wajib lawat di kampung ini yang menawarkan pemandangan menarik atas bukit dengan sulap atau pondok tradisi masyarakat sebagai pusat tumpuan.

Perkongsian ilmu telah disampaikan oleh kakitangan Pusat Komunikasi Korporat bagi menjadikan Pondok ini lebih bermaklumat dan sesuai untuk lawatan santai kepada pengunjung luar.

Turut diadakan adalah aktiviti menumbuk dan menampi padi yang seterusnya dimasak menjadi Nasi Linopot.

Selain itu, komuniti yang cukup dikenali dengan kreativiti menghasilkan kraftangan manik ini turut berkongsi cara membuat manik kepada kakitangan PKK.

Dalam masa yang sama, Dr. Jakaria, yang sering terlibat dengan projek-projek pemindahan ilmu kepada komuniti di Sabah, berkongsi mengenai idea bagaimana komuniti pengusaha di kampung itu boleh menetapkan harga yang sesuai kepada setiap kraftangan manik yang dihasilkan mereka.

Menurutnya, bukan mudah untuk menghasilkan produk berasaskan manik dalam kuantiti yang banyak dan unik serta menarik corak seninya.

Menghasilkan manik selalunya dibuat secara berkumpulan atau berpasukan.

Ini adalah bagi mengelakkan rasa bosan di samping mewujudkan satu perkongsian sesama mereka yang akan memantapkan lagi kualiti corak manik di mana setiap corak mempunyai ceritanya atau temanya sendiri.

Perlu terkandung makna dalam setiap corak manik yang dihasilkan.

Dengan yang demikian, produk manik lebih dihargai oleh pembeli.

Program Santuni Komuniti PKK diakhiri dengan Program Kebudayaan bertempat di Porohon Garden, iaitu salah sebuah homestay yang diusahakan oleh komuniti kampung ini.

Majlis ini diserikan dengan acara kebudayaan yang menampilkan anak-anak kecil dari SK Kg Sayap mempersembahkan bakat bermain alat muzik tradisional dan tarian suku kaum mereka.

Seramai lebih daripada 60 orang ahli komuniti hadir memeriahkan majlis berkenaan.

En. Aming Gamburus, Pengerusi JKKK Kg. Sayap, yang hadir meluahkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada UMS kerana sering menjadikan Kg Sayap sebagai kampung pilihan mengadakan program khidmat komuniti.

Ini menyebabkan para penduduk di kampung yang sangat jauh kedudukannya dan bersempadan dengan Taman Negara Stesen Sayap sentiasa berasa tidak terpinggir dari arus pembangunan.

Kehadiran institusi ilmu seperti UMS mengadakan program secara konsisten bersama mereka di Kampung Sayap itu benar-benar dirasai oleh penduduk kampung.

Menurut beliau lagi, secara tidak langsung ianya memberi motivasi kepada anak-anak dari kampung berkenaan untuk sentiasa bercita-cita maju dalam pelajaran dan seterusnya memasuki universiti khususnya, UMS.

PKK telah menyediakan sebanyak 60 bakul makanan untuk diagihkan kepada ibu tunggal, warga emas terlantar, dan orang kelainan upaya.

Puan Norlizah Abdullah, Ketua Pentadbiran PKK, selaku penyelaras program berkata bahawa, sumbangan yang diberikan adalah atas kerjasama Kelab Kebajikan Kakitangan Pusat Komunikasi Korporat dan juga sumbangan peribadi beberapa individu yang ingin turut sama beramal dalam program yang dikendalikan oleh PKK itu.

Majlis Malam Kebudayaan turut diisi dengan sebuah perkongsaian menarik bertajuk “Apa itu Scam” yang telah dikongsikan oleh En. Mohamad Norazmi Haris, pegawai PKK.

Perkongsian beliau amat bertepatan pada waktunya mengambilkira bahawa telah wujud kecenderungan mereka yang tidak bertanggungjawab, yakni scammer, meluaskan aktiviti penipuan mereka memperdaya komuniti di kawasan luar bandar.

Dalam ucapan mewakili rombongan PKK, Dr. Jakaria memaklumkan bahawa menerusi kepimpinan Professor Dr. Kasim Hj. Mansor, Naib Canselor UMS, setiap warga UMS digesa untuk sentiasa peka kepada usaha mendekati komuniti bagi melakukan pemindahan dan perkongsian ilmu yang relevan dengan sesebuah komuniti yang didampingi itu.

Untuk rekod, Kg Sayap Kota Belud merupakan kampung angkat UMS dalam program pelancongan berasaskan pendidikan atau Edu-Tourism yang diterajui oleh Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS.

Selain fakulti ini, beberapa aktiviti bersama komuniti telah dilaksanakan di kampung ini oleh pelbagai jabatan dan pusat di UMS termasuklah aktiviti pembelajaran di lapangan dan penyelidikan oleh para pelajarnya.

Usaha menyantuni komuniti di luar bandar Sabah dengan program-program sedemikian dilaksanakan bertujuan untuk memperkasa kefahaman warga UMS mengenai Komuniti Madani itu sendiri.

Di Kg Sayap, terpampang jelas akan wujudnya ciri-ciri Komuniti Madani.

Komuniti di kampung ini mempunyai persatuan atau perkumpulan masyarakat yang sentiasa bersatu padu dalam aktiviti memajukan kampung mereka.

Perpaduan yang mampan ini membolehkan mereka mudah bekerjasama samada sesama mereka mahu pun dengan pihak luar.

Hal ini membolehkan mereka hidup dengan sejahtera disebabkan sering dikunjungi oleh para pelancong yang gemar kepada eko-pelancongan. Komuniti ini juga berupaya menghasilkan daya cipta yang menarik dalam memasarkan produk mereka.

Kunci kepada segala kejayaan adalah sikap hormat.

Setiap pelancong dan pelawat adalah tetamu yang mereka hormati.

Dalam setiap program yang dianjurkan, komuniti ini akan turut sama menjayakannya yang sekaligus menyuntik motivasi kepada para penduduk kampung untuk sentiasa berasa yakin membina kemajuan kampung mereka.

Dari perspektif ihsan pula, komuniti kampung ini sentiasa bergotong-royong memelihara flora dan fauna serta memastikan tradisi dan budaya nenek moyang mereka terus hidup dan subur dalam kalangan generasi mudanya agar keindahan semulajadi dan keunikan tradisi tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas.

PKK merupakan nadi penting universiti yang antara lain terlibat mengurus majlis rasmi universiti, menyelaras hubungan awam, dan mengatur urusan publisiti menerusi rakan-rakan strategik media.

Kesempatan menjejaki kaki ke Kg. Sayap, nun jauh di Kota Belud Sabah, dan seterusnya peluang berinteraksi dengan komuniti kampung ini adalah pengalaman yang sangat berharga dan tinggi nilai impaknya kepada kakitangan PKK, UMS.

Sekurang-kurangnya program seumpama ini memberi ruang kepada kakitangan pusat ini meningkatkan ilmu berkomunikasi secara efektif dengan komuniti di luar universiti.

Terlalu banyak yang indah ingin diperkatakan mengenai kampung ini dan komunitinya.

Yang pasti, jika bertandang ke Kg Sayap, gunakan juga peluang berkenaan untuk aktiviti mendaki bukit di sekitar Kg Sayap.

Salah-satu daripadanya ialah Aura Montoria.

Ingat Montoria, Ingat Auranya, Aura Montoria!

UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kg Sayap Kota Belud

26 Februari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi...

Ciri-ciri dan Kompetensi Mengurus Krisis

02 Januari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Krisis timbul...

Persiapan Ke Arah Pendigitalan Pendidikan

18 Oktober 2023

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023] PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian...

UMS Terus Ke Hadapan Membina Kecemerlangan Ilmu

25 September 2023

Lawatan singkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.