Industri halal Malaysia dijangkakan berkembang kepada US$113.2 bilion menjelang 2030 dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus pada tahun 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.
HIMP 2030 bertemakan ‘Ke Arah Halal Malaysia Yang Menyerlah di Peringkat Global’ membuktikan pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya akan terus berusaha untuk menambah baik semua komponen ekosistem halal.
Ini penting bagi meningkatkan kedudukan Malaysia di dalam pasaran halal global dengan jumlah penduduk Islam global yang mencecah dua bilion. Industri halal ini bukan sahaja boleh meningkatkan produktiviti, meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penduduk tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan negara melalui perdagangan halal, pelaburan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Di Sabah, kerajaan negeri juga tidak ketinggalan membantu pengusaha tempatan bagi merancakkan lagi industri halal dengan menggalakkan lebih ramai usahawan di Sabah menghasilkan produk makanan halal yang bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah hingga ke peringkat global.
Oleh itu, atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah telah mewujudkan Majlis Halal Sabah (MAHAS) sebagai badan rasmi Kerajaan dalam membincang, mengkaji dan membuat keputusan berkaitan isu-isu halal serta mencadangkan inisiatif dan langkah baharu bagi membangunkan industri halal di negeri ini.
Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga sangat komited dalam usaha memperkasakan dan memelihara industri halal di Sabah. Sehubungan itu, MUIS Halal Hub telah ditubuhkan bagi memastikan halalan toyyiban menjadi antara fokus utama di negeri ini.
Selain daripada sektor pelancongan, Sabah juga terkenal dengan pelbagai produk makanan terutamanya produk makanan unik daripada pelbagai etnik yang dilihat mempunyai peluang yang sangat cerah bagi menembusi pasaran global.
Setiap tahun sektor makanan dan minuman terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal Malaysia dengan jumlah nilai eksport yang tertinggi berbanding sektor lain seperti bahan halal, kosmetik, farmaseutikal dan lain-lain.
Oleh itu, Kerajaan Negeri Sabah sangat menggalakkan pengusaha industri makanan khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan pengiktirafan status halal bagi produk makanan mereka.
Walaupun pembabitan usahawan PKS dalam industri makanan halal di negeri ini semakin bertambah, namun penambahan bilangan usahawan itu masih perlu dipergiatkan. Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Negeri Sabah juga telah membantu usahawan PKS dari segi kewangan bagi mendapatkan persijilan halal bagi produk makanan mereka.
Tidak ketinggalan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi awam di Sabah melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) juga aktif dalam membantu industri halal di Sabah.
Pemeteraian memorandum persefahaman di antara MUIS dan UMS pada 5 Julai 2023 merupakan satu bentuk kerjasama yang sangat baik dalam memperluaskan ilmu dan latihan berkaitan keselamatan makanan dan jaminan halal khususnya di kalangan industri makanan di dalam dan juga di luar negara.
Kerjasama di antara kedua-dua belah pihak telah pun wujud sebelum ini di mana beberapa ahli akademik dari FSMP telah dilantik sebagai auditor halal MUIS Halal Hub bagi membantu pihak MUIS mengaudit kilang-kilang dan premis makanan di dalam negeri Sabah yang ingin memohon dan memperbaharui sijil halal mereka. Ahli-ahli akademik ini menyumbang pengetahuan dari segi teknikal dalam membantu MUIS bagi pensijilan halal di Sabah.
Selain itu, pengusaha makanan yang menghasilkan makanan di rumah juga diberi latihan dan pendedahan berkaitan halal oleh MUIS Halal Hab dengan kerjasama ahli-ahli akademik FSMP bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah halalan toyibban dan seterusnya mendapat pensijilan halal.
Bagi memperkukuhkan lagi bidang berkaitan halal, penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH), UMS telah diluluskan melalui mesyuarat Lembaga Pengarah UMS pada 21 September 2023 di mana ianya membuktikan dedikasi UMS menyokong usaha kerajaan untuk menjadi pusat rujukan halal serantau.
Ini selaras dengan keperluan pasaran yang semakin berkembang dan PPPH berperanan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pihak industri, sekali gus menyokong HIMP 2030 di mana salah satu teras strategiknya adalah mewujudkan kumpulan pakar dan profesional industri halal yang lebih besar untuk memenuhi keperluan global.
Usaha PPPH ini akan menjadikan UMS lebih dikenali dan diyakini dalam menjalankan aktiviti berkaitan halal kepada pihak industri, antaranya menerusi pengiktirafan UMS sebagai Penyedia Latihan Halal di bawah Majlis Profesional Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan merupakan satu-satunya Penyedia Latihan Halal yang diiktiraf oleh JAKIM di Sabah.
Di bawah program latihan Majlis Profesional Halal ini, seramai empat orang pensyarah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan telah diiktiraf sebagai Tenaga Pengajar Halal bagi Program Profesional Latihan Eksekutif Halal oleh JAKIM.
Berbekalkan visi untuk menjadi peneraju global dalam memajukan kecemerlangan Halal, inovasi dan penyelidikan, PPPH secara amnya menyediakan perkhidmatan komprehensif berkaitan bidang halal melalui penyelidikan, program latihan, dan perkhidmatan perundingan terutamanya untuk industri makanan di negeri Sabah dan umumnya kepulauan Borneo.
Selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 dan juga Pelan Induk Industri Halal 2030 yang telah diwujudkan oleh pihak kerajaan, PPPH menyahut komitmen untuk menyediakan destinasi sehenti bagi perniagaan dan individu yang mencari perkhidmatan halal.
Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memacu usaha kerajaan dalam memastikan penghasilan makanan yang halal, bersih dan selamat atau ‘halalan toyyiban’ di kalangan industri dan seterusnya menjamin ketersediaan makanan masyarakat dan kesejahteraan pengguna.
Hubungi:
Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal
Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan
Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88450 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
+6 088-320 000 samb. 102996 (Pejabat)
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.