Rasuah: Musuh Dalam Selimut di Institusi Pendidikan

 

[ARTIKEL BIUMS Siri 1/2025]

 

Oleh : Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

 

“Rasuah adalah musuh dalam selimut. Ia perlahan-lahan merosakkan kepercayaan dan integriti sesebuah institusi dari dalam.”

 

Begitulah hakikat yang perlu kita renungkan bersama, terutamanya apabila melibatkan sektor pendidikan, sebuah ekosistem yang sepatutnya melahirkan generasi berilmu dan berintegriti.

Berita Harian, April 2025, melaporkan: “Pegawai kanan ditahan SPRM kerana disyaki menerima suapan berkaitan projek pembekalan peralatan makmal.”

Kes sebegini bukan lagi sesuatu yang mengejutkan. Namun, persoalan yang lebih besar ialah adakah institusi pengajian tinggi kita benar-benar kebal daripada gejala ini?

Hakikatnya, institusi pendidikan sama ada universiti awam mahupun swasta tidak terkecuali daripada ancaman rasuah. Jika dibiarkan, ia boleh merosakkan kredibiliti akademik, mencemar imej universiti, dan lebih buruk lagi mengikis kepercayaan masyarakat.

 

Bentuk Rasuah yang Halus

Ramai yang masih beranggapan bahawa rasuah hanya melibatkan wang tunai. Namun, dalam konteks institusi pendidikan, rasuah boleh hadir dalam pelbagai bentuk:

  • Hadiah mewah yang diberi sebagai “tanda penghargaan” selepas kelulusan projek.
  • Layanan istimewa seperti percutian atau makan malam mewah yang ditaja oleh pihak berkepentingan.
  • Penyalahgunaan kedudukan dalam meluluskan kontrak kepada rakan atau saudara.

 

Sebagai contoh, seorang kakitangan yang menerima baucar hotel mewah selepas membantu syarikat membida projek pembekalan telah melibatkan diri dalam situasi konflik kepentingan. Tanpa disedari, tindakan ini membuka ruang kepada amalan tidak beretika.

 

Mengapa Perlu Ditangani?

Institusi pendidikan merupakan tunjang pembangunan insan dan modal intelektual negara. Jika budaya rasuah mula berakar di sini, apa lagi yang boleh kita harapkan daripada graduan yang dilahirkan?

Lebih membimbangkan, kajian oleh sebuah badan pemikir menunjukkan bahawa hanya 62 peratus penjawat awam benar-benar faham batasan etika kerja mereka (Utusan Malaysia, Mac 2025). Ini memberi isyarat jelas bahawa pendidikan dan kesedaran mengenai integriti masih perlu diperkasakan.

 

Langkah Proaktif

Untuk memastikan IPT kekal sebagai “zon bebas rasuah”, beberapa langkah proaktif boleh diambil:

 

  1. Pendidikan & Kesedaran

Semua warga universiti, pentadbir, pensyarah, staf sokongan dan pelajar mesti diberikan pendedahan berterusan mengenai integriti dan tatakelola yang baik. Latihan berkala perlu diadakan, dengan mengupas kes-kes sebenar sebagai pengajaran.

 

  1. Amalan Kerja Telus

Setiap urusan perolehan, pemilihan vendor dan pemberian kontrak mesti melalui proses yang telus dan boleh diaudit. Elakkan urusan belakang tabir atau “jalan pintas” yang tidak didokumenkan.

 

  1. Saluran Aduan Yang Selamat

Mewujudkan mekanisme aduan dalaman yang melindungi identiti pelapor sangat penting. Polisi “tiada tindakan balas” terhadap pelapor yang bertindak atas dasar integriti mesti ditegaskan.

 

  1. Kepimpinan Berintegriti

Pemimpin di setiap peringkat sama ada Naib Canselor, Dekan, Ketua Jabatan mahupun Ketua Unit perlu menjadi role model. Amalan mereka akan menentukan budaya organisasi.

 

  1. Penguatkuasaan Tegas

Setiap kesalahan yang terbukti mesti dikenakan tindakan tatatertib yang adil dan telus, tanpa kompromi atau pilih kasih.

 

Kesimpulan

Rasuah di institusi pendidikan bukan sekadar isu undang-undang. Ia adalah isu budaya. Jika tidak ditangani dari awal, ia boleh menghakis akar integriti yang menjadi asas pembentukan tamadun ilmu.

Marilah kita semua sebagai warga kampus, pendidik, pentadbir dan pelajar  berganding bahu memastikan institusi kita benar-benar bersih daripada gejala ini. Biarlah universiti kita terus dihormati bukan sahaja kerana keilmuan, tetapi juga kerana budaya integriti yang kita amalkan.

 

Artikel ini merupakan usaha berterusan Bahagian Integriti UMS dalam memupuk budaya integriti di kalangan warga kampus. Pengukuhan Integriti dan Pencegahan rasuah bermula dari hati yang jujur dan tindakan yang berani.

 

Risiko Integriti: Ancaman Senyap Terhadap Tadbir Urus Universiti

20 Jun 2025

[ARTIKEL BIUMS Siri 2/2025] Oleh : Darwis Awang, Pengarah Bahagian...

Rasuah: Musuh Dalam Selimut di Institusi Pendidikan

13 Jun 2025

[ARTIKEL BIUMS Siri 1/2025] Oleh : Darwis Awang, Pengarah Bahagian...

Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal UMS Pemangkin Industri Halal Sabah

26 Mei 2025

Industri halal Malaysia dijangkakan berkembang kepada US$113.2 bilion menjelang 2030...

Adakah Tarif AS Terhadap Malaysia, Satu Ancaman atau Satu Panggilan Sedar?

21 April 2025

Artikel Oleh: Prof. Madya Dr. Caroline Geetha A/P B. Arokiadasan,...