[ARTIKEL BIUMS Siri 4/2025]

 

Oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

 

Bayangkan situasi ini: anda sedang bekerja lewat malam di pejabat, seorang diri. Tiba-tiba, ternampak sampul coklat atas meja mesyuarat. Bila dibuka, ada RM3,000 tunai di dalamnya. Tidak ada CCTV. Tidak ada saksi. Tidak ada siapa tahu.

 

Apa yang anda akan buat?

 

Inilah detik sebenar integriti diuji. Bukan masa kita pakai baju kemas dan duduk dalam seminar. Integriti bukan sekadar slogan cantik di dinding pejabat. Ia adalah pilihan- pilihan untuk buat perkara yang betul, walaupun tiada siapa nampak, walaupun susah, walaupun mungkin kita rugi.

 

Bila Tekanan Meningkat, Di Mana Integriti Kita?

 

Dalam dunia kerja sekarang, tekanan memang luar biasa. Target tinggi, deadline ketat, bos garang, politik pejabat makin tegang. Dalam keadaan macam ni, ramai mula goyah.

Ada yang ubah laporan supaya nampak berjaya. Ada yang tutup kesalahan rakan sebab takut kena pulau. Ada yang guna kuasa kecil untuk urusan peribadi. Mula-mula nampak macam tidak besar. Tapi macam karat halus, lama-lama boleh runtuhkan organisasi.

 

Pemimpin Kena Jadi Contoh

 

Kalau pemimpin sendiri tidak tunjuk teladan, jangan harap organisasi mahu berubah. Ketua yang berani mengaku salah, terbuka terima teguran, dan adil dalam tindakan, itulah yang akan bentuk budaya kerja sihat. Bila budaya ini wujud, pekerja pun jadi jujur, saling percaya dan saling sokong.

 

Teknologi Boleh Bantu, Tapi Nilai Tetap Penting

 

Zaman sekarang, kita ada sistem digital, audit automatik, aplikasi pemantauan. Tetapi semua itu tidak boleh ganti nilai dalam diri manusia. Teknologi cuma alat, yang buat keputusan tetap kita.

 

Integriti Bukan Hal Besar, Tapi Hal Harian

 

Ramai fikir integriti itu benda besar. Sebenarnya, ia bermula dari perkara kecil. Tidak ambil kesempatan bila diberi amanah. Tidak ‘cover line’ bila kawan buat salah. Berani bersuara bila nampak ketidakadilan. Jujur tulis masa punch-in, walaupun beza lima minit. Integriti bukan satu tindakan besar, tapi ratusan keputusan kecil setiap hari.

 

Bangsa Hebat Bermula Dari Rakyat Berintegriti

 

Negara boleh ada undang-undang terbaik, dasar anti-rasuah paling canggih, slogan etika paling padu. Tetapi kalau rakyat, anda dan saya tidak pilih integriti dalam setiap keputusan kecil, semua itu tidak bermakna.

 

Jadi, mari kita mula hari ini. Bukan esok. Sebab integriti tidak tunggu perhatian. Ia bina kepercayaan dan bila kepercayaan hilang, susah untuk dapat balik. Integriti adalah siapa kita, bila tiada siapa sedang memerhati. Itulah diri kita yang sebenar.

 

Pemimpin hebat bukan lahir dari populariti, tetapi dari keberanian berpegang pada integriti. Setiap keputusan kecil yang jujur, adalah sumbangan besar untuk negara yang bersih.

 

 

 

[ARTIKEL BIUMS Siri 10/2025]

 

Oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

 

   

Sebagai penjawat awam dalam institusi pendidikan tinggi, warga universiti perlu memahami bahawa penglibatan politik bukanlah ruang kebebasan mutlak. Ia tertakluk kepada Peraturan 20 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib & Surcaj) 2000 [Akta 605] yang menetapkan sempadan jelas antara hak individu dan tanggungjawab profesional.

Pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) dilarang keras daripada terlibat secara aktif dalam politik. Ini termasuk membuat kenyataan awam yang berat sebelah, menyebar bahan politik, merayu undi, bertanding atau memegang jawatan dalam parti politik. Bahkan tindakan seperti ‘like’, ‘share’, atau ‘retweet’ kandungan politik yang memihak kepada mana-mana parti boleh dianggap sebagai pelanggaran disiplin.

Bagi Kumpulan Pelaksana, penglibatan politik dibenarkan dengan syarat mendapat kelulusan bertulis daripada Lembaga atau Ketua Jabatan. Namun, kegiatan politik mesti dilakukan di luar waktu pejabat, tidak mengganggu tugas rasmi, dan tidak menggunakan pengaruh atau maklumat rasmi untuk kepentingan politik. Kegagalan mematuhi syarat ini boleh menyebabkan kelulusan ditarik balik serta dikenakan tindakan tatatertib.

Lebih membimbangkan, pegawai yang mahu bertanding dalam pilihan raya perlu meletakkan jawatan atau bersara pilihan. Jika kalah, mereka mungkin tidak akan diterima semula ke dalam perkhidmatan awam. Ini bukan sekadar risiko kerjaya, tetapi satu keputusan hidup yang tidak boleh dipandang ringan.

 

Jangan Ambil Mudah!

 

Memasang bendera parti, membantu pasangan berkempen, atau menghadiri program rasmi parti politik boleh ditafsirkan sebagai pelaksana politik. Pegawai yang melanggar peraturan ini bukan sahaja berdepan tindakan tatatertib, malah boleh kehilangan kerjaya dan reputasi yang dibina bertahun lamanya.

 

Seruan Bertindak

 

Semak semula tindakan anda di media sosial dan dalam komuniti. Fahami kedudukan anda dalam struktur perkhidmatan. Jika ragu-ragu, rujuk kepada Ketua Jabatan atau Bahagian Integriti. Jangan biarkan keterujaan politik mengaburi tanggungjawab anda sebagai penjawat awam.

Tanggungjawab Kita Bersama Sebagai warga universiti, kita bukan sekadar pendidik dan pentadbir, kita adalah penjawat awam yang memikul amanah negara. Kesetiaan kepada perkhidmatan dan integriti dalam tindakan adalah asas kepada maruah institusi. Akta 605 bukan sekadar undang-undang, ia adalah perisai kepada kepercayaan rakyat terhadap kita.

Bertindak dengan bijak. Berkhidmat dengan setia. Jangan gadaikan masa depan demi politik sementara.

 

Oleh : Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

 

Integriti merupakan asas kepada pembangunan sesebuah organisasi yang lestari dan adil. Dalam konteks UMS, budaya melaporkan kes integriti, rasuah dan salah laku bukan sekadar tanggungjawab moral, tetapi kewajipan sivik yang perlu dipikul bersama oleh semua lapisan warga, terutamanya pensyarah, pegawai, kakitangan sokongan dan pelajar sebagai tunjang utama pembangunan Universiti.

 

Mengapa Melaporkan Itu Penting?

Melaporkan kes integriti adalah mekanisme kawalan yang berkesan dalam menjaga ketelusan dan kebertanggungjawaban institusi. Apabila kes rasuah atau salah laku tidak dilaporkan, ia akan berleluasa dan akhirnya menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam. Bagi pensyarah, melaporkan kes integriti membantu mengekalkan kredibiliti institusi pengajian tinggi sebagai pusat kecemerlangan akademik yang bebas daripada unsur-unsur negatif.

Pegawai dan kakitangan sokongan pula memainkan peranan kritikal dalam memastikan perkhidmatan awam yang berkualiti dan adil kepada rakyat. Dengan melaporkan sebarang bentuk penyelewengan, mereka membantu memelihara integriti sistem pentadbiran UMS. Manakala pelajar, sebagai generasi pemimpin masa depan, perlu memahami kepentingan budaya melaporkan ini sebagai sebahagian daripada pembentukan nilai-nilai murni.

 

Kesan Positif Pelaporan

Budaya melaporkan yang sihat membawa pelbagai kesan positif. Pertama, ia bertindak sebagai mekanisme pencegahan yang berkesan. Apabila individu sedar bahawa tindakan mereka mungkin dilaporkan, mereka akan lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas. Kedua, pelaporan membantu pihak berkuasa mengenal pasti kelemahan sistem dan mengambil langkah pembetulan yang sewajarnya.

Selain itu, budaya melaporkan turut memperkukuhkan nilai integriti dalam organisasi dan masyarakat. Ia menunjukkan komitmen bersama untuk menolak rasuah dan salah laku, serta mewujudkan persekitaran kerja dan pembelajaran yang lebih sihat dan produktif.

 

Cabaran dan Jalan Penyelesaian

Walaupun kepentingan melaporkan jelas, masih terdapat cabaran seperti ketakutan terhadap tindakan balas dan kurang keyakinan terhadap sistem aduan. Untuk mengatasi ini, institusi perlu memastikan perlindungan pemberi maklumat dan ketelusan dalam proses siasatan.

 

Kesimpulan

Melaporkan kes integriti bukan tindakan khianat, tetapi bukti kematangan dan tanggungjawab sebagai warganegara. Dengan menyatukan usaha pensyarah, pegawai, kakitangan sokongan dan pelajar dalam budaya melaporkan yang bertanggungjawab, UMS dapat terus maju sebagai Universiti Awam yang berintegriti tinggi dan dipercayai di mata dunia.

 

 

Artikel oleh: 

Prof. Dr. Vijay Kumar & Prof. Madya Dr. Zarina Amin

Institut Penyelidikan Bioteknologi

Universiti Malaysia Sabah

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

 

Borneo merupakan kawasan luas yang kaya dengan biodiversiti yang menakjubkan : hutan hujan yang subur, sungai sungai dan pelbagai hidupan liar yang telah sekian lama wujud bersama komuniti manusia. Namun, selaras dengan pembangunan pesat di Sabah, interaksi di antara manusia, ternakan dan hidupan liar semakin meningkat. Sekali gus ini meningkatkan risiko penyakit zoonotik, iaitu penyakit yang berpunca daripada patogen yang berpindah dari haiwan ke manusia.

 

Kejadian pandemik COVID-19 sekitar 2020 - 2022 telah meningkatkan aktiviti pemantauan biologi (biosurveillance) secara global pada skala yang lebih besar. Walaubagaimanapun, amalan langkah berjaga-jaga sebagai pengajaran daripada krisis tersebut telah mula dilupakan oleh ramai pihak. Di wilayah seperti Sabah, di mana interaksi manusia dan hidupan liar berlaku dengan sangat kerap, pemantauan biologi perlu dikekalkan sebagai keutamaan oleh jabatan-jabatan Kerajaan yang terlibat. Ini adalah kerana penularan penyakit berjangkit bukan sahaja mampu mengganggu kesihatan awam, tetapi seperti yang terlihat dari pandemik COVID-19, ia juga boleh memberikan impak negatif dan menjejaskan sektor pelancongan, pertanian serta usaha pemuliharaan biodiversiti.

 

 

Ancaman Penyakit Zoonotik yang Semakin Meningkat di Borneo

 

Di antara penyakit zoonotik yang paling banyak didokumentasikan di Borneo merupakan penyakit malaria Plasmodium knowlesi dari perumah asal monyet macaque yang disebar melalui nyamuk. Dengan peningkatan aktiviti komuniti luar bandar Sabah yang semakin banyak berkembang ke kawasan hutan dan sekitarnya, risiko pendedahan kepada monyet macaque sekali gus kepada penyakit ini turut meningkat. Lebih membimbangkan, sejak kebelakangan ini penyakit malaria zoonotik ini merekodkan jumlah kes tertinggi di negeri Sabah.

 

Selain malaria yang dibawa oleh monyet, burung kelawar di Sabah turut dikenal pasti sebagai pembawa pelbagai jenis koronavirus baru mirip SARS dan COVID-19. Penemuan ini menonjolkan risiko yang mungkin dihadapi pelancong dan penduduk tempatan yang mengunjungi gua -gua yang dihuni oleh burung kelawar.

 

Industri ternakan ayam di Sabah juga pernah berhadapan dengan wabak influenza burung patogenik tinggi (H5N1) pada tahun 2018. Virus ini merebak dengan cepat sehingga ribuan ayam terpaksa dihapuskan. Walaupun tiada kes jangkitan manusia dilaporkan, kehadiran antibodi terhadap virus tersebut di dalam kalangan individu tertentu mencadangkan kemungkinan wujudnya penularan zoonotik terdahulu.

 

Di Sarawak pula, penyakit anjing gila (rabies) setakat ini masih kekal sebagai penyumbang kepada hampir semua kes berkaitan di Malaysia. Memandangkan Sabah berkongsi sempadan dengan Sarawak, maka segala usaha vaksinasi serta aktiviti pemantauan penyakit berjangkit yang berterusan amat penting untuk mencegah penularan ‘rabies’ di negeri ini.

 

 

Cabaran Baharu Kesihatan Haiwan

 

Penyakit yang menjejaskan ternakan dan hidupan liar turut menjadi perhatian. Penyakit ‘Newcastle Disease ’ dan Bronkitis Berjangkit telah menjejaskan industri ayam pedaging di Sabah, menjadikan vaksin sedia ada kurang berkesan. Walaupun ayam yang dijangkiti tidak secara langsung mengancam manusia, kemerosotan ternakan memberi kesan kepada keselamatan makanan dan pendapatan penternak.

 

Hidupan laut juga tidak terkecuali. Di Pulau Mabul dan perairan sekitarnya, semakin banyak penyu laut dilaporkan menghidap fibropapillomatosis — sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus herpes, yang menyebabkan ketumbuhan melemahkan dan memerlukan campur tangan manusia untuk kelangsungan hidup. Survelan kesihatan juga penting di kawasan perairan Sabah yang masih belum tercemar bagi melindungi spesies terancam ini.

 

Selain itu, Demam Babi Afrika (ASF) telah memusnahkan populasi babi liar dan ternakan di Sabah. Walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, penyebarannya yang pantas dalam kalangan Sus barbatus (babi berjanggut) memberi impak besar dari segi ekologi dan ekonomi. Kehilangan haiwan ini boleh mengganggu ekosistem serta menjejaskan amalan memburu tradisional masyarakat peribumi.

 

 

Jangkitan Kuman dari Tanah Air dan Pembawa Tikus

 

Penyakit seperti melioidosis yang dibawa oleh bakteria patogenik Burkholderia pseudomallei, yang merebak di Sabah berupaya menjangkiti manusia serta hidupan liar termasuk orang utan dan monyet macaque. Ancaman lain yang berterusan ialah leptospirosis: sejenis jangkitan

 

bakteria yang merebak melalui air tercemar dan sering dibawa oleh tikus. Bakteria Bartonella yang berkaitan dengan tikus juga didapati sangat meluas di kawasan bandar di Borneo. Ancaman tersembunyi ini menekankan keperluan pemantauan alam sekitar secara berterusan.

 

 

Tingkah Laku Manusia dan Penularan Penyakit

 

Antara cabaran terbesar dalam pencegahan penularan wabak penyakit merupakan aktiviti manusia sendiri. Kegiatan pemburuan haiwan secara haram dan perdagangan hidupan liar masih berleluasa walaupun terdapat beberapa usaha penguatkuasaan yang dijalankan selain dari usaha-usaha pemuliharaan haiwan dari badan badan terlibat. Hidupan liar seperti tenggiling masih diperdagangkan secara senyap di pasar-pasar tempatan. Walaupun belum ada virus zoonotik yang dikenal pasti di dalam tenggiling di Sabah setakat ini, risiko penularan jangkitan penyakit tetap tinggi. Penguatkuasaan yang lebih tegas amat diperlukan untuk membendung aktiviti ini.

 

Melihat ke hadapan, projek-projek pembangunan luar bandar berskala besar sebagai contoh pembinaan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur, dijangka mampu menggugat habitat hidupan liar secara besar-besaran. Di simpang itu peningkatan pembalakan, peluasan pertanian dan pembinaan empangan hidro dijangka mampu memburukkan konflik manusia-hidupan liar serta meningkatkan risiko penularan penyakit.

 

 

Langkah Ke Hadapan: Memperkukuh Biosurvelan One Health

 

Aktiviti pemantauan ‘biosurveillance’ di Sabah pada waktu ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan, institusi akademik serta organisasi pemuliharaan; walaubagaimanapun kekangan2 seperti dana yang terhad, peralatan usang dan kurang penyelarasan mampu menjejaskan kelancaran aktiviti pemantauan ini. Pendekatan One Health — yang menggabungkan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar — perlu diperkukuh untuk mengatasi cabaran ini.

 

Sehubungan dengan itu, lima strategi utama telah dicadangkan:

 

  1. Pemantauan Genomik dan Analitikal Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence): Menggunakan penjujukan generasi baharu, pemantauan DNA persekitaran (eDNA) dan kecerdasan buatan untuk mengesan patogen baru.
  1. Libat Urus dan Pendidikan Komuniti: Memberi pendidikan kepada komuniti luar bandar dan masyarakat peribumi mengenai risiko zoonotik dan strategi pencegahan.
  1. Penguatkuasaan Lebih  Tegas  terhadap  Pemburuan  Haram: Mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan dan NGO untuk membanteras perdagangan hidupan liar.
  2. Dasar Guna Tanah Lestari: Menggalakkan pembangunan berasaskan pemuliharaan bagi mengurangkan konflik manusia-hidupan liar.
  1. Penyepaduan Dasar dan Peningkatan Pembiayaan: Memastikan sumber tambahan untuk biosurvelan dan mengintegrasikan pendekatan One Health dalam dasar kebangsaan.

 

Penutup

 

Biodiversiti Sabah merupakan khazanah dunia, namun pada masa yang sama menjadi titik panas kepada kemunculan penyakit berjangkit baharu. Ketika aktiviti manusia terus mengubah landskap dan ekosistem, usaha biosurvelan proaktif dan pengukuhan pendekatan ‘One Health’ amat diperlukan.

 

Kami menyeru penubuhan satu pasukan petugas antara disiplin yang merangkumi pakar kesihatan awam, pemuliharaan, virologi, teknologi AI dan pembuat dasar. Dengan menggabungkan kepakaran dan memanfaatkan teknologi terkini, Sabah boleh melindungi rakyatnya dan khazanah biodiversitinya untuk generasi akan datang.

 

[ARTIKEL BIUMS Siri 3/2025]

 

Oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

 

Risiko integriti merupakan salah satu ancaman paling senyap tetapi paling berbahaya dalam sesebuah organisasi.

Ia bukan hanya soal rasuah semata-mata, tetapi meliputi salah guna kuasa, penyelewengan, konflik kepentingan, dan kegagalan mematuhi prinsip etika kerja.

Di Malaysia, termasuk institusi pendidikan, risiko integriti sering berlaku disebabkan oleh beberapa faktor utama atau dikenali sebagai “drivers” risiko integriti.

 

  1. Kepimpinan yang Tidak Menunjukkan Teladan Integriti

Budaya integriti bermula dari atas. Apabila pemimpin organisasi tidak menunjukkan teladan yang baik seperti bersikap pilih kasih, mengabaikan prosedur, atau memandang ringan terhadap salah laku, staf di bawah akan ikut cara yang sama. Jika pengurusan tertinggi tidak konsisten dalam mempraktikkan nilai integriti, mesej kepada warga kerja adalah bahawa etika boleh dikompromi demi kepentingan.

 

  1. Sistem Kawalan Dalaman yang Lemah

Ketiadaan semakan atau audit yang teliti dalam sistem kewangan, pentadbiran, atau perolehan membuka ruang besar untuk penyelewengan berlaku. Jika prosedur tidak dipatuhi atau tiada pemantauan berkala, kemungkinan besar salah laku akan berulang tanpa disedari. Contohnya, tuntutan perjalanan yang tidak sah atau penyalahgunaan peruntukan penyelidikan.

 

  1. Tekanan Prestasi dan Ganjaran Tidak Seimbang

Apabila staf dikejar dengan sasaran KPI yang tinggi tanpa sokongan sewajarnya, mereka mungkin memilih jalan pintas seperti memalsukan laporan atau melanggar garis panduan semata-mata untuk kelihatan berjaya. Dalam konteks universiti, tekanan ini mungkin datang dari tuntutan penerbitan, penyelidikan, dan pencapaian akademik.

 

  1. Ketiadaan Mekanisme Pelaporan yang Selamat

Ramai pekerja takut untuk melaporkan kes salah laku kerana bimbang akan dikenakan tindakan balas. Tanpa saluran aduan yang telus, selamat, dan dipercayai, kesalahan akan terus berlaku dalam diam. Ini menyebabkan budaya takut dan membiarkan salah laku berkembang.

 

  1. Konflik Kepentingan Tidak Diurus

Apabila individu terlibat dalam membuat keputusan tanpa mendedahkan hubungan peribadi atau kepentingan lain, risiko integriti sangat tinggi. Contoh paling mudah adalah apabila staf memberi sokongan kepada vendor, pelajar, atau rakan yang ada kaitan tanpa pengisytiharan yang sah.

 

Kesimpulannya, memahami punca utama risiko integriti sangat penting untuk memperbaiki budaya organisasi.

Justeru mana-mana organisasi perlu menumpukan kepada pembinaan sistem kawalan yang kukuh, memperkukuh kepimpinan berintegriti, dan menyediakan saluran pelaporan yang mesra dan dilindungi.

Integriti bukan hanya tanggungjawab Bahagian unit integriti, ia tanggungjawab semua.

 

(Artikel ini merupakan usaha berterusan Bahagian Integriti UMS dalam memupuk budaya integriti di kalangan warga kampus. Pengukuhan Integriti dan Pencegahan rasuah bermula dari hati yang jujur dan tindakan yang berani.)