(Berita Harian, 20 Februari 2024)

 

Oleh: Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Naib Canselor UMS

 

Pada umumnya berbicara mengenai jangkaan kedudukan semasa ekonomi negara, ia bukan sesuatu yang mudah dan boleh dijangka dengan tepat. Mengambil iktibar apa yang sering dilakukan pakar ekonomi terhebat dunia, kadangkala jangkaan mereka juga menyimpang daripada realiti.

Faktor utama menyumbang kepada permasalahan ini disebabkan keadaan pasaran begitu dinamik ditambah faktor luaran yang tidak memungkinkan jangkaan berlaku seperti diramalkan. Perkembangan semasa seperti isu geopolitik, selain kekurangan data relevan menjadikan ramalan ekonomi mempunyai jurang perbezaan ketara.

Dalam membuat jangkaan terhadap ekonomi Malaysia, isu terpenting harus diberi tumpuan ialah faktor makro antaranya seperti kadar inflasi, guna tenaga, Indeks Harga Pengguna (IHP), kadar faedah dan permintaan domestik.

Sebagaimana dijangkakan ramai penganalisis ekonomi, tahun2024 menyaksikan pertumbuhan pada kadar 4.5 peratus atau lebih baik. Berasaskan faktor makro, Malaysia dijangka mengalami peralihan dan anjakan ekonomi.

Tahun lalu sahaja, ramai penganalisis mengunjurkan berlaku kemelesetan pada awal 2024, tetapi ternyata dua bulan pertama tahun ini tidak menampakkan sebarang tekanan.

Jika keadaan ini boleh bertahan sehingga pertengahan tahun, ekonomi Malaysia mampu mengelak sebarang kejutan meskipun negara besar termasuk AS meningkatkan kadar faedah yang tentu sedikit sebanyak boleh memberi tempias kepada negara lain seperti Malaysia.

Impak kepada kenaikan kadar faedah AS dilihat tidak memberi kesan signifikan. Dasar fiskal dan monetari secara umumnya pada tahap kondusif dan menyokong kepada pertumbuhan ekonomi.

Meskipun kadar pengangguran pada kadar 3.3 peratus, ini tidak bermakna ia menepati definisi ‘menganggur’ kerana ekonomi gig atau digital juga penyumbang terbesar kepada penjanaan pendapatan kepada golongan menceburi bidang berkenaan.

Penggunaan domestik dan swasta dalam negara sejak dua tahun kebelakangan ini pula menunjukkan perkembangan pada kadar purata 8 peratus. Permintaan domestik dilihat pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Penggunaan modal cekap

Sementara itu, sasaran pertumbuhan produktiviti negara purata 3.6 peratus setiap tahun dijangka dapat dicapai berasaskan inisiatif terdapat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Tidak dinafikan penggunaan modal yang cekap boleh meningkatkan pengeluaran ekonomi secara umum. Ini disebabkan faktor seperti penggunaan teknologi tinggi, infrastruktur mencukupi atau pelaburan memberangsangkan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran.

Sesungguhnya keperluan kepada penyediaan bakat atau tenaga kerja terbaik negara adalah prasyarat untuk memacu pertumbuhan ekonomi, terutama dalam industri memerlukan pengetahuan khusus. Selain itu, negara menghadapi tekanan semakin positif untuk meningkatkan daya saing dalam ekonomi global.

Menerima dan mengguna pakai teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) adalah penting untuk memastikan daya saing dan pertumbuhan mampan. Strategi Ekonomi MADANI termasuk melabur dalam teknologi dan inovasi, memupuk kerjasama antarabangsa, membangunkan infrastruktur berdaya tahan dan menerima pakai amalan mampan adalah langkah tepat.

Tatakelola yang baik semakin diterima masyarakat juga memberi impak signifikan kepada pembangunan ekonomi. Tatakelola yang baik adalah isyarat jelas untuk membina keyakinan pelabur asing dan tempatan. Langkah pencegahan rasuah diamalkan ketika ini penting untuk memupuk persekitaran perniagaan telus dan adil.

Seperti negara lain, Malaysia tidak terkecuali menghadapi cabaran landskap ekonomi global yang menjadi lebih rumit dipengaruhi dinamik geopolitik, hubungan perdagangan dan pakatan ekonomi kuasa besar. Memacu semua cabaran ini memerlukan dasar ekonomi strategik dan inisiatif diplomatik.

Ancaman keselamatan ekonomi, termasuk ancaman siber, pengintipan ekonomi dan gangguan kepada rantaian bekalan kritikal, menimbulkan cabaran kepada kestabilan dan daya tahan ekonomi negara. Kerajaan dilihat lebih bersedia menangani ancaman ini bagi menjaga kepentingan ekonomi negara.

Selain itu, risiko masih menghimpit ekonomi negara ketika ini ialah eksport barangan Malaysia ke negara terbabit dengan konflik seperti Ukraine-Russia serta keganasan terhadap rakyat Palestin di Gaza. Masa sudah tiba untuk Malaysia meneroka pasaran baharu seperti negara Afrika dan Amerika Latin.

 

(Utusan Malaysia, 16 Februari 2024)

 

Oleh: Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Naib Canselor UMS

 

Pada umumnya berbicara tentang jangkaan kedudukan semasa ekonomi negara, bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dijangka dengan tepat. Mengambil iktibar oleh pakar-pakar ekonomi terhebat dunia, kadangkadang jangkaan yang dibuat menyimpang daripada realiti.

Faktor utama yang menyumbang kepada permasalahan ini disebabkan keadaan pasaran yang begitu dinamik ditambah faktorfaktor luaran yang tidak memungkinkan jangkaan berlaku seperti yang diramalkan. Perkembangan seperti geopolitik yang tidak menentu dan kekurangan data-data yang relevan menjadikan ketepatan ramalan berbanding realiti ekonomi sebenar mempunyai jurang perbezaan yang ketara.

Ekonomi Malaysia yang dipacu sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian adalah positif. Dari segi fundamental, ekonomi menunjukkan tahap memberangsangkan dan tidak terlalu merisaukan, walaupun nilai mata wang berlaku penyusutan.

Tentunya penyusutan ini memperlihatkan barangan buatan Malaysia memiliki faedah kompetitif berbanding' mata wang Amerika Syarikat (AS). Justeru jangkaan untuk 2024, tren permintaan barangan Malaysia di pasaran antarabangsa akan meningkat.

Dalam membuat jangkaan terhadap ekonomi, isu yang terpenting yang harus diberi tumpuan ialah faktor-faktor makro antara lainnya seperti kadar inflasi, guna tenaga, indeks harga pengguna, kadar faedah dan permintaan domestik. Sebagaimana yang dijangkakan oleh ramai penganalisis ekonomi, 202 4 menyaksikan pertumbuhan pada kadar 4.5 peratus atau lebih baik.

Berasaskan kepada faktorfaktor makro, Malaysia dijangka mengalami peralihan dan anjakan ekonomi. Tahun lepas sahaja, ramai penganalisis mengunjurkan berlaku kemelesetan pada awal tahun 2024, tetapi ternyata Januari dan Februari tahun ini tidak menampakkan sebarang tekanan.

Jika keadaan ini boleh bertahan sehingga pertengahan tahun, ekonomi negara mampu mengelak sebarang kejutan meskipun negara-negara besar termasuk AS meningkatkan kadar faedah yang sedikit sebanyak memberi tempias kepada negara-negara lain seperti Malaysia.

Dasar fiskal dan monetari pada umumnya berada pada tahap kondusif dan menyokong kepada pertumbuhan ekonomi. Dari segi kedudukan pasaran buruh, data menunjukkan faktor makro yang mendorong kepada peningkatan produktiviti, sekali gus mampu meningkatkan tingkat kumulatif pendapatan boleh guna negara. Meskipun kadar pengangguran pada kadar 3-3 peratus, ini tidak bermakna pengangguran yang berlaku menepati definisi 'menganggur', kerana gig atau digital ekonomi juga penyumbang terbesar kepada penjanaan pendapatan.

Berkaitan dengan penggunaan domestik dan swasta sejak dua tahun ini menunjukkan perkembangan pada kadar purata 8 peratus. Permintaan domestik dilihat sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi.

Disember 2023, Malaysia mencatatkan kedatangan 26 juta pelancong dan merupakan negara yang menerima kedatangan pelancong asing utama di Asia Tenggara. Awal tahun ini sahaja industri pelancongan semakin bergiat aktif serta pelancong domestik mahupun antarabangsa meningkat dan ketara.

Pendekatan ekonomi negara dilihat bersedia menghadapi cabaran yang berkaitan dengan persekitaran kawal selia yang kompleks dan membentuk ekosistem mesraperniagaan. Hal ini kerana beberapa peraturan yang sebelum ini yang menjejaskan kedua-dua pelabur domestik dan asing, banyak ditambahbaik.

Sasaran pertumbuhan produktiviti negara purata 3.6 peratus setiap tahun dijangka dapat dicapai berasaskan inisatif yang terdapat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Tidak dinafikan penggunaan modal yang cekap boleh meningkatkan pengeluaran ekonomi secara umum. Ini disebabkan oleh faktor seperti penggunaan teknologi yang tinggi, infrastruktur yang mencukupi atau pelaburan yang memberangsangkan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran.

Sesuai dengan halatuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 yang menekankan kepada lima fokus utama serta 20 landasan hala tuju. Sesungguhnya keperluan kepada penyediaan bakat terbaik negara adalah prasyarat untuk memacu pertumbuhan ekonomi, terutamanya dalam industri yang memerlukan pengetahuan khusus.

Selain itu, negara menghadapi tekanan yang semakin positif untuk meningkatkan daya saing dalam ekonomi global. Menerima dan menerima pakai teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) adalah penting untuk daya saing dan pertumbuhan yang mampan. Usaha untuk menubuhkan Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) amat bertepatan dalam usaha memartabat dan memacu ekonomi. Strategi ekonomi termasuk melabur dalam teknologi dan inovasi, memupuk kerjasama antarabangsa, membangunkan infrastruktur yang berdaya tahan dan menerima pakai amalan mampan adalah bertepatan.

Tata kelola yang baik juga adalah isyarat yang jelas untuk membina keyakinan pelabur asing dan tempatan. Langkah pencegahan rasuah yang diamalkan ketika ini adalah penting untuk memupuk persekitaran perniagaan yang telus dan adil.

JURANG

Dalam menangani jurang pertumbuhan yang tidak sekata, kerajaan menambah peruntukan kepada negerinegeri yang agak ketinggalan dari segi penyediaan prasarana termasuk Sabah dan Sarawak. Pengagihan tambahan ini penting untuk mencapai pembangunan yang seimbang dan mampan.

Malaysia juga tidak terkecuali mendepani cabaran landskap ekonomi global yang menjadi lebih rumit ekoran dipengaruhi dinamik geopolitik, hubungan perdagangan dan pakatan ekonomi kuasakuasa bĕsar.

Menavigasi kerumitan ini memerlukan dasar ekonomi strategik dan inisiatif diplomatik. Ancaman keselamatan ekonomi, termasuk isu ancaman siber, pengintipan ekonomi dan gangguan kepada rantaian bekalan kritikal menimbulkan cabaran kepada kestabilan dan daya tahan ekonomi negara. Dalam hal ini kerajaan dilihat lebih bersedia menangani ancaman ini untuk menjaga kepentingan ekonomi negara.

Selain itu, risiko yang masih menghimpit ekonomi ketika ini ialah eksport barangan Malaysia ke negaranegara yang terlibat konflik seperti Ukraine-Russia serta konflik Palestin-Israel.

Masanya telah tiba untuk Malaysia meneroka pasaran baharu seperti Afrika dan Amerika Latin.

Usaha kerajaan memberi tumpuan kepada sektorsektor pertumbuhan baharu merupakan satu inisiatif strategik yang mampu meletakkan ekonomi negara berdaya saing di peringkat global.

Menangani cabaran ini memerlukan pendekatan yang komprehensif dan diselaraskan daripada kerajaan, perniagaan dan badan antarabangsa. PROFESOR Datuk Dr. Kasim M

 

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat

 

Krisis timbul kesan daripada pelbagai punca seperti bencana alam, penyakit, kesilapan manusia, tujuan yang disengajakan, atau mana-mana gabungan ini. Apabila ia berlaku di tempat kerja, krisis adalah peristiwa yang tidak dijangka yang akan menguji kewibawaan seorang pengurus, khususnya pengurus di Jabatan yang mengurus krisis. Pengetahuan terhad boleh menyebabkan serangan panik dengan cepat dan menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir dengan jelas. Akibatnya, apabila krisis bertambah buruk, keadaan menjadi lebih teruk.

Tatkala berhadapan dengan krisis, mengekalkan ketenangan adalah tindakan yang bijak. Sekiranya anda sebagai pegawai bertanggungjawab dalam pengurusan krisis, anda pastinya akan dihujani dengan persoalan yang memerlukan penjelasan. Pendekatan segera anda ialah dengan kembali kepada empat ciri krisis yang akan membantu anda menanganinya dengan berkesan.

Unsur kejutan adalah perkara lumrah dalam krisis. Krisis berlaku tanpa amaran dan tanpa sebarang petunjuk tentang bila, apa, atau bagaimana ia berpunca. Tanpa perancangan yang mencukupi, anda tidak akan dapat mengawal keadaan ini dan akan terkejut dengan kehadirannya.

Pada ketika itu, ciri krisis kedua—kekurangan maklumat—bakal dialami. Reaksi tertunda anda terhadap isu tersebut hanya akan menyerlahkan kelemahan anda dan pasukan. Justeru, sedikit fakta yang ada merupakan permulaan yang baik untuk mewujudkan kredibiliti anda. Fakta selanjutnya perlu disegerakan bagi membuat keputusan strategik.

Apabila krisis melanda, perkara biasanya berlaku dengan pantas. Perkara berlaku begitu cepat sehingga anda hampir tidak dapat rehat yang cukup atau makanan yang sihat. Anda akan berada dalam keadaan yang boleh dipengaruhi oleh pelbagai emosi negatif dan cepat keletihan. Sebenarnya, ciri yang ketiga ini boleh membuatkan anda menumpukan pada solusi segera tanpa berfikir panjang. Akibatnya,  hal ini memaksa anda membuat penilaian pantas yang belum tentu tepat.

Keempat, media, pihak berkuasa, pihak berkepentingan, dan pesaing akan memerhati dengan teliti. Setiap tindakan diikuti dengan teliti dan hampir sepanjang masa. Tekanan kerana tidak bersedia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Gerak-geri dan cuitan di media sosial sebagai contoh memberi indikasi yang bakal menjadi berita hangat.

Teknik pengurusan krisis adalah kemahiran penting dalam mengurus krisis dengan berkesan. Kecekapan pertama yang dapat memandu krisis ke pengakhirannya ialah dengan memiliki seorang ketua atau pengurus yang berkebolehan memimpin sebuah pasukan yang saling melengkapi dalam isu-isu berkaitan dengan krisis yang dihadapi. Adalah menjadi tanggungjawab ketua pasukan untuk memimpin dan bukannya mengurus krisis. Justeru, kepercayaan mesti dibina dengan tingkah laku dan persepsi yang baik ditonjolkan.

Kedua, dengan mengenal pasti risiko dan mengatur penyelesaian lebih awal, organisasi boleh mengukuhkan keupayaan pengurusan krisis mereka. Mewujudkan rangka kerja komunikasi asas adalah perlu untuk mengelakkan pembaziran masa dalam kecemasan. Berhati-hati tentang siapa yang membuat keputusan untuk anda, cara menghubungi mereka dan mesej yang anda hantar. Simpan butiran hubungan untuk pasukan keselamatan anda, sumber manusia, jabatan berkaitan, pasukan komunikasi dan sesiapa sahaja yang mungkin anda perlukan untuk dihubungi bila dikehendaki untuk berbuat demikian.

Ketiga, anda mesti memiliki keupayaan untuk memahami khalayak anda dan ekosistem media. Ianya adalah penting untuk melaraskan pelan komunikasi anda mengikut persekitaran anda. Dengan itu, anda akan memiliki pemahaman yang jelas tentang khalayak sasaran anda termasuk pihak media. Sekaligus, ini membolehkan anda mewujudkan hubungan yang baik dengan mereka. Pada ketika krisis berlaku, kumpulan ini akan membantu mempermudahkan proses penyelesaian krisis yang dihadapi.

Kesimpulannya, perlu disedari bahawa terdapat empat ciri krisis sebelum anda boleh menguruskan sesuatu krisis yang berlaku: unsur kejutan, kekurangan maklumat yang sesuai, tempo yang pantas, dan penelitian ke atas tindakan yang diambil. Anda akan berasa lebih tenang dan bersedia untuk mengemudi krisis sehingga ke penyelesaiannya jika anda menggabungkan pemahaman ini dengan tiga kecekapan mengurus krisis yang dibincangkan.

 

Dr. Jakaria Dasan ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan di Universiti Malaysia Sabah. Beliau memiliki ijazah kedoktoran dalam Pengurusan Sumber Manusia dan merupakan pensyarah kursus Komunikasi Korporat. Salah satu topik utama kursus Komunikasi Korporat adalah berkaitan dengan pengurusan krisis. Di samping itu, beliau adalah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, di mana beliau mempunyai pengalaman berkaitan dalam menguruskan krisis.

 

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023]

 

PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia ekoran pandemik Covid-19 yang memberi impak langsung kepada kebanyakan sektor perindustrian.

Justeru, satu pasukan penyelidikan dibentuk terdiri daripada lapan negara melibatkan 11 universiti di Eropah dan Asia Tenggara, antaranya Universiti Teknologi Malaysia (Malaysia), Universiti Malaysia Sabah (Malaysia), Rigas Tehniska Universitate (Latvia), Tallinna Tehnikaulikool (Estonia), Universidade De Lisboa (Portugal), Universidad De Granada (Sepanyol), Univerzita Hradec Kralove (Czech Republic), Institute of Technology of Cambodia (Kemboja), University of Heng Samrin Thbongkhmum (Kemboja), National University of Laos (Laos) dan Savannakhet University (Laos).

Kumpulan penyelidik ini dikenali sebagai DX.SEA dengan tajuk penyelidikan Accelerating Digital Transformation for Higher Education Institutions in Southeast Asia terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran dengan dana penyelidikan daripada Erasmus+Programme (ERASMUS).

Rentetan pandemik, kualiti pendidikan bukan sahaja di Malaysia terjejas, namun, negara Asia Tenggara seperti Laos dan Kemboja turut melalui hal yang sama.

Selaras falsafah pendidikan negara dan pelan pendigitalan pendidikan, elemen penting yang dilihat adalah untuk membina kecekapan dalam transformasi digital untuk institusi pengajian tinggi Asia Tenggara dengan membangunkan pelan strategik digital, meningkatkan kualiti pembelajaran dan metodologi pengajaran serta pendekatan pedagogi untuk pembelajaran digital.

KURANG CEKAP

Tiga siri perbincangan dan diskusi dijalankan bagi tahun pertama penyelidikan. Bermula dengan mesyuarat pertama yang dijalankan secara dalam talian. Pertemuan kedua di Kuala Lumpur lebih tertumpu kepada perkongsian maklumat antara negara yang terlibat. Pertemuan ketiga diadakan di Universidad De Granada bagi membentangkan hasil dapatan kajian pertama dan menjadi tunjang kepada pembinaan modul dan cetakan biru negara untuk pendigitalan pendidikan.

Hasil daripada tiga pertemuan tersebut, konsortium mendapati elemen kecekapan adalah antara elemen yang kurang mendapat perhatian. Ini kerana, ramai pihak yang lebih teruja membincangkan isu berkaitan infrastruktur seperti kemudahan Internet, komputer riba dan infrastruktur berkaitan.

Malah, setiap negara mempunyai polisi dan ideologi berbeza-beza mengikut hala tuju politik pemerintah. Sama ada di peringkat makro dan mikro, isu kemiskinan digital tersebut mendapat perhatian kerajaan. Malah, pihak kerajaan juga menyediakan pelbagai inisiatif atau rangsangan pendidikan bagi mengatasi isu tersebut seperti Program Peranti Siswa.

Dalam keprihatinan kerajaan isu kemiskinan digital, terdapat negara Asia lain yang masih bergelut seperti Laos dan Kemboja.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Malaysia boleh berpuas hati dengan usaha dan inisiatif yang diberikan.

Memiliki komputer riba belum menjadikan kita celik komputer dan celik digital. Namun, tahap kecekapan dalam mengaplikasi secara afektif, mengadun, menggabung dan menghasilkan sesuatu menggunakan infrastruktur tersebut penting bagi menghasilkan individu yang diharapkan selari dengan Falsafah Pendidikan negara.

Mesyuarat DX.SEA kedua yang diadakan di Granada, Spain mengumpulkan data asas trend pembelajaran di tiga buah negara iaitu Malaysia, Laos dan Kemboja.

KECEKAPAN TEKNOLOGI

Analisis data asas menunjukkan bahawa kecenderungan penggunaan Internet tujuan pendidikan di Malaysia adalah sangat meluas, dengan pengaksesan harian menjadi norma dalam kalangan pensyarah.

Perbandingan dengan Laos dan Kemboja menunjukkan perbezaan ketara — penggunaan Internet untuk tujuan pendidikan di Malaysia jauh lebih kerap.

Pensyarah di Malaysia juga menikmati akses harian kepada Internet, menonjolkan infrastruktur teknologi maklumat yang matang.

Keputusan ini turut disokong perkhidmatan akses Internet dalam bilik kuliah di institusi pengajian tinggi di Malaysia berlangsung tanpa sebarang gangguan, menggambarkan kecekapan dalam penggunaan teknologi di arena pendidikan.

Kesimpulannya, dapatan ini merakamkan kecemerlangan infrastruktur teknologi pendidikan di Malaysia, membolehkan pensyarah dan pelajar mengintegrasikan Internet dalam pengalaman pembelajaran secara efektif, menjadikan Malaysia sebagai pelopor dalam pendidikan tinggi yang berorientasikan teknologi di peringkat antarabangsa.

Dari aspek keterdedahan kepada teknologi, Malaysia menunjukkan maklum balas positif berbanding dua buah negara tersebut.

Ini menjelaskan dari aspek penggunaan dan keterdedahan teknologi, Malaysia mempunyai kelebihan secara relatif.

Direkodkan 97 peratus pensyarah di Malaysia menggunakan elemen digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), manakala 3 peratus menyatakan mereka mempunyai pengetahuan dalam penggunaan elemen digital untuk PdP, namun tidak menggunakannya.

Menariknya, kebanyakan pensyarah lebih suka mengadakan kuliah bersemuka berbanding dalam talian. Ini boleh difahami memandangkan epistemologi dan ontologi setiap bidang ilmu berbeza-beza. Tahap pengetahuan teknologi di Malaysia dalam kalangan pensyarah lebih tinggi berbanding Laos dan Kemboja.

Kehadiran pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk digital memainkan peranan penting dalam agenda pendidikan negara ini.

Dalam konteks persediaan teknikal dan teknologi, kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia mencapai tahap kecekapan yang membolehkan mereka melaksanakan pendidikan digital dengan berkesan.

Namun, terlalu awal untuk membuat kesimpulan yang membanggakan kerana keberkesanan pendigitalan pendidikan tidak hanya bergantung kepada pengetahuan dan peralatan semata-mata.

Literasi mendalam dari segi penyediaan, penggunaan, kreativiti dan kebolehan tenaga kerja dalam menghasilkan modul, kuliah atau bahan pengajaran dan latihan berkualiti menjadi elemen penting.

Pasukan penyelidik ERASMUS yang terlibat dalam projek DX.SEA berhasrat meneruskan agenda pendigitalan pendidikan mereka pada 2024 di Lisbon.

Keputusan ini menandakan kesinambungan usaha penyelidikan dalam menerapkan teknologi dalam domain pendidikan.

Dalam konteks projek DX.SEA, langkah terarah diambil untuk menggali potensi pendidikan digital dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran.

Pemilihan Lisbon sebagai tempat pelaksanaan menunjukkan strategi global penyelidikan ini, memberi peluang untuk melibatkan pelbagai perspektif dan pengalaman dalam pembangunan solusi pendidikan digital yang lebih baik dan lebih berkesan.

Keberhasilan usaha ini diharapkan dapat memberi sumbangan yang signifi kan dalam memperkukuh landskap pendidikan digital di peringkat antarabangsa.

 

Artikel ditulis oleh ahli akademik UMS, Dr. Intan Soliha Ibrahim (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) , Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din (Fakulti Psikologi dan Pendidikan), dan Prof. Madya Dr. Suyansah Swanto (Fakulti Psikologi dan Pendidikan).

 

Lawatan singkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustain Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di negeri Sabah bersama rombongan baginda dalam Kembara Kenali Borneo baru-baru ini banyak rahmah dan hikmahnya.

Pelbagai aksi lucu yang disantuni kemesraan yang sangat akrab ditunjukkan oleh rakyat Malaysia di negeri Sabah di segala ceruk yang dilalui. Berhujan dan berpanas, anak-anak kecil, inan dan beliau (orang tua) serta orang-orang kampung dan warga sekolah hinggalah ke pekerja pasar raya dan kakitangan organisasi kerajaan tidak melepaskan peluang menanti dengan penuh keterujaan ketibaan rombongan ini.

Kendatipun begitu, mereka yang berbaris di sepanjang jalan rasa terhibur dengan apa yang mereka lakukan dengan ikhlas demi ingin menatap sendiri wajah-wajah yang disayangi oleh mereka. Video-video yang tersebar luas di pelbagai laman media sosial menjadi bukti betapa baginda berdua dan ahli keluarga ini amat disayangi oleh semua.

Singkat tapi amat bermanfaat. Rata-rata menerusi luahan warga maya dan rakyat menyuarakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta keluarga baginda akan kembali lagi melawat Sabah yang amat memerlukan Daulat Tuanku. Malah, ada yang sempat bergurau, agar kembara ini dipanjangkan lagi tempohnya.

Warga UMS turut berkesempatan berbaris di tepi jalan menanti kenderaan yang dinaiki oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku melalui hadapan pintu gerbang UMS. Hatta, terdapat dalam kalangan warga UMS ini sanggup memandu ke kawasan strategik agar dapat melihat dengan jelas rombongan baginda. Inilah perasaan cinta dan kasih yang tinggi kepada pemimpin yang telah tersemai dalam organisasi UMS sejak dahulu sehingga kini.

Semangat ketaatan yang tinggi kepada pemimpin sentiasa diterapkan dalam kalangan warga UMS disebabkan pemegang taruh universiti adalah dalam kalangan pemimpin, yakni para pelajar yang datang dari seluruh negeri di Malaysia dan sebahagian besar darinya adalah dari negeri Sabah, di samping sejumlah pelajar antarabangsa dari pelbagai negara di seluruh dunia.

Majlis Konvokesyen UMS yang bakal diadakan dari 11 hingga 14 Disember 2023 ini kelak adalah buat kali yang ke-25. Ini bermaksud bahawa, telah ramai alumni universiti ini yang telah dan sedang membina kerjaya mereka di pelbagai sektor dan ada yang memilih untuk menjadi usahawan berjaya.

Ketinggian perwatakan kepemimpinan mereka ini adalah hasil daripada dedikasi para pensyarah dan keprihatinan pentadbir serta kakitangan sokongan di universiti ini. Inilah yang terus diperkasa dan diupaya oleh Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Naib Canselor UMS yang ke-7. 

Dalam setahun, UMS telah mendapat sokongan dana penyelidikan sebanyak RM25 juta tidak termasuk peruntukan dalam bentuk in-kind, dan terbaru, UMS buat kali pertama berjaya memperoleh markah penuh 100% dan penarafan lima bintang bagi Penilaian Kualiti Data MyMoheS 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. Suatu kejayaan yang unggul. Fakta ini jelas menunjukkan, dalam masa yang singkat, rahmah dan hikmah menonjolkan berkat seorang pemimpin.

Salah satu daripada kejayaan yang dicapai ini adalah kerana kekuatan hubungan kerajaan negeri dan persekutuan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi yang telah dicorakkan oleh Dr. Kasim.

 

(Artikel oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Sabah)