
Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerajui pelaksanaan Program Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.
Program tersebut menghimpunkan kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pasukan keselamatan serta pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha memperkasa komuniti secara menyeluruh.
Pendekatan CBDRM yang dilaksanakan menekankan peranan komuniti sebagai barisan hadapan dalam pengurusan bencana dengan sokongan latihan, kepakaran teknikal dan operasi daripada agensi terlibat.
Program yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Menurut Simsudin, Perbadanan Labuan sentiasa menyokong pelaksanaan program berteraskan kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
“Sokongan ini merangkumi pengukuhan peranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) sebagai platform tindakan tempatan, penyediaan sokongan kepada pelaksanaan program komuniti serta memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan strategik.
“Kerjasama yang kukuh antara agensi, akademia dan NGO merupakan kunci kepada kejayaan dalam memperkasa komuniti.
“Program ini diharap menjadi model pelaksanaan CBDRM yang berkesan serta memperkukuh kesiapsiagaan komuniti di Labuan dan kawasan sekitarnya secara berterusan,” katanya.
Beliau turut menyeru komuniti setempat agar memanfaatkan ilmu dan pendedahan yang diperoleh sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, program berasaskan komuniti ini telah dilaksanakan sejak tahun 2015 sebagai sebahagian daripada peranan utama pusat berkenaan.
“Program melibatkan komuniti ini bertujuan memperkasa kesiapsiagaan masyarakat yang lebih dekat dan arif terhadap kawasan mereka sekiranya berlaku bencana.
“Pelaksanaan kali ini turut memperluaskan kerjasama rentas wilayah dan sektoral melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Labuan melalui JPBD, agensi keselamatan, institusi akademik serta pertubuhan bukan kerajaan.
“Program CBDRM ini memberi penekanan kepada peningkatan pengetahuan, kemahiran dan kesiapsiagaan komuniti melalui kerjasama pelbagai pihak ke arah membina masyarakat yang berdaya tahan.
“NDRC UMS berperanan sebagai peneraju dalam pendidikan, latihan dan pemindahan ilmu berkaitan pengurangan risiko bencana (DRR),” ujar beliau.
Program tersebut merangkumi pelbagai pengisian termasuk taklimat peranan agensi dan komuniti, risiko tsunami dan gempa bumi serta latihan simulasi kecemasan.
Selain itu, latihan pemetaan risiko bencana, pelan tindakan operasi dan latihan pertolongan cemas turut dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan komuniti.
Timbalan Ketua Pengarah (PASCA) NADMA, Datuk Haji Hussain Moh berkata, program berkenaan berupaya meningkatkan kesedaran serta keupayaan komuniti dalam menghadapi risiko bencana.
“Inisiatif ini selari dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara serta Kerangka Sendai 2015–2030 dalam memperkukuh daya tahan komuniti,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Fadzilah Haji Mahmud; Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin; Komander Pangkalan Udara Labuan, Brig. Jen. Hamidi Hashim; serta Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, IPD Wilayah Persekutuan Labuan ASP Vernon Sinclair Anak Dalton Doel.


